Fenomena Pelacuran Yang Membimbangkan Di Malaysia

“Goda pelanggan keluar bank”, itulah tajuk berita Kosmo pada 20 Mac 2013. Artikel tersebut merujuk kepada sebuah premis pelacuran yang dikatakan hanya terletak kira-kira 50 meter daripada Masjid Jamek Alam Shah. (Kosmo, 20/03/13)

Pelik tetapi benar, itulah gambaran yang boleh disifatkan tentang fenomena pelacur yang menggoda orang yang lalu lalang tanpa adanya pembanterasan daripada pihak penguasa. Bahkan akhbar Kosmo menyifatkan perkara tersebut sebagai menjengkelkan hanya kerana kedudukannya yang berdekatan dengan masjid. Walhal, kewujudan sesebuah tempat maksiat itu sendiri biar di mana pun kedudukan ia berada adalah sesuatu yang sungguh menjengkelkan tanpa perlu memerhatikan kepada unsur-unsur yang lain.

Laporan akhbar terkemuka, Utusan Malaysia pula menyatakan bahawa kegiatan pelacuran yang membabitkan golongan wanita tempatan dikesan telah meningkat hampir 70 peratus iaitu daripada 1,060 orang pada tahun 2010 kepada 1,801 orang pada tahun 2011.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, PDRM sentiasa menjalankan operasi berterusan ke atas pusat hiburan, hotel, rumah urut dan premis-premis persendirian dalam membanteras kegiatan pelacuran di negara ini. (Utusan Malaysia, 31/01/12). Manakala seramai 36,858 wanita warga asing telah ditahan kerana melacurkan diri daripada tahun 2005 sehingga 2008 di seluruh negara. (Berita Harian, 8/10/09)

Sudah menjadi lumrah di dalam sistem sekular demokrasi, dalam masalah pelacuran, hanya si pelacur sahaja yang dipersalahkan manakala pihak pemerintah yang menerapkan idea kebebasan kufur melalui jalur demokrasi itu adalah sentiasa suci daripada sebarang dosa. Padahal pemerintahlah yang harus dipersalahkan kerana menerapkan dan memelihara idea kebebasan ajaran Barat sehingga amalan-amalan maksiat yang menjerumus ke arah pelacuran masih dibiarkan. Inilah musibah dan bencana yang menyebabkan hilangnya kehormatan manusia yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai ahsani taqwim (sebaik-baik ciptaan). Natijahnya, manusia akan terus menerus mencampakkan diri mereka ke dalam lembah yang hina selagimana idea kebebasan ini masih terus dipegang dan diyakini. Walhal, Allah sebagai Maha Pencipta telah pun menyediakan hukum-hakam yang lengkap untuk manusia mengikat dirinya agar hidup sejahtera dan bahagia bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak.

Pihak pemerintah seharusnya sedar bahawa sistem yang mereka terapkan pada hari ini merupakan penyumbang utama kepada masalah-masalah ini. Idea kebebasan yang lahir daripada aqidah sekular yang menjadi dasar kepada ideologi kapitalisme adalah virus yang membawa kerosakan kepada kehidupan masyarakat dan negara yang ada hari ini. Wahai para penguasa umat Islam! Sudah sampai masanya untuk kalian mencampakkan ideologi kapitalisme yang masih kalian pertahankan dan terapkan. Wahai umat Islam! Sudah saatnya kalian bergerak untuk menuntut pemerintah yang menguasai kalian  ketika ini agar menerapkan kehidupan Islam bagi menggantikan kehidupan kapitalisme yang serba rosak dan hina ini. Jika mereka (pemerintah) tidak bersedia atau tidak sanggup untuk melakukannya, maka kalian (umat Islam) wajib menggunakan kuasa yang ada pada diri kalian untuk menyerahkan tanggungjawab pemerintahan ini kepada golongan yang bersedia untuk menerapkan Islam secara kaffah. Negara 1Malaysia tidak akan mampu untuk menyelesaikan permasalahan ini. Hanya pemerintahan Islam di bawah institusi Khilafah sahajalah yang mampu untuk melakukannya.

Sumber:

Kosmo, 20/03/13
Utusan Malaysia, 31/01/12
Berita Harian, 08/10/09