Dosa pemerintah Muslim bertambah lagi…

Serangan Israel: Kanak-kanak putus kepala

BANDAR GAZA 11 Jun – Seorang kanak- kanak perempuan Palestin terputus kepala apabila tembakan meriam Israel yang disasarkan terhadap sekumpulan pejuang di Genting Gaza mengenai rumahnya awal hari
ini.

Pegawai di Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Moaiya Hassanain mengenal pasti kanak-kanak yang terbunuh itu sebagai Hadeel al-Smari, 6.

Dua orang dewasa yang berada di rumahnya turut cedera.

Tentera rejim Yahudi melaporkan askarnya telah melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin yang sedang bersiap sedia untuk melancarkan roket ke arah Israel.

Pergerakan Hamas yang memerintah Gaza melaporkan, seorang pejuangnya terbunuh dalam operasi tentera Israel di kawasan berkenaan.

Sepupu Hadeel, Ahmad al-Smari berkata, kanak-kanak itu berada di belakang rumah sewaktu kejadian itu.

“Saya pasti dia bangun awal kerana kami tidak dapat tidur siang atau malam disebabkan tembakan tentera Israel dan pertempuran dekat rumah kami,” kata Ahmad dalam perbualan melalui telefon dari hospital di Khan Younis, selatan Genting Gaza.
– AP

Sumber: Utusan Malaysia 12/06/08

Ulasan:

Berita sebegini hanya mendapat perhatian segelintir dari umat Islam sahaja. Setakat seorang atau dua orang yang mati dibunuh askar Israel, majoriti umat Islam sekarang hanya pejam mata sahaja. Pemimpin Islam lagi la pula, langsung tidak ada kepentingan untuk mereka melihat atau mengupas berita ini, apatah lagi untuk mengambil tindakan lanjut.

Sesungguhnya pada setiap pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam oleh golongan kuffar, setiap dari kita akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak, apakah tindakan yang telah kita ambil untuk mencegah keadaan ini. Bagi pemimpin umat Islam pula, tidak kiralah di mana mereka berada atau memerintah, mereka berkuasa untuk menghantar tentera untuk melawan musuh Allah ini agar pembunuhan ini tidak terus berlaku, namun mereka hanya memerintah untuk mendapat manfaat dunia, bukannya untuk menerapkan hukum Allah. Kepada mereka, bebanan hukum adalah lebih berat dan azab yang lebih bersangatan juga menanti mereka apabila tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menjaga darah umat Islam, walaupun setitis.

Ingatlah wahai kaum Muslimin dan pemimpin kaum Muslimin! Anak-anak di Palestin akan bangkit pada hari kiamat dan menceritakan kisah mereka di hadapan Allah. Mereka akan bangkit dari kubur-kubur mereka dan menceritakan bahawa mereka mati dahulu kerana dibunuh dengan kejam oleh askar-askar Yahudi. Mereka akan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun dari pemimpin kaum Muslimin yang menjaga darah mereka. Mereka akan menyatakan bahawa pemimpin umat Islam telah mengkhianati mereka. Mereka akan bersaksi bahawa terdapat sebahagian dari umat Islam yang hanya membiarkan mereka dibunuh tanpa apa-apa pembelaan. Apakah jawapan kalian di waktu itu wahai para pemimpin? Allah akan bertanya kalian untuk apakah kalian memperlengkapkan tentera jika tidak untuk berjihad di jalanNya? Apakah jawapan kalian di kala itu wahai mereka yang memegang kekuasaan? Allah akan bertanya kepada kalian wahai kaum Muslimin, kenapakah kalian tidak bergerak untuk menegakkan agama Allah? Kenapakah kalian membiarkan darah anak-anak Palestin gugur ke bumi sedangkan kalian hidup selesa dikelilingi kemewahan? Apakah jawapan kalian di waktu itu wahai mereka yang sedang berpeluk tubuh? Bertaubatlah wahai para pemimpin, bertaubatlah wahai mereka yang lalai!!

Wahai kaum Muslimin! Dengarlah peringatan ini baik-baik. Di tangan-tangan kalianlah terletaknya kuasa untuk melantik dan membai’ah seorang Khalifah. Khalifah akan muncul dan memerintah kalian jika kalian memberikan bai’ah kepadanya. Apabila dibai’ah, Khalifah akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya kerana itulah syarat bai’ah yang beliau wajib penuhi. Khalifah akan melihara dan menjaga darah kalian dan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin. Khalifah akan menggerakkan tentera-tentera kaum Muslimin ke medan jihad untuk menyelamatkan kaum Muslimin dan membebaskan negeri-negeri umat Islam dari cengkaman kuffar. Oleh itu, bersama-samalah kalian dengan barisan mereka yang berjuang untuk menegakkan semula Daulah Khilafah dan mengembalikan kemuliaan kepada kaum Muslimin. Semoga dengan kemuliaan ini Allah akan mengurniakan kalian kebaikan di dunia dan akhirat serta menjauhkan kalian dari kehinaan di dunia dan siksaan Allah yang amat pedih di akhirat kelak. Amin ya Rabbal ‘alamin.