Drama Tayangan ASTRO Dikritik Kerana Menghina Islam

saharaWalaupun Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum pada satu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa syarikat ASTRO lebih ketat berbanding LPF dalam membuat penapisan bagi sesebuah filem yang akan disiarkan, namun kini kenyataannya perlu disemak kembali tatkala wujud kontroversi berkenaan sebuah drama yang disiarkan oleh ASTRO yang terpaksa dihentikan siarannya ekoran daripada kritikan orang ramai yang beranggapan bahawa drama tersebut telah menghina agama Islam.

Drama yang bertajuk ‘Sahara’ dikritik penonton berikutan lakonan wanita berpurdah dalam drama tersebut didakwa telah menghina Islam. Pihak ASTRO kemudiannya bertindak menghentikan siaran drama tersebut buat sementara waktu, walaupun pada akhirnya menyiarkan semula rancangan tersebut kerana rancangan tersebut telah memasuki episod yang terakhir. (Sinar Harian, 1/2/13)

Tiga pelakon lelaki yang terlibat di dalam drama bersiri tersebut telah tampil untuk membuat permohonan maaf kerana pelakon-pelakon lain yang membintangi drama terbabit turut menerima tempias dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutamanya di blog-blog dan laman sosial seperti Facebook.

Kejadian yang berlaku di atas bukanlah suatu perkara yang baru dan pelik bagi rakyat Malaysia. Sebenarnya masih terlalu banyak filem-filem mahupun drama-drama yang menghina Islam dan menyalahi syariat yang masih terus berleluasa ditayangkan di kaca televisyen sehingga ke saat ini. Tindakan ASTRO untuk menghentikan tayangan drama Sahara buat sementara hanyalah akibat daripada kritikan-kritikan orang ramai dan bukannya hasil tapisan piawaian mereka sendiri. Pada hakikatnya, masih terdapat banyak siaran rancangan-rancangan lain yang belum mendapat kritikan atau tekanan daripada orang ramai tetapi ia tetap menyalahi syariat serta masih disiarkan oleh ASTRO dan media-media yang lain.

Drama-drama seram yang berunsurkan tahyul dan khurafat masih menjadi hidangan penonton rakyat di negara ini. Pocong, Saka, Sarakit dan Ngangkung adalah antara tajuk-tajuk yang tidak asing bagi rakyat Malaysia. Itu belum dimasukkan lagi  siaran-siaran lain seperti lawak jenaka yang melampau yang sememangnya menjumudkan dan merendahkan taraf berfikir umat Islam. Begitu juga dengan program-program gosip artis yang berorientasikan mengumpat, memfitnah dan mencari-cari kesalahan orang lain. Ini semua langsung tidak mendatangkan apa-apa melainkan dosa dan kelalaian semata-mata. Jika kelak syariah Islam diterapkan secara kaffah, nescaya filem-filem atau program-program yang menjumudkan dan membodohkan umat ini tidak sekali-kali akan dibiarkan untuk disiarkan di dalam Negara Islam. Adalah menjadi kewajiban bagi kita semua untuk bersegera berjuang untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam secara nyata di dalam kehidupan ini dan seterusnya menyelesaikan masalah ini secara benar.

Sumber:
Kosmo, 6/2/13
Sinar Harian, 1/2/13