Fikratul Ummah – Julai 2011

 

 


DARI LIDAH PENGARANG

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh……

Puji-pujian hanya kepada Allah Subhanahu wa Taala, Pencipta alam semesta yang  masih memberikan nikmat dan kesejahteraan kepada hamba-hamba-Nya untuk terus menetap di muka bumi ciptaan-Nya.  Sungguh, Al-Khaliq telah memerintahkan dengan jelas agar hukum-Nya diterapkan di seluruh muka bumi demi kesejahteraan sejagat.  Firman-Nya “….Hukum siapakah yang lebih baik dari (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)?” [TMQ al-Maidah (5):50] Justeru, redaksi Fikratul Ummah mengambil kesempatan ini untuk terus membongkar isu pelaksanaan silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam keluaran Julai ini.

Seperti tidak sabar-sabar lagi, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan untuk memperkenalkan PKRS kepada murid tahun satu pada bulan November tahun ini walaupun perancangan awalnya adalah untuk memulakannya pada tahun 2012.  Padahal silibusnya masih lagi dikaji dan guru-guru yang bakal mengajar silibus ini masih lagi sedang dilatih.  Suara pihak-pihak yang membantah masih lagi kedengaran dan terus menyeru kerajaan untuk mengkaji semula rancangan ini dan memikirkan cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah gejala sosial yang sedang membarah dalam tubuh masyarakat.  Terbukti bahawa prinsip demokrasi yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh pemimpin sekular sekarang hanya sekadar omongan kosong apabila pendapat rakyat tidak diberi pertimbangan sewajarnya. Inikah manifestasi slogan “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” ?

Jadi, bagi terus mengajak anda memerhatikan penyelesaian dangkal yang dirancang itu, Fikratul Ummah keluaran kali ini membawakan dua artikel utama yang bertajuk ‘PKRS dan Etika Seorang Guru’ dan `Pendidikan Seks dalam Kurikulum Pendidikan   Malaysia – Apa yang Tidak Kena?’ Artikel pertama membincangkan tentang kemampuan guru-guru sekarang untuk mengajar pendidikan seks serta penjelasan mengenai kriteria yang sepatutnya dimiliki oleh setiap guru dalam memastikan penyampaian ilmu yang berkesan kepada pelajar. 

Artikel kedua serba sedikit membuat analisa serta perbandingan antara silibus PKRS dengan subjek-subjek yang sedia ada dalam kurikulum sekolah dan selanjutnya mendedahkan kekurangan dan kelemahan ketara dalam silibus pendidikan sekarang. Selain itu, keluaran kali ini juga memuatkan ‘Doa Memohon Kebaikan Hidup’ dalam segmen doa.Seterusnya Fikih Wanita menampilkan jawapan jitu kepada persoalan bertajuk ‘Hukum Bercinta dengan Lelaki Beristeri’.

Akhir kalam, sesungguhnya kami, warga kerja FU yakin dengan sebenar-benar keyakinan bahawa dengan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, artikel-artikel yang  disiarkan memberikan pencerahan tentang realiti yang dialami umat Islam sekarang dan peranan Islam dalam setiap permasalahan manusia.Selamat membaca dan teruslah istiqamah menunggu keluaran kami akan datang, insyaAllah.


ISU SEMASA: PKRS dan Etika Seorang Guru.

Muqaddimah

Lumrahnya sesuatu teori baru apabila diperkenalkan, pasti ada pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya, tidak kira sama ada  berbentuk polisi, undang-undang mahupun apa saja. Tidak terkecuali dalam hal pengenalan kurikulum baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di mana pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaannnya antaranya ialah guru-guru sekolah.  Tanpa guru sebagai medium pelaksanaannya, maka tidak sampailah pengetahuan PKRS itu kepada pelajar-pelajar.

Guru dipandang sebagai suatu kerjaya yang sangat mulia kerana merekalah yang banyak memainkan peranan dalam memberi pelajaran kepada pelajar-pelajar sekolah memandangkan waktu sehari-harian pelajar ini banyak dihabiskan di sekolah.  Jadi, guru sekolah bukan sekadar diharapkan untuk menyampaikan pelajaran seperti yang terkandung dalam silibus matapelajaran untuk membantu pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan malah lebih dari itu.  Guru dianggap sebagai individu yang menggantikan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak di sekolah. Pendidikan yang dimaksudkan adalah dalam konteks membentuk keperibadiaan mulia dalam diri pelajar untuk  menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Abdul Halim el-Muhammady dalam bukunya Pendidikan Islam: Falsafah, disiplin, dan peranan pendidik mendefinisikan pendidikan sebagai faktor yang asasi dalam hidup   manusia dan ia mengambil posisi yang dominan dengan pengaruhnya dalam membentuk peribadi individu, di mana pengaruh-pengaruhnya itu berkekalan sepanjang hidupnya.  Justeru kehadiran guru atau pendidik adalah sesuatu yang asas (fundamental) dalam hidup manusia, kerana guru berperanan mempersiapkan anak didiknya berkembang, dari hanya sebagai makhluk hidup berjisim kepada seorang insan yang memiliki keperibadian.  Sebagaimana halnya seorang guru membantu anak didik mereka dalam pertumbuhan yang sempurna sebagai manusia.

Kenyataan tentang fungsi dan tugas seorang guru sebagaimana yang diterangkan oleh penulis di atas, rata-rata diterima oleh seluruh manusia yang bertamadun. Persoalannya ialah cukupkah guru berfungsi sebagai medium yang hanya fokus kepada silibus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan silibus yang telah digarap untuk sukatan tahun itu? Bagaimana pula halnya dengan silibus yang digarap itu tadi, adakah ianya mampu membangun keperibadian murid untuk menjadi manusia yang tinggi nilai akhlak dan moralnya? 

Usaha Kerajaan Melatih Guru-guru Pendidikan Seks.

Dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan bagi Tahun Satu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan perlu memberi tumpuan terhadap pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas kesihatan serta pemupukan dan penghayatan nilai.  Daya pemikiran murid perlu dipertingkat untuk membolehkan murid membuat keputusan, meningkatkan literasi kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Semua tugas ini dibebankan kepada guru semasa pengajarannya dalam kelas.Standard Kurikulum Pendidikan Kesihatan juga digubal dengan menetapkan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Pendekatan  menggunakan standard tersebut menuntut guru untuk lebih bertanggungjawab ke atas pencapaian murid. Standard yang  telah ditetapkan mesti dilaksanakan, dicapai dan ditaksir oleh murid. Inilah tugas guru.

Dalam sebuah kajian di Washington, kurikulum pendidikan seks yang paling komprehensif menetapkan guru mendemonstrasikan penggunaan kondom dengan membuka gulungan kondom di jari atau pisang.  Teen Outreach Program (TOP) melatih guru untuk membincangkan dengan remaja tentang bentuk ekspresi seksual lain selain dari hubungan  intim kerana mereka mengakui bahawa orang-orang muda, seperti orang dewasa juga, dapat mencari cara-cara lain. [Comprehensive Sex Education vs. Authentic Abstinence A Study of Competing Curricula, http://www.heritage.org]

Malaysia juga tidak terkecuali dari program latihan ke atas guru-guru tetapi masih tidak sampai kepada tahap seperti yang dirangka dalam kurikulum pendidikan seks komprehensif di atas.  Kerajaan Malaysia telah merangka strategi-strategi tertentu dalam proses pelaksanaan   kurikulum PKRS ini.  Antaranya ialah dengan mengurangkan sensitiviti dan salah tanggapan mengenai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial melalui penyediaan  program sokongan khusus kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, anggota kesihatan,   pengasuh, masyarakat dan termasuk juga guru-guru.

Terdapat juga strategi yang dirangka untuk membangunkan modal insan yang terlatih dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.  Satu program telah diaturkan untuk menjalankan strategi tersebut dalam jangka masa pendek (2009-2010) iaitu program mewujudkan kumpulan jurulatih utama (master trainers) dalam kalangan pemberi khidmat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota kesihatan, pekerja sosial, ibu bapa, dan pembimbing   rakan sebaya. Guru juga tidak   terkecuali dalam program ini. Untuk jangka masa panjang (2010-2012) pula, program Training of Trainers (TOT) kepada jurulatih kepada  pemberi khidmat yang sama.

Tidak cukup dengan itu, guru pendidikan seks dibekalkan dengan latihan khas supaya mereka menjadi profesional dalam bidang berkenaan.  Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah mengatakan bahawa bukan semua orang dapat menjelaskan perkara tersebut kepada para pelajar dan ia memerlukan latihan serta sikap guru sendiri yang dapat menerima pelajar tanpa prasangka. “Bagaimanapun, menyampaikan  pendidikan seks bukan satu perkara yang senang, maka ia memerlukan para guru khas dan profesional kerana ia menuntut emosi dan perasaan,” katanya. [Utusan Online, 6/3/2010]

Jadi, memang tidak dapat dinafikan kerajaan berusaha sedaya upaya dalam memastikan guru-guru sekolah yang akan mengajarkan silibus PKRS menjadi guru-guru yang berkualiti dan sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasnya.  Persoalannya, adakah guru-guru yang sedia ada ini tidak cukup berkualiti untuk mengajarkan pendidikan seks sehingga perlu kepada program-program dan latihan baru?

Benarkah Guru Terlibat dengan Jenayah Seks?

Kenyataan yang sukar diterima tetapi benar apabila ada sebilangan guru yang terlibat dengan jenayah seks.  Dulu, apabila ada sahaja kes-kes disiplin atau jenayah berat yang berlaku melibatkan pelajar sekolah, pihak sekolah akan cuba untuk menutup perkara itu demi menjaga aib mereka dari diketahui umum.  Namun, sejak akhir-akhir ini ia bukan lagi menjadi rahsia sekolah apabila pelakunya adalah dari kalangan guru sendiri dan ini melibatkan kredibiliti sekolah dan kerajaan yang sebenarnya bertanggungjawab menyiapkan guru-guru ini menjadi tenaga pengajar yang cemerlang.

Guru-guru tersebut terlebih dahulu melakukan ‘latihan amali’ hasil daripada ilmu yang dilatih ke atas mereka sebelum diajar kepada pelajar-pelajar dan ini terbukti dalam banyak kes yang telah berlaku. Contohnya, tahun lalu di Kuala Lumpur, seorang ustazah ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya padahal ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Mekah untuk  menunaikan umrah.  Selepas ditangkap, duda itu mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi ustazah terbabit tetap ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya. [Harian Metro, 3/3/2010]

Seorang ustazah juga ditangkap berkhalwat dengan pasangannya dan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau muhrim.  Kes ini berikutan hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di rumahnya yang membawa kepada penemuan dua kondom yang dipercayai baru digunakan dan juga kesan merah yang terdapat pada lehernya. [Berita Harian Online, 13/3/2010]

Di Alor Setar pula, sepasang kekasih yang kedua-duanya guru di sekolah rendah dicekup anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) atas kesalahan berkhalwat di sebuah rumah sewa.  Difahamkan pasangan itu sudah   menjalin hubungan terlarang sejak tiga  tahun lalu dan telah tinggal bersama sejak beberapa bulan lalu walaupun wanita itu masih bergelar isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan   berusia 13 tahun.[Harian Metro, 29/4/2011]

Selain kesalahan khalwat yang telah terlalu biasa disiarkan, masyarakat negara ini dikejutkan dengan kes-kes guru lelaki  mencabul, merogol malah meliwat pelajar-pelajar mereka sendiri.  Contohnya, pada tahun 2009, seorang guru sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu ditahan selepas mengaku bersalah meliwat tujuh pelajarnya. Guru tersebut merupakan penduduk tempatan dan kesemua mangsanya berumur 15 tahun yang merupakan pelajarnya dari kelas yang sama.  Polis pula masih menyiasat kemungkinan terdapat mangsa lain yang tidak membuat laporan polis kerana perbuatan itu dikatakan sudah lama berlaku. [Utusan Online, 31/10/2009]

Di Bungan, Dalat pula seorang guru lelaki didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka. Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula selama dua bulan sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya. Mangsa mendakwa dia diajak menonton filem lucah sebelum dirogol dan empat lagi mangsa mendakwa dicabul gurunya itu selepas  dipanggil menemuinya di makmal sekolah siap dengan amaran agar tidak memaklumkan kejadian berkenaan kepada guru lain. [Berita Harian Online, 21/5/2010]

Seorang guru muzik, Abdul Wahid Mohd Haneepa, 43, pula dijatuhi  hukuman penjara 25 tahun dan dua sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan kerana kesalahan melakukan seks luar tabii dan mencabul pelajarnya pada tahun 2007.  Guru ini juga didapati bersalah kerana dua kesalahan mencabul mangsa sama. [Berita Harian Online, 16/9/2010]

Manusia yang bergelar guru ini juga bukan setakat merogol, tapi nafsu serakahnya membuatkannya sanggup pula meliwat pelajar sekolah. 

Satu lagi kes yang berlaku di Kota Kinabalu, Adrian Simon, 31, yang merupakan seorang bekas guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan iaitu merogol dan meliwat seorang pelajar perempuan warga Singapura berusia 11 tahun di sebuah sekolah rendah swasta.  Adrian didakwa merogol bekas pelajar itu sebanyak tiga kali dalam makmal sains di sekolah   berkenaan antara 10 Februari dan 7 April selain memaksa pelajar perempuan itu  melakukan   seks  oral  terhadapnya serta meliwat mangsa. [Berita Harian Online, 22/10/2010]

Seterusnya di Kelantan, negeri yang suatu ketika dahulu dikenali dengan jolokan Serambi Mekah,  namun ia tidak membawa makna pada salah seorang guru di situ.  Mohd Saidi Che Tengah, 45, dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol muridnya pada 2006.  Mangsa yang berusia 12 tahun dua bulan disahkan dirogol di rumah ibu tertuduh dan di sebuah  resort di Bachok. [Berita  Harian Online, 24/1/2011]

Tidak cukup dengan merogol pelajar, seorang guru yoga yang juga bapa kepada enam anak dengan dua bekas isteri telah melarikan dan mengurung dua remaja perempuan bawah umur yang juga saksi kes rogol membabitkannya.  Abdul Malik Abdullah, 55, didakwa merogol seorang dari remaja terbabit dan sebelum itu turut dihadapkan ke mahkamah berasingan atas tuduhan memiliki syabu. [Berita  Harian Online, 30/4/2011]

Guru mana lagi yang boleh diharapkan untuk membentuk syakhsiyah pelajar kalau guru disiplin sendiri berakhlak buruk? Sungguh  menghampakan apabila seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan.  Guru lelaki terbabit didakwa memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan kononnya untuk memeriksa tahap kesihatan pelajar berkenaan sebelum dirotan.  Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi. [Mymetro, 31/5/2011]

Terbaru, seorang guru agama merupakan suspek dalam satu kes rogol terhadap seorang remaja yang juga merupakan anak saudaranya [Harian Metro, 3/6/2011].  Seorang penganalisis jenayah, Akhbar Satar, pernah dipetik sebagai berkata bahawa penjenayah kes rogol, termasuk yang berselindung disebalik agama, adalah mereka yang menghadapi masalah jiwa dan mempunyai keinginan seksual melampau. [Berita Harian Online, 25/9/2010]

Apakah ertinya semua ini? Guru sanggup melakukan perbuatan terkutuk pada pelajar sendiri! Di mana sifat mulia yang selalu dicanangkan ada pada setiap guru? Memang bilangan kes sebegini tidak banyak berbanding bilangan guru yang ramai.  Tetapi dalam kerjaya mulia guru ini, angka kes bukannya ukuran.  Tambahan pula, bagaimana seorang guru itu mampu mengajar pelajarnya untuk mengelakkan segala jenis maksiat padahal dia sendiri melakukannya.

Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al- Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?” [TMQ al-Baqarah (2):44]

Apa yang dapat disimpulkan di sini, selain kegagalan dalam proses membentuk keperibadiaan mulia pada  pelajar-pelajar sebagai seorang manusia, sistem pendidikan negara Malaysia saat ini juga gagal melatih dan menyediakan guru-guru yang berkualiti untuk memenuhi kerjaya pendidikan ini.  Tidak hairanlah mengapa kerajaan terlalu bersungguh-sungguh melatih guru-guru pendidikan seks supaya menjadi guru yang mampu menyampaikan pelajaran secara positif kerana guru-guru yang sedia ada sudah tidak mampu menampilkan etika sebagaimana layaknya ada pada seorang guru.

Ciri-ciri Guru Berkualiti

Sebagai memberi respon terhadap wabak yang sedang merebak dalam kalangan guru ini, ada sesetengah pihak yang memberikan cadangan supaya konsep ‘payung Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)’ yang diguna pakai oleh pihak PDRM wajar diwujudkan di sekitar kawasan sekolah yang mempunyai masalah disiplin pelajar serta kes jenayah dalam kalangan guru.  Cadangan sebegini sekali lagi hanya berkonsep menghukum dan bukannya mencegah. Padahal, pencegahan daripada peringkat awal itu lebih baik.  Sepatutnya guru-guru itu sendiri dibina menjadi seorang guru yang kuat akidahnya dan mulia akhlaknya.

Di sekolah, arahan yang datang dari guru masih dianggap sebagai arahan yang mesti dipatuhi (Psikologi Anak dan   Pendidikan, Zainul Muttaqin).  Tidak kurang juga pelajar yang menjadikan guru mereka sebagai idola.  Lihat sahajalah ketika musim sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Kad-kad ucapan penghargaan memenuhi meja setiap guru.  ‘Guru, kau idolaku’, ‘Guru, kau lilin hidupku’, ‘Cikgu, kaulah guru, kaulah ibu’ dan berbagai ucapan lagi ditulis menggambarkan guru-guru ini masih merupakan seseorang yang dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar. Namun, generasi baru guru hari ini telah gagal memberikan gambaran seperti itu lagi.  Buktinya, pelajar sendiri sudah berani memukul, mengugut dan merosakkan harta benda guru.  Faktanya terlalu banyak sehingga tidak dapat dibentangkan dalam ruangan yang terhad ini.  Persoalannya di sini, apakah   sebenarnya model guru yang terbaik dan berkualiti yang akan menjamin mutu pengajaran yang berkesan   sekaligus menjadi ‘role model’ bagi pelajar sendiri?

Seorang guru yang cemerlang sepatutnya mempunyai kemampuan atau kebolehan sebagai pendidik,  pengarah, pembina dan teladan bagi pelajar.  Untuk itu, guru mesti menguasai pendidikan Islam dan seterusnya memotivasi pelajar untuk berlumba-lumba dalam mengerjakan amal soleh. 

Imam Ghazali telah menyatakan tujuh ciri pendidik yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas pendidik yang cemerlang iaitu mengikut tingkahlaku dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa  Sallam, menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut atau kasih sayang, bukan memarahi mereka atau   mengejek, dan juga  menyesuaikan pembelajaran dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.

Guru-guru sebegini hanya boleh dilahirkan dalam sistem yang terbaik iaitu sistem pendidikan Islam kerana Islam meletakkan guru sebagai  seorang yang mulia. 

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan betapa Islam memandang tinggi pada guru-guru. Antaranya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” [HR Bukhari dan Muslim].

Islam juga menjanjikan ganjaran yang besar kepada guru sebagai orang yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain.  Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud, “Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ‘Sesungguhnya Allah, Malaikat dan Ahli (penduduk) langit dan bumi; hingga semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia’”. [HR al-Tarmizi].  Ada juga hadis lain yang menjanjikan kebaikan kepada golongan guru iaitu hadis yang bermaksud, “Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”[HR. Muslim]

Jadi, seorang guru yang ingin melahirkan pelajar yang cemerlang syakhsiyahnya mestilah mempunyai ilmu yang luas mengenai Islam dan sentiasa mengaitkan setiap ilmu akademik yang diajarkannya dengan Islam.  Jika tidak, pelajar itu sendiri yang akan goyah akidahnya jika kurang pendedahan mengenai Islam dalam proses pembelajarannya di   sekolah. Guru yang gagal memberikan contoh teladan yang baik apatah lagi ‘berjaya’ menunjukkan contoh yang buruk bakal berdepan dengan azab atas dosanya itu. 

Firman Allah Subhanahu wa Taala maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu  kerjakan.” [TMQ ash-Shaff (61):3] Selain itu hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang memberi maksud yang sama dengan ayat Allah di atas, “Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya  pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. dan sesiapa yang mengasaskan jalan yang tidak baik dalam Islam lalu  diamalkan orang, maka dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukanya dengan  tidak dikurangkan sedikitpun dosanya” [HR Muslim]

Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab pendidik di hadapan Allah Subhanahu wa Taala terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat.  Jika  kesedaran sebegini wujud dalam diri setiap pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang dan melaksanakan kurikulum pengajarannya.  Ini kerana usaha mereka bukan berakhir di situ sahaja, tetapi akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Taala pada hari dihisab-Nya amalan manusia nanti.  Cara untuk membentuk guru yang berkualiti ini ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Khulafa’ ar-Rasyidin dan para khalifah selepas itu melalui penerapan sistem Islam secara keseluruhan dalam setiap aspek pemerintahan mereka.  Dalam sistem pendidikan yang percuma di bawah pemerintahan Islam, guru-guru dibekalkan dengan latihan yang secukupnya bagi memastikan mereka mampu menjadi contoh teladan yang baik pada pelajar-pelajar.  Jika kurikulum pembelajaran dalam Islam menjadikan akidah Islam sebagai asas, begitu juga dengan proses latihan pada guru-guru.  Mereka juga dibentuk dengan akidah Islam yang sempurna sebelum mereka sendiri akan membentuk pelajar-pelajar mereka dengan akidah yang sama.

Khatimah

Sistem kehidupan manusia dewasa ini bukan sekadar gagal menyediakan asas yang kukuh dalam proses pembentukan guru yang baik tetapi juga gagal dalam mengawal sumber-sumber negatif dari meracuni pemikiran dan akhlak masyarakat.  Hakikatnya, peranan guru dalam menyampaikan PKRS sebenarnya telah diambil alih oleh satu entiti. Alat reproduksi remaja secara fisiologinya sudah berkembang secara optimal yang kemudiannya menyebabkan dorongan dan ghairah seksual semakin kuat bersumber daripada  internet, televisyen, industri muzik,  majalah, filem, novel dan bentuk-bentuk media lain. Perkara-perkara inilah yang dimaksudkan dengan entiti itu yang menjadi `guru seks’ bagi remaja terlebih dahulu daripada guru-guru di sekolah. Jadi, tidak hairanlah guru-guru juga menjadi mangsa rakusan entiti tersebut kerana guru juga merupakan sebahagian daripada masyarakat yang tetap terdedah kepada kesan negatifnya. Ia ditambah lagi dengan goyahnya sistem yang melatih dan membentuk guru untuk memenuhi keperluan pasaran pendidikan seperti yang ada pada hari ini.  Itulah akibatnya apabila sistem dari Pencipta Alam ini tidak diamalkan dalam sistem  pendidikan dan sistem-sistem lain. 

Firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka…” [TMQ al-Maa’idah(5): 49]. 

Wallahu’alam.


ARTIKEL PILIHAN: PENDIDIKAN SEKS DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN MALAYSIA: APA YANG TIDAK KENA?

Pendidikan adalah unsur penting dalam pembentukan jati diri dan keperibadian seseorang.  Sukatan pelajaran perlu dirancang dengan sebaiknya agar tidak perlu dipinda dengan kerap.  Pendidikan bersepadu pula akan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah juga dalam seluruh aspek kehidupan. Kejayaan mereka akan menjadi bukti ketrampilan pihak berkenaan dalam penyediaan silibus pembelajaran.

Perbincangan tentang pendidikan seks dalam kurikulum sekolah telah diterbitkan melalui artikel-artikel  Fikratul Ummah (FU) sebelum ini, antaranya artikel FU April bertajuk “Warna-warni Sejarah Silibus Pendidikan Seks di Malaysia” dan artikel FU Jun bertajuk “Senario Pendidikan Seks di Negeri Umat  Islam”. Artikel-artikel ini telah memaparkan penelitian dan pengkajian yang mendedahkan pelbagai  kedangkalan pada asas pengenalan pendidikan ini dan kepincangan yang bakal berlaku sekiranya pendidikan ini terus dilaksanakan dibuktikan oleh  kegagalan usaha-usaha sebelum ini. 

Manakala artikel FU Jun bertajuk “Menyoroti Falsafah Pendidikan Negara” memberi pendedahan eksklusif tentang mengapa falsafah pendidikan yang nampaknya seperti bagus itu telah  gagal mencapai hasratnya.

Kesinambungan daripada kajian-kajian lepas, artikel kali ini akan mengulas matlamat, objektif dan kandungan beberapa mata pelajaran yang mempunyai topik-topik pendidikan seks, termasuk mata pelajaran yang baru diperkenalkan pada tahun 2011. 

Kajian ini akan mencari jawapan kepada persoalan, apakah sebenarnya yang menjadi masalah pada matapelajaran-matapelajaran ini dan sejauh mana kemampuannya untuk menyelesaikan masalah negara ini iaitu masalah   seksual di kalangan anak-anak  muda.

Pendidikan Seks Sebagai  Matapelajaran Bermandiri

Pendidikan seks telah diajar di sekolah semenjak 1989 sebagai tajuk-tajuk tertentu di dalam beberapa mata pelajaran.  Transformasi kurikulum memperkenalkan pendidikan seks sebagai mata pelajaran yang berasingan iaitu dalam Pendidikan   Kesihatan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah). KSSR adalah transformasi terhadap KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) dan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu bermula pada tahun 2011 kepada pelajar Tahun Satu sekolah rendah (Unit Komunikasi  Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia: Pendidikan Seks di sekolah. http://web6.bernama.com/bpa/[…]).

Pendidikan seks, atau nama rasminya pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, dikenali juga dengan nama singkatan PKRS atau PEERS, membentuk 75% dari mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, selain pemakanan dan pertolongan cemas.  Dari segi perlaksanaan, komponen ini sebenarnya masih dalam peringkat cadangan dan akan diajarkan kepada pelajar tahun satu sekolah rendah bermula November 2011, iaitu selepas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). (Utusan 17/06/2011:  Pendidikan seks mula diajar di sekolah November ini. http://www.utusan.com.my/utusan/info.a[…])

Kandungan Pendidikan Seks dalam Kurikulum Sekolah  Malaysia

Jadual di bawah memaparkan komponen pendidikan seks dalam beberapa mata pelajaran teras asas iaitu Pendidikan Kesihatan, Sains dan Pendidikan Islam.  Juga turut dipaparkan secara ringkas matlamat kepada setiap mata pelajaran.


Melihat kepada sukatan pelajaran semua mata pelajaran di atas, dapat dikatakan bahawa ilmu pendidikan seks sudahpun wujud dalam kurikulum yang dirangka.  Oleh itu, amat tidak wajar jika dikatakan kejahilan tentang seksualiti adalah disebabakan ia tidak diajar di sekolah.  Justru hal ini bukanlah  menjadi isu yang sebenar.

Yang menjadi isu ialah kesemua kurikulum yang dirangka ini ternyata tidak menjadikan akidah sebagai dasar!  Meskipun penerapan nilai-nilai murni ditekankan dalam pendidikan, namun ia hanya menjadi perkara sampingan dan bukannya tunggak dalam  pembelajaran.

Masalah yang lebih utama di sini ialah kesemua mata pelajaran kurikulum kebangsaan ini berdiri di atas dasar pemisahan akidah dari  kehidupan. 

Contohnya, pembelajaran tentang seksualiti ini tidakpun menyentuh hakikat bahawa seksualiti adalah anugerah Allah yang bertujuan untuk memperbanyakkan jumlah individu sesuatu spesies kehidupan, akan tetapi ia hanya boleh dipergunakan atas prinsip taqwa, sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam ayat  pertama Surah An-Nisa’. “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai…” [TMQ An-Nisa’(4):1]

Pendidikan Seks dalam Sistem Pendidikan Islam

Pendidikan seks adalah pelajaran yang perlu diajar atas landasan Islam. Mengajarkan pendidikan seks dalam rangka Islam akan memberi pandangan yang luas dan murni tentang kemuliaan seks dalam pernikahan dan kehinaan seks sebelum pernikahan.  Selain itu, ilmu Islam yang berkaitan termasuklah kewajipan menjauhi dan mencegah zina, liwat dan rogol, undang-undang Islam (‘uqubat) yang menanganinya, tanggungjawab individu, masyarakat dan negara dalam menangani isu ini, selain ilmu munakahat dan kekeluargaan.

Meneliti kepada mata pelajaran Pendidikan Islam dalam kurikulum yang sedang dilaksanakan, sebenarnya didapati bahawa sebahagian dari topik pendidikan seks juga turut diajar dalam sebahagian dari tajuk kepada mata pelajaran Pendidikan Islam.  Namun mata pelajaran ini dilaksanakan seolah-olah ia satu mata pelajaran yang tidak penting dan tidak berguna dalam bidang profesional. Secara  relatif, jam waktu mengajarnya sedikit, dan liputan pelajarannya pula tidak mendasar.

Sepatutnya dalam era serba mencabar ini, pelajar perlu diberi pemahaman yang mendalam dan menyeluruh tentang hakikat sebenar akidah sebagai jawapan kepada persoalan paling utama iaitu dari mana ia datang, ke mana ia akan pergi, dan untuk apa ia hidup.  Pemahaman ini, jika menjadi pegangan pelajar, akan menjadi bekalan hidupnya di samping memeliharanya dari tersasar daripada tujuan, sekaligus menyelamatkannya daripada terlibat dengan kesalahan berkaitan seks.

Memandangkan pentingnya pendidikan seks itu diajar dalam kerangka pemikiran Islam, maka   sewajarnya ia diajar dalam mata pelajaran pendidikan Islam.  Maka, kandungan dan metodologi pendidikan Islam harus ditransformasi supaya pendidikan seks diajar oleh guru agama secara bersepadu dengan pengajaran agama.  Manakala mata pelajaran lain pula diajar dengan   bertunjangkan akidah Islam yang  menekankan tanggungjawab manusia kepada Pencipta, diri sendiri dan manusia lain.

Pengajaran pendidikan seks, baik dengan cara mengadakan satu mata pelajaran tunggal, ataupun dengan memasukkan beberapa tajuk berkenaan ke dalam mata pelajaran lain tapi masih lagi memisahkannya dari agama, memberi isyarat kepada pelajar bahawa seks bebas (baca: zina) adalah norma yang mesti diterima oleh masyarakat demi kemodenan.

Khatimah

Islam sudah menggariskan tentang seks dengan terperinci.  Seawal usia kanak-kanak, Islam mewajibkan  pembelajaran tentang cara penyucian diri serta kebersihan fizikal dan rohani. Menginjak umur baligh,  persediaan untuk berkahwin dan berkeluarga pula dibekalkan.

Lebih penting lagi, pelajar juga perlu diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menggalas dosa dan pahala.  Peringatan inilah yang perlu disemai kepada mereka yang baru mencapai umur baligh dan menyediakan mereka ke alam kematangan.

Apabila pelajar ini matang, dengan berbekalkan akidah yang mantap, sudah pasti mereka tidak mudah terjebak ke lembah hina untuk melakukan zina ataupun lebih dahsyat lagi, menggugurkan atau membunuh anak luar nikah.

Dalam apa juga keadaan, agama sama sekali tidak boleh dipinggirkan.  Memperkenalkan sesuatu perkara baru yang begitu asing dari adat dan norma masyarakat perlu dikaji. Sebaliknya agamalah aspek penting yang membentuk jati diri masyarakat Islam.

Wallahu alam.

Rujukan

– Kementerian Pelajaran Malaysia. Dokumen Standard Kurikulum Pend. Kesihatan Tahun 1 (Draf).
  [http://www.moe.gov.my/bpk/kssr_docs/mula.htm ]
– Bernama 06/12/2010: Pendidikan Seks Diajar Berasingan Mulai Tahun Depan.
  [http://web6.bernama.com/bernama/bm/news_lite.php?id=548064]
– Kementerian Pelajaran Malaysia. [http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66]
– Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. [http://www.gemaislam.net/panduan.htm]


FIKIH WANITA: HUKUM BERCINTA DENGAN LELAKI BERISTERI
 
SOALAN:

Assalamualaikum.

Saya ingin menceritakan tentang hubungan saya dengan seorang lelaki. Sekarang saya bercinta dengan seorang lelaki yang sudah beristeri. Dia baru mengatakan bahawa dia sudah beristeri setelah kami bercinta selama sebulan. Dia menjelaskan alasannya, iaitu kerana dia tidak bahagia dalam                   perkahwinannya. Saya pula terlalu sayangkan dia. Saya memang seorang yang mudah sayangkan orang. Saya  juga pernah memintanya untuk meninggalkan saya setelah mengetahui dia sudah beristeri. Tapi dia tidak mahu meninggalkan saya sampai menangis-nangis. Sekarang saya keliru dengan situasi saya ini, harap dapat membantu saya.

JAWAPAN :

Terdapat dua masalah berbeza yang perlu dibahaskan dalam kes ini. Pertama, adalah tentang hukum bercinta (coupling) sebelum bernikah. Kedua, apakah hukum bernikah dengan lelaki yang sudah beristeri (dipoligami)?

Hukum Bercinta (Coupling)

Bercinta (coupling) sebelum bernikah adalah perbuatan yang hukumnya haram. Walaupun tidak ada definisi yang tepat dan disepakati tentang bercinta, tetapi pada umumnya bercinta ialah kegiatan bersenang-senang antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri. Kegiatan bersenang-senang itu bentuknya bermacam-macam. Pasangan bercinta sering akan meghabiskan masanya bersama-sama seperti makan bersama-sama, menonton wayang bersama-sama, jalan-jalan bersama-sama, bahkan sampai tidur bersama-sama.

Bercinta termasuk dalam kategori  perbuatan yang mendekati zina kerana bercinta merupakan titik mula yang menjerumuskan pelakunya kepada  perbuatan zina yang sebenar. Oleh itu, semua aktiviti bercinta tersebut  hukumnya adalah haram.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman:“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.” [TMQ al-Isra’ (19):32]

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama  Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka  disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nuur (24):2]

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam  juga bersabda: “Sesiapa saja yang beriman kepada Allah Swt. dan hari akhir, janganlah sekali-kali ia berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita yang tidak disertai mahramnya,kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan.” [HR Ahmad]

Oleh itu, hukum bercinta dengan lelaki bujang ataupun lelaki yang sudah beristeri kedua-duanya ialah haram,  kerana percintaan hanya dibenarkan melalui ikatan pernikahan.

Hukum Poligami

Poligami (Lelaki mengahwini lebih daripada satu) adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Hukum Poligami (Ta’addudi al-Zaujat)  menurut jumhur ulama adalah mubah (boleh). Berikut ayat al-Quran yang membahas tentang hal ini, Allah  Subhanhu wa Taala berfirman:

“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kalian nikahi budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”  [TMQ an-Nisaa’ (4):3]

Ayat ini diturunkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam pada tahun kelapan hijriyah. Ayat ini pada dasarnya ditujukan untuk membatasi jumlah maksimum isteri kepada empat orang saja. Sebelum ayat ini diturunkan, jumlah isteri bagi seorang  lelaki tidak ada batasnya. Apabila dikaji dan difahami ayat ini, nampak jelas bahawa ayat ini diturunkan untuk membatasi jumlah isteri hingga hanya empat orang saja.

Kebolehan poligami tidak bergantung kepada adil, kerana adil bukanlah merupakan syarat poligami. Allah Subhanahu wa Taala telah menjelaskan dengan sangat jelas  tentang hal ini: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 3]

Ayat ini menunjukkan dengan jelas bolehnya poligami secara mutlak. Ayat itu telah selesai (sempurna) dan berdiri sendiri. Selanjutnya dimulai dengan ayat baru (kalaam musta’niif) dengan makna baru:

“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kalian nikahi budak-budak yang kamu miliki.[TMQ an-Nisaa’ (4): 3]

Potongan ayat dalam ayat ini bukanlah ayat persyaratan. Sebab, potongan ayat ini tidak bergabung dengan potongan ayat sebelumnya, tetapi sekadar kalam musta’nif (kalimat permulaan). Seandainya hal ini adalah ayat persyaratan, tentulah ayat tersebut akan berbunyi: Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua, tiga atau empat jika kalian dapat berlaku adil.

Namun, susunan ayat yang telah Allah turunkan seperti di atas menunjukkan dengan jelas, bahawa keadilan bukanlah syarat untuk menikahi lebih daripada seorang wanita. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum syariat yang berbeza dengan potongan ayat kedua. Potongan ayat pertama menunjukkan hukum bolehnya berpoligami sebatas empat orang saja, sedangkan potongan ayat kedua menunjukkan hukum lain, iaitu Allah lebih suka jika menikahi seorang sahaja jika dengan berpoligami itu akan menyebabkan suami tidak boleh   berlaku adil di antara mereka.

Akan tetapi ayat kedua ini sama sekali tidak menafikan (meniadakan) pengertian ayat yang pertama. Jadi, dapat disimpulkan dengan jelas bahawa adil bukanlah syarat bagi poligami. Siapa pun yang menafsirkan bahawa keadilan merupakan syarat untuk berpoligami, bererti ia telah menafsirkan  al-Quran secara rambang dan telah menyimpang daripada penafsiran yang benar. Perlu diketahui juga  bahawa kerelaan isteri untuk dimadu bukanlah syarat dalam keharusan poligami.

Jadi, kalau memang lelaki itu serius untuk berkahwin lagi dengan anda, dia boleh melakukannya. Akan tetapi, banyak tanggungjawab yang harus dipenuhi, termasuklah tidak boleh mengabaikan isteri  pertamanya.

Perasaan Telanjur Sayang

Tentang perasaan anda yang terlalu sayangkan dia, sebenarnya perasaan itu perlu diperhatikan terlebih       dahulu. Perasaan sifatnya boleh berubah-ubah. Boleh jadi hari ini anda mencintai seseorang, tapi esoknya berubah menjadi benci. Perasaan juga bukanlah suatu hal yang harus dituruti, bahkan dalam kebanyakan keadaan perasaan harus dikawal, bahkan dilawan.

Bukankah Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;   Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [TMQ al- Baqarah (2):216]

Sesungguhnya yang paling mengetahui hakikat baik dan buruk hanyalah Allah semata-mata. Kita hanyalah makhluk yang harus taat kepada-Nya. Apa-apa sahaja yang menurut-Nya baik, maka itulah yang baik untuk kita dan apa-apa yang menurut-Nya buruk, maka itulah yang buruk untuk kita.

Bercinta adalah perbuatan yang  disukai oleh banyak orang, tetapi sesungguhnya bercinta itu adalah perbuatan yang buruk kerana bercinta itu haram. Jadi, jangan menuruti perasaan anda itu. Alihkanlah kepada hal-hal lain yang boleh membuatkan anda melupakannya. Sibukkanlah diri  dengan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat seperti melakukan hobi-hobi yang ilmiah (membaca ataupun menulis), bergaul dengan teman-teman yang lain, dan kegiatan-kegiatan lain yang anda sukai namun bermanfaat.
 
Semoga anda mampu menyelesaikan masalah ini dengan segera. Yakinlah, semua masalah pasti ada              penyelesaiannya dalam Islam. Syariat Islam adalah ‘ubat’ daripada segala macam masalah manusia. yang tinggal cuma mahu “meminumnya” atau tidak.

Sumber:
www.syariahpublications.com


SERUAN MUSLIMAH

Bermula bulan April 2011 sehingga kini, sidang redaksi Fikratul Ummah telah membuat kajian tentang realiti pelaksanaan silibus PKRS dan membentangkannya kepada para pembaca sekalian. InsyaAllah masih lagi berbaki tiga bulan bagi pihak sidang redaksi untuk terus mengajak anda memerhatikan isu ini melalui bacaan artikel-artikel terpilih sehingga bulan Okober nanti.

Dalam masa yang sama, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) di seluruh Malaysia pula bergabung melaksanakan kempen ‘Jom Bincang’ dengan giatnya melalui pelbagai uslub (cara) di tengah-tengah masyarakat. Pada peringkat awal, risalah keluaran MHTM iaitu Nahdatul Fikriyyah telah diedarkan untuk bacaan masyarakat di samping sebaran booklet Fikratul Ummah. Ia bertujuan untuk mengetuk jiwa-jiwa umat Islam yang lena supaya sedar tentang kerosakan atau ‘malapetaka’ yang sedang berlaku di sekeliling mereka sekarang. 

Sesungguhnya, penyakit gejala sosial telah lama merebak dan semakin membarah inilah yang membawa kepada pengenalan silibus PKRS.

Seterusnya, kajian pendapat masyarakat tentang kewajaran pengenalan PKRS ini dianjurkan melalui edaran Borang Kaji Selidik di seluruh Malaysia. Pihak MHTM berdiri dan bergerak di tengah-tengah orang ramai mengajak masyarakat memahami isu ini dan melontarkan pendapat mereka tentang kewajaran pelaksanaan PKRS.  Ceramah-ceramah dan tazkirah juga ada dianjurkan bagi memberi sedikit sebanyak info dan penjelasan kepada masyarakat yang mahu mendengar dan mahu mengkajinya.

Pada bulan Julai ini pula, maka bermulalah Siri Jelajah Malaysia yang akan membawa masyarakat bertemu MHTM dalam Seminar Wanita yang bertemakan  “Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS): Tindakan Sesaat atau Penyelesaian yang Tepat?”. Seminar yang bakal bermula di Kuala Lumpur ini akan terus menjelajah beberapa buah negeri di Malaysia iaitu Perak, Kelantan, Johor, Terengganu, Kedah, termasuk juga Sabah dan diakhiri di Selangor. 

Seminar ini juga bertujuan untuk menyampaikan realiti pelaksanaan silibus PKRS serta membongkar kelemahan dan keburukannya secara menyeluruh.

Seminar ini juga bertujuan mengajak masyarakat Islam untuk kembali memerhatikan hukum-hukum Islam yang mampu menyelesaikan masalah gejala sosial secara tuntas. Seterusnya menyeru mereka untuk bersama-sama MHTM memperjuangkan satu sistem yang bakal melaksanakannya secara keseluruhan.
 
Maka, kepada seluruh Muslimah khususnya dan semua wanita amnya, nantikan kemunculan MHTM di tempat anda dan marilah bersama-sama kami menghadiri seminar ini.

Semoga setiap usaha kita dalam mengubah kerosakan yang sedang berlaku sekarang kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki akan dikira oleh Allah sebagai amal soleh dan dibalas dengan ganjaran yang setimpal, InsyaAllah.