Fikratul Ummah – October 2014

alt
 

MUQADDIMATUL KALAM

Oleh: Ketua Pengarang   

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarokatuh..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya, sebuah program Suara Wanita Untuk Wanita (SWUW) telah berjaya diadakan pada 21 September yang lalu. Program yang dianjurkan oleh Khilafah Centre dengan kerjasama MHTM ini telah membawa tema ‘Wanita Cemerlang Membangun Peradaban Gemilang’.

Sebagaimana yang kita maklum, Malaysia telah menyambut Hari Wanita peringkat Kebangsaan yang ke-52 pada 8 Ogos yang lepas. Tema ‘Wanita Pendukung Aspirasi Negara’ telah menjadi pilihan.  Salah satu tujuan sambutan Hari Wanita adalah untuk memberi penghargaan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang pendidikan dan kerjaya serta mampu menyumbang kepada pembangungan ekonomi negara. Peningkatan jumlah kaum Hawa dalam sektor pendidikan dan pasaran kerja ini dianggap sebagai satu kebanggaan bagi Negara Malaysia. Namun, adakah kejayaan ini cukup membuatkan kita bangga? Jika diperhatikan, seiring dengan peningkatan ini, kes-kes jenayah dalam negara yang kebanyakannya melibatkan kaum Hawa juga turut meningkat dengan mendadaknya hari demi hari. Adakah aspirasi ini yang ingin dicapai oleh sebuah negara yang dikatakan aman dan stabil?

Pembaca yang semoga dirahmati Allah SWT,
Hal ini sangat berbeza dengan kegemilangan wanita yang dikecapi ketika mana Daulah Khilafah berlangsung selama lebih 1300 tahun. Sesungguhnya kecemerlangan wanita semasa era pemerintahan Islam dahulu telah membangun sebuah peradaban yang gemilang yang membuatkan setiap nadi yang berada di bawah naungannya sejahtera dan terpelihara nyawa, harta dan darah. Pendidikan, kesihatan, ekonomi dan pelbagai keperluan lagi dicukupkan bagi setiap rakyatnya. Malah, wanita-wanita dalam Daulah turut ada yang bekerja menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang demi meninggikan syiar Islam di mata dunia.

Maka, program SWUW yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini telah menampilkan sembilan orang ahli panel dengan tajuk pembentangan masing-masing yang bertujuan untuk membangkitkan semangat juang para Muslimah dan mengarahkan semangat itu ke jalan yang benar. FU kali ini dengan sukacitanya melampirkan lapan teks pembentangan para panel manakala teks pembentangan seorang lagi ahli panel telah pun dipaparkan dalam risalah Nahdhah Fikriyyah (NF) edisi ke-22 keluaran MHTM. Semoga segala seruan dakwah ini membawa kemanfaatan buat kita semua. Aamiin..

Wallahhu’alam…

 


Khilafah: Sejarah Peradaban Gemilang
Oleh: Cik Syamsiyah Jamil (Pimpinan Pusat MHTM)

Wanita Tanpa Khilafah
Terlebih dahulu, marilah kita renungi realiti masyarakat yang diperintah dengan sistem demokrasi-kapitalis pada hari ini. Mereka memberi penilaian terhadap kemuliaan dan kehebatan seseorang wanita itu dengan pelbagai standard yang semuanya berhujung kepada material. Seringkali kemajuan wanita diukur dari besarnya jumlah mereka mewakili politik wanita dalam pemerintahan Negara dan penyertaannya di medan umum,  serta kebebasannya untuk merealisasikan diri tanpa diskriminasi dan batasan. Namun ‘kemajuan’ tersebut selalu diiringi dengan hancurnya institusi keluarga akibat tingginya angka perceraian, kerosakan moral berupa bermaharajalelanya pornografi hingga perzinaan dan keganasan dalam bentuk pemerkosaan hingga pembunuhan wanita. Keadaan ironis tersebut disebabkan dunia ketika ini didominasi oleh sistem demokrasi-kapitalis yang menjunjung tinggi nilai-nilai kebebasan dan mengukur segala sesuatu dengan ukuran material.

Di kalangan aktivis wanita pula, mereka berusaha mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut dengan mengubah peraturan perundangan yang dianggap diskriminatif terhadap wanita. Para aktivis ini menilai akar penderitaan wanita berasal dari budaya patriarki, ketidaksetaraan antara lelaki dan wanita serta ketidakadilan gender. Para aktivis wanita ini terlibat dalam berbagai forum dan konvensyen antarabangsa yang  dianggap prihatin pada nasib wanita. Semua ini adalah buah dari sistem pemerintahan demokrasi-sekular yang menghasilkan cara berfikir yang liberal. Malaysia merupakan salah sebuah Negara yang telah lama menggunapakai sistem ini. Persoalannya, benarkah demokrasi telah membawa kebaikan kepada negara ini?

Semenjak kemerdekaannya pada tahun 1948, demokrasi yang diterapkan di negara ini telah membawa banyak kesan buruk kepada rakyat Malaysia termasuklah kaum wanitanya. Seharusnya kita tahu bahawa demokrasi itu tiada lain adalah pemerintahan dari rakyat oleh rakyat kepada rakyat. Namun yang terjadi, rakyat kian sengsara. Dalam sistem ini, rakyatlah yang membuat peraturan. Demokrasi tidak memberikan ruang agar peraturan Allah dapat diterapkan. Bahkan peraturan Allah akan mudah tersingkir atas dasar kompromi manusia. Apakah kita tidak menyedari bahawasanya kita adalah hamba Allah sehingga layakkah untuk kita mengambil peraturan selain dari Allah SWT?

Berbagai catatan suram menghiasi  lembaran kehidupan wanita di Malaysia. Kita melihat keadaan wanita, khususnya keluarga Muslim ketika ini sangat jauh dari ajaran dan peraturan Islam. Sesungguhnya kehinaan yang menimpa kaum wanita dan umat Islam secara keseluruhan pada hari ini tidak boleh terjadi. Mereka ada potensi untuk bangkit kembali menjadi umat yang terbaik dan mulia di sisi Allah sebagaimana firmanNya dalam surah ali-Imran ayat 110. Mereka memiliki potensi berupa sumber manusia dan sumber alam yang melimpah ruah. Mereka juga memiliki potensi berupa ideologi Islam yang tegak di atas asas yang benar, yang dengan peraturannya mampu menyelesaikan seluruh permasalahan manusia dengan sempurna dan memuaskan.

Wanita perlu sedar bahawa mereka mampu memberikan sumbangan besar dalam membangun peradaban. Kaum wanita adalah sebahagian daripada masyarakat dan turut bertanggungjawab mencorakkan masyarakat. Islam mengajarkan bahawa kekuatan dan kemandirian perlu dilandaskan oleh ilmu dan iman. Oleh kerana itu, untuk menjadi Muslimah yang sejati, tidak ada jalan lain kecuali dengan kembali kepada aturan-aturan Islam dan berjuang menegakkan Khilafah. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda perjuangan umat Islam, termasuk para Muslimah.
Apa Itu Khilafah?

Sabda Rasulullah SAW, “Dahulu Bani Israel itu dipimpin (diperintah) oleh nabi-nabi. Setiap seorang nabi mati, digantikan nabi yang lain. Tetapi tidak ada nabi sesudahku, dan akan ada khalifah-khalifah. Dan jumlah mereka itu ramai  [HR Muslim].

Khilafah bermaksud kepemimpinan, imamah atau kekhalifahan. Ia merupakan satu bentuk pemerintahan Islam. Pemimpin atau ketua pemerintahannya dinamakan Khalifah. Islam telah menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Ketika bumi Eropah diselimuti kegelapan, peradaban Islam memancarkan cahaya kegemilangannya. Selama hampir 13 abad, peradaban Islam telah menaungi setiap penjuru bumi ini di bawah payung Khilafah Islamiyyah. Bernard Lewis, seorang intelektual Barat dalam bukunya ‘What Went Wrong’ menyatakan bahawa Islam pernah mempunyai kekuatan ketenteraan yang paling besar di dunia. Ekonominya pernah mencapai kekuatan ekonomi paling maju di dunia. Islam juga pernah mencapai peringkat tertinggi dalam sejarah manusia. Begitu juga dalam seni dan ilmu pengetahuan.

Khilafah adalah junnah (perisai) yang melindungi rakyatnya. Wanita dimuliakan dengan tugas utama menjadi ibu dan pengurus rumah tangga. Wanita dijamin haknya untuk dilindungi kehormatan, akal, harta, jiwa, agama dan keamanannya. Demikian juga haknya untuk mendapatkan pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan termasuklah hak berpolitik. Khalifah sebagai pemimpin dan pengurus umat pula sentiasa menjamin keperluan rakyatnya agar terpenuhi. Beberapa gambaran implementasi yang telah dicontohkan oleh para khalifah di era terdahulu dapat kita lihat pada diri Abu Bakar RA, seorang Khalifah yang melayani seorang wanita tua dan buta yang tinggal di pinggiran Madinah. Sahabatnya, Umar Ibnu al-Khaththab RA ingin juga merawat wanita itu, tetapi mendapati Abu Bakar RA telah dahulu memasak makanan, membersihkan rumah dan mencuci pakaian untuknya.

Begitu juga pada diri Umar RA, ketika menjadi khalifah sepeninggalan Abu Bakar, beliau memilih untuk memikul sendiri karung gandum dari Baitul Mal menuju ke rumah seorang wanita miskin yang tinggal di luar Madinah bersama anak-anaknya lalu memasak makanan untuk mereka. Beliau menolak tawaran pembantunya untuk membawakan karung itu dengan mengatakan, “Apakah anda akan memikul dosa-dosa saya dan tanggungjawab atas saya pada Hari Perhitungan nanti?

Sejahtera Di Bawah Naungan Khilafah
Khilafah adalah sejarah agung yang melindungi dan mensejahterakan bukan sahaja terhadap wanita, bahkan turut kepada rakyat secara keseluruhan. Sejarah menyebutkan bahawa ketika Yahudi Bani Qainuqa’ berani melakukan pelecehan terhadap seorang Muslimah di pasar mereka, mereka akhirnya dikepung selama 15 hari hingga menyerah kalah oleh pasukan tentera Rasulullah SAW. Demikian juga, peristiwa yang sama yang menyebabkan wilayah Amuria akhirnya ditakluki tentera Khalifah Mu’tasim Billah.

Bukti-bukti tentang tingginya tingkat kesejahteraan masyarakat di bawah naungan Islam telah banyak tercatat dalam tinta sejarah peradabannya yang gemilang. Institusi Khilafah yang menerapkan segala ajaran Islam memandang bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu rakyatnya. Oleh itu, dalam Daulah Khilafah, kemudahan pendidikan diberikan secara percuma kepada rakyatnya. Pentas peradaban Islam tidak hanya didominasi oleh lelaki. Wanita juga muncul untuk memberikan sumbangan. Mereka menunjukkan kecemerlangan pemikirannya dalam pelbagai bidang. Hal ini bermula sejak zaman Nabi Muhammad dan para sahabatnya ketika merintis masyarakat berperadaban.

Selain itu, Daulah Khilafah menerapkan polisi pemerintahannya dengan adil, khususnya dalam bidang kesejahteraan sosial dan ekonomi. Dalam bidang pengangkutan dan telekomunikasi, Daulah Khilafah membina infrastruktur yang mencukupi. Dalam bidang kesihatan yang merupakan keperluan utama, Daulah Khilafah memberikan kemudahan kesihatan dengan segenap kemampuannya secara percuma kepada rakyatnya. Manakala dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, Islam melahirkan para ilmuan yang menginspirasi dunia melalui penemuan dan karya-karyanya. Inilah bukti kegemilangan Daulah Khilafah. Sebuah peraturan kehidupan yang indah, bersumber dari wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Namun, sayang sekali kerana segala tinta emas itu berlakunya dahulu, iaitu ketika umat Islam berada di bawah naungan Khilafah. Hari ini umat Islam tidak memiliki Negara yang dapat menerapkan hukum-hukum Islam. Khilafah Islam telah lebih 90 tahun yang lalu dihancurkan oleh musuh-musuh Islam. Saat ini wanita telah kehilangan kemuliaan, kebahagiaan dan kesejahteraannya akibat kezaliman sistem sekular-kapitalis. Apakah sejarah gemilang ini dapat berulang kembali? Bagaimana kita sebagai wanita mampu untuk mengembalikannya?

Perjuangan Wanita Cemerlang
Mari kita berfikir dan menilai apakah yang sepatutnya kita lakukan. Tentunya dengan bekal keimanan dan keintelektualan yang kita miliki, kita akan sampai kepada suatu kesedaran bahawa kita perlu kembali kepada peraturan yang dibuat oleh Pencipta kita sendiri. Peraturan Pencipta kita hanya akan dapat direalisasikan jika syariatNya diterapkan dalam naungan Khilafah.

Akhwati rahimakumulllah, Imam al-Ghazali sendiri pernah menyatakan bahawa agama tanpa asas akan runtuh, dan asas itu adalah keimanan. Begitu juga agama tanpa penjaga akan musnah atau lenyap, dan penjaga itu adalah Khilafah. Sungguh, telah banyak bukti menunjukkan bahawa Islam yang direpresentasikan oleh Khilafah Islamiyyah (Negara Islam) begitu memuliakan wanita, mensejahterakan kehidupan mereka, bahkan umat secara keseluruhan. Ayuhlah wahai Muslimah sekalian! Berjuanglah untuk Allah dan RasulNya demi mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di bawah naungan Khilafah Islamiyyah.

Wallahu’alam…
 


Menyumbang Kepakaran Kepada Peradaban Gemilang
Oleh: Dr Ainul @ Aeni Bt Shuib (Ahli Lajnah Komunikasi Media MHTM)

Pepatah mengatakan, “Di sebalik kejayaan seseorang lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya”. Jika diamati, ungkapan ini ternyata benar daripada pelbagai aspek. Golongan Hawalah yang melahirkan dan di tangannya jugalah terdapat sentuhan, belaian, pendidikan berpanjangan secara langsung dan tidak langsung sehingga membesarnya seseorang individu yang berjaya.

Menjadi seseorang yang berjaya adalah impian setiap individu. Apatah lagi sekiranya dapat menyumbang tenaga dan idea khususnya dalam pembangunan nusa dan bangsa. Banyak sekali buku-buku yang menulis tentang para saintis yang terkemuka yang mana kebanyakannya terdiri daripada golongan lelaki baik saintis dari dunia Islam mahupun dunia Barat. Nama-nama seperti al-Farabi, Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Elbert Einsten, Alexender Graham Bell dan ramai lagi adalah begitu merupakan contoh tokoh-tokoh saintis yang tersohor pada zaman mereka dan setiap sumbangan mereka masih releven sehingga sekarang.

Namun sumbagan daripada saintis perempuan amat jarang sekali diketahui umum dan amat jarang sekali ditulis dalam mana-mana buku apatah lagi untuk menjadi sebutan sepanjang zaman akan sumbangan yang telah mereka berikan kepada tamadun dunia dan pembangunan peradaban manusia itu sendiri.
 
Sumbangan daripada kaum Hawa dapat dilihat banyak sekali semasa Islam menaungi 2/3 dunia di bawah sistem pemerintahan Daulah Khilafah yang mana sistem ini bermula dengan Negara Islam yang pertama iaitu Negara Islam Madinah yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW yang mana sistem ini telah mensejahterakan selama lebih 1400 tahun sehinggalah Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki dijatuhkan secara rasminya pada 3 Mac 1924 oleh Mustafa Kamal al-Tartuk laknatullah.

Sebagai contoh seorang Muslimah yang menyumbangkan kepakarannya dalam kemajuan Negara ialah Siti Zubaidah binti Jaafar. Beliau ialah isteri kepada Khalifah Harun al-Rashid. Beliau seorang wanita yang pintar dan berpandangan luas sekaligus merupakan seorang hartawan. Antara sumbangannya ialah beliau seorang pakar yang berjasa dalam membangunkan infrastruktur pada zaman Khilafah Abbasiyah. Beliau  telah membina terusan di antara Mekah dan Mina.

Idea Siti Zubaidah terdetik untuk membina terusan tersebut apabila beliau mendapat tahu bahawa penduduk Mekah menghadapi masalah kekurangan air ketika mengerjakan haji pada tahun 186H. Melihat keadaan itu, beliau mengarahkan semua arkitek dan pekerja untuk segera melaksanakan pembinaan projek terusan itu walaupun terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar. Apa yang dilakukan adalah dengan menyambung mata air dari gunung-gunung di sekitar Mekah. Kos tersebut menelan belanja 1,700,000 dinar. Selain itu, beliau juga turut membaiki jalan di antara Baghdad dan Mekah.

Seorang lagi tokoh Muslimah ialah Rufaidah binti Sa’ad al-Bani Aslam al-Khazraj. Beliau lahir dan membesar di Madinah, berasal daripada kalangan kaum Ansar iaitu suatu golongan yang pertama kali memeluk agama Islam di Madinah. Beliau belajar ilmu merawat pesakit daripada ayahandanya. Ayahnya ialah seorang doktor. Semasa kota Madinah berkembang, Rufaidah mengabdikan dirinya merawat kaum Muslimin yang sakit dan membangun khemah di luar Masjid Nabawi saat dalam keadaan damai. Tugas Rufaidah juga adalah menjadi sukarelawan merawat  pejuang Islam yang terluka saat perang Badar, Uhud dan Khandaq. Beliau juga mendirikan hospital bergerak sehingga terkenal saat perang dan Rasulullah SAW pun memerintahkan agar perajurit yang terluka di bantu oleh Rufaidah.

Selain itu, Rufaidah turut melatih beberapa kumpulan wanita untuk menjadi jururawat dan dalam perang Khaibar mereka meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk ikut di barisan belakang pertempuran untuk merawat mereka yang terluka. Di sinilah bermulanya dunia perubatan dan dunia kejururawatan.

Seorang lagi Muslimah yang menyumbangkan kepakarannya dalam tamadun dunia ialah Merriam al-Ijliya. Beliau ialah seorang pakar dalam membuat peralatan dalam mengkaji bintang di Aleppo. Ayahnya ialah seorang pelatih kepada pembuat alat kaji bintang terkenal di Baghdad iaitu peranti rumit untuk navigasi di darat dan penentu masa. Merriam al-Ijliya adalah salah seorang murid kepada ayahnya sendiri. Beliau merupakan Muslimah yang bekerja dalam bidang sains bermula tahun 944H sehingga tahun 967H dan beliau telah diupah oleh Sayft al-Dawla, pemerintah yang bertanggungjawab di bandar tersebut.

Tokoh-tokoh Muslimah di atas adalah contoh Muslimah yang amat besar jasa dan sumbangannya.  Mereka bukan sahaja berjaya malah mereka adalah penyumbang kepakaran kepada pembangunan manusia, sekaligus kepada tamadun dan peradaban dunia.

Satu fakta yang tidak dapat dinafikan dan seharusnya disedari oleh setiap individu Muslim adalah bahawa kebanyakan kemajuan yang ada sekarang sebenarnya bermula daripada penemuan-penemuan dan kajian-kajian primer (awal) yang yang dilakukan oleh orang Islam itu sendiri dan bukannya daripada Barat. Contohnya, kecanggihan dunia geografi dengan terciptanya kalender Lunar, terhasilnya peta-peta dunia, kajian dalam bidang sains dengan penemuan cara eksperimen saintifik, kajian dalam bidang perubatan dengan penemuan peredaran darah pulmonary dan banyak lagi sumbangan lain semuanya adalah hasil penemuan ilmuan Islam dan ia masih menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Kesimpulannya, sumbangan seseorang pakar dalam bidang kepakaran masing-masing adalah amat penting untuk kemajuan negara.  Ini kerana dengan adanya seseorang yang pakar dalam bidang tertentu, akan menjadikan sesebuah negara itu terkedepan dalam sesuatu bidang dan dapat menyumbang kepada  kegemilangan peradaban dunia di samping menjadi sumber rujukan yang penting. Allah SWT berfirman

“..Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui [TMQ an-Nahl (16):43].


Peranan Wanita Dalam Dakwah
Oleh: Ustazah Zaharah Buhari (Ketua Lajnah Muballighah MHTM)

Apabila seorang Muslimah memahami dengan jelas tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, dia bukan sekadar menjadi ibu dan suri rumahtangga. Tetapi, seorang Muslimah yang memahami peranannya yang sebenar akan berusaha untuk menjadi khoiru ummah (umat terbaik). Umat terbaik adalah umat yang melaksanakan dakwah terhadap kaum keluarganya dan juga terhadap masyarakat setempat. Allah SWT berfirman,

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah [TMQ ali-‘Imran (3):110].

Dalam hal ini, seorang Muslimah tidak hanya memfokuskan amalan ruhiyyah (kerohanian) dan kerja-kerja rumahtangga semata-mata. Sebaliknya Muslimah juga wajib berusaha melaksanakan kewajipan lain iaitu mendalami ilmu agama secara istiqamah (berterusan). Allah SWT berfirman,

 “Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”  [TMQ al-Insyirah (94):7-8].

Seorang Muslimah juga wajib melakukan amar makruf nahi mungkar sebagai tanda keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman,

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar.” [TMQ at-Taubah (9):71].

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang-orang beriman dan orang munafik. Ia menjadi ciri orang beriman yang mana asasnya ialah menyeru (berdakwah) kepada Islam. Allah SWT berfirman,

 “Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus,  mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan. Mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebaikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh [TMQ ali-‘Imran (3):113-114].
 
Wanita sangat penting untuk terlibat dalam dakwah kerana terdapat banyak persoalan atau hal yang berkaitan dengan wanita, adalah lebih difahami oleh kaum wanita sendiri.  Sesungguhnya, terdapat sebahagian besar kaum wanita tidak dapat menjelaskan permasalahan yang dihadapinya terhadap pendakwah lelaki kerana malu untuk menyatakan secara terus terang permasalahan yang sedang dihadapinya. Terdapat pula keadaan yang mana wanita tidak dapat mengikuti dakwah yang disampaikan kerana timbul persoalan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis). Begitu juga halnya, jika timbul konflik dalam urusan rumahtangga yang memerlukan tindakan segera untuk diselesaikan, adalah lebih mudah jika sesama wanita yang memberikan penjelasan ataupun pandangan kerana mereka lebih saling memahami dan mudah untuk berterus terang.

Melaksanakan kewajipan dakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Seumpama syurga Allah yang luasnya seluas langit dan bumi disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, maka perjalanan merealisasikan impian untuk kekal di dalam syurga perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,

Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat[HR al-Bukhari dan Muslim].

Seorang Muslimah khususnya para ibu perlulah melakukan pengorbanan yang amat besar untuk melakukan kewajipan ini kerana dibahunya turut sama terbeban kewajipan selaku ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bait).  Memadukan dakwah dengan urusan rumahtangga bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan terutamanya kepada ibu-ibu Muslim yang bekerjaya. Akan tetapi para Muslimah perlu memahami bahawa peranan mereka dalam dakwah adalah penting terutamanya dalam aspek yang didominasi oleh wanita seperti aurat wanita, hukum-hukum tentang kelahiran, penyusuan, pemeliharaan anak dan lain-lain urusan yang melibatkan wanita, yang mana seorang Muslimah itu akan diminta pertanggungjawaban lebih daripada urusan haid dan nifas sahaja.

Jika ditelusuri sejarah, Muslimah pada zaman Rasulullah SAW iaitu Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki dalam menimba ilmu. Beliau terkenal kerana keaktifannya dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam dalam kalangan pelbagai kabilah. Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul ‘Ila Ibnati’, keadaan umat pada masa kini sangat memerlukan kaum wanita untuk memainkan peranan yang aktif dalam dakwah. Hal ini kerana menurutnya pada masa kini penjajah Barat sedang berusaha mengeksploitasi wanita dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya  melalui media massa, sama ada media cetak mahupun media elektronik.

Justeru, wanita perlu bangkit dari lena dan buaian kehidupan moden dan berusaha mengorak langkah untuk aktif dalam berdakwah, mempelajari ilmu-ilmu agama, terlibat dalam kegiatan dakwah, dalam rangka melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan menanamkan tekad dalam diri bahawa dalam rangka untuk menjadi seorang ibu yang terbaik, maka mereka perlu melaksanakan tanggungjawab dakwah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Allah SWT berfirman,

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa[TMQ ali-Imran(3):133].

Wallahu’alam..
 


KANAK-KANAK CEMERLANG PENERUS GENERASI GEMILANG
Oleh: Adik Siti Hajar Anas (Kanak-Kanak Pejuang Syariah dan Khilafah)

Islam memandang kemuliaan seseorang pada keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13,

Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”.

Lantaran itu, ajaran Islam meninggikan darjat manusia termasuk kaum wanita jika mereka bertakwa kepada Allah SWT. Islam telah memuliakan kita semua dan menempatkan kita pada kedudukan yang terhormat. Rasulullah SAW bersabda,

Takutlah kepada Allah dan hormatilah kaum wanita [HR Muslim].

Kanak-kanak juga merupakan golongan yang wajib dibela dan dipelihara. Islam menuntut agar anak-anak dididik atas dasar keimanan kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali berbuat syirik kepada Allah SWT, sebagaimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Dalam satu hadis sahih ada menyatakan bahawa “Orang yang pertama kali masuk Islam dari kalangan pemuda ialah Abu Bakar, sedangkan Ali masuk Islam ketika ia masih kanak-kanak dalam usia lapan tahun, sedangkan orang yang pertama kali masuk Islam dari kalangan wanita ialah Khadijah”.

Golongan kanak-kanak adalah sebahagian daripada masyarakat dan turut berperanan dalam mencorakkan kehidupan bermasyarakat. Pada zaman awal dakwah Islam, ramai kanak-kanak Islam telah menjadi penyumbang kepada dakwah dan perjuangan Islam. Antaranya ialah Saidina Ali, Zubair bin Awwam, Ibnu Abbas, Ibnu Omar, Saidatina Aishah, Fatimah dan Asma’ binti Abu Bakar. Peranan dan sumbangan mereka berbeza-beza. Persamaannya, mereka semua sangat bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah dan berjuang menegakkan Islam sebagai satu sistem kehidupan yang sempurna.

Sebagai contoh, Saidatina Asma’ binti Abu Bakar telah memainkan peranan penting ketika hijrahnya Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Beliau telah ditugaskan untuk membawa bekalan makanan kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA ketika kedua-duanya sedang berada di gua Thur selama tiga hari semasa dalam perjalanan hijrah ke kota Madinah.

Jelas bahawa  kanak-kanak tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam perjuangan Islam. Di tangan mereka insyaAllah akan terbentuk generasi cemerlang harapan umat dan di tangan mereka juga tergenggam masa depan umat. Justeru itu, Islam sangat mendorong agar kanak-kanak Islam juga mempunyai kesedaran politik yang sewajarnya, supaya mereka sentiasa peka dan prihatin terhadap segala sesuatu yang berlaku di dunia umat Islam.

Kanak-kanak juga perlu didorong dan dibina dengan pemahaman Islam yang mustanir (cemerlang) sehingga kami mampu membuat pilihan yang betul apabila menghadapi pelbagai cabaran dan pengaruh besar yang ada di sekeliling kami. Sebagai kanak-kanak Islam, selain daripada mendidik kami agar bersolat dan menuntut ilmu, kami juga perlu terus dilibatkan dalam aktiviti dakwah yang membangkitkan umat Islam.

Semoga  usaha untuk mewujudkan kanak-kanak cemerlang bagi meneruskan generasi gemilang  akan terus dilaksanakan dengan menepati tuntutan syarak untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

Wallahu’alam..
 


Permata Yang Menyinari Peradaban Gemilang
Oleh : Bonda Sabariah Binti Abu (Aktivis MHTM)

Islam adalah deen (cara hidup) yang diturunkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sahaja berperanan sebagai agama ruhiyyah (kerohanian), malah ia turut menganjurkan ajaran kehidupan yang lengkap bagi menjamin kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Syariat Islam telah memberi panduan yang jelas kepada manusia dengan menjadikan akidah islamiyyah sebagai asas dalam pembentukan negara sehinggalah ia dapat mencipta satu peradaban yang gemilang dan unggul.

Menurut sejarah, peradaban Islam merupakan peradaban yang melebihi jangka waktunya berbanding peradaban lain.  Peradaban Islam telah memayungi dunia iaitu sekitar 13 abad.  Kesatuan Soviet dengan ideologi Komunisme-nya hanya berkuasa selama 84 tahun. Begitu juga dengan kuasa Amerika Syarikat dan Barat dengan ideologi Kapitalisme-nya yang walaupun masih bertahan hingga kini namun ia baru mencecah 1.5 abad.

Sejarah perjuangan dan kegemilangan umat Islam dalam pentas peradaban dunia berlangsung sangat lama bermula sejak zaman kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah (622-632M), sehinggalah tumbangnya Kekhilafahan Uthmaniyah pada tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924). Kejayaan Muhammad SAW dalam membangun peradaban Islam yang tiada taranya dalam sejarah dicapai dalam jangka waktu 23 tahun di mana 13 tahun daripadanya merupakan langkah persiapan ketika zaman Mekah (Makkiyyah) dan 10 tahun terakhir ketika di zaman Madinah (Madaniyyah). 23 tahun ini merupakan rentang waktu yang kurang daripada satu generasi di mana baginda SAW telah berhasil memegang kekuasaan atas bangsa-bangsa yang jauh lebih tua peradabannya saat itu khususnya Rom dan Parsi. Hal ini sudah tidak dapat diperdebatkan lagi baik dalam kalangan kaum Muslimin mahupun non-Muslim.

Begitu juga kejayaan Islam di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin yang sudah terpateri kukuh dalam lipatan emas sejarah keagungan Islam sehingga ke hari ini. Pada abad pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin, agama Allah telah diterapkan dengan sempurna dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Firman Allah SWT,

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redai Islam itu sebagai agama kamu[TMQ al-Maidah (5):3].
   
Generasi pada masa itu merupakan generasi terbaik sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT,

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah [TMQ ali-Imran (3):110].

Namun, kegemilangan peradaban itu semakin sirna tatkala runtuhnya Khilafah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 dan kesirnaan peradaban itu memberi impak yang sangat tragis buat umat Islam masa kini. Kini anak-anak umat Islam dibius pemikirannya dengan pemikiran sekular, sibuk dengan perjuangan memperjuangkan hak-hak kebebasan masing-masing yang melanggar syarak. Hiburan-hiburan yang melampau mulai masuk ke dalam dunia umat Islam sehingga melekakan dan menjadikan mereka alpa dengan nasib umatnya sendiri yang sedang dibantai di belahan dunia yang lain. Yang paling sadis lagi adalah apabila kita melihat Barat telah berjaya meracuni hati dan pemikiran umat Islam di setiap peringkat umur bermula dari kanak-kanak, remaja malah warga emas seperti saya pun menjadi mangsanya.

Sebagaimana seruan-seruan dakwah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat dan anak-anak kita, saya juga mahu menyampaikan seruan yang sama bagi mewakili golongan warga emas yang menjadi permata umat Islam ini. Sambutlah kalian wahai saudara-saudaraku, sambutlah seruan dakwah menuju Syariah dan Khilafah! Janganlah faktor umur menjadi alasan untuk kalian beristirehat. Faktor umur yang berusia harus diterima kerana takdir tapi itu bukan bererti kita boleh berhenti daripada belajar Islam dan berdakwah sebagaimana firman Allah SWT,

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru  kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)  [TMQ Fusshilat (41):33].

Begitu banyak Sahabiyah yang seharusnya menjadi suri teladan buat kita. Isteri yang sangat dicintai oleh kekasih Allah sendiri iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwalid turut bersama mendokong Rasulullah, memberi semangat kepada baginda ketika diri baginda dihina dan dicaci oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Saidatina Juwairiyah binti al-Harits berjuang dalam penegakan syiar ini sehingga umur beliau mencecah 60-an.  Dalam lingkungan umur sebegitu juga beliau masih lagi mengkaji Islam dan rajin menghafal hadis.

Situasi umat saat ini tidak ada bezanya dengan umat Islam zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu. Jika dahulu Rasulullah SAW dan para sahabat berhadapan dengan orang-orang kafir yang menyembah berhala al-Lata dan al-Uzza, namun kini kita berhadapan dengan orang-orang Islam yang menyembah berhala sistem demokrasi.

Umat Islam perlu sedar bahawa kehidupan saat ini sedang goyah. Saat ini kita memerlukan model kehidupan yang membawa kebahagiaan dunia dan akhirat. Setelah Komunisme hancur dan Kapitalisme pula sedang di ambang maut, satu-satunya alternatif adalah kembali kepada  peradaban Islam yang gemilang iaitu kembali hidup dalam naungan Daulah Khilafah Islamiyyah.
 



MAHASISWI BERILMU, TONGGAK KECEMERLANGAN

Oleh: Saudari Nurul Huda binti Anas (AJK Lajnah Dakwah Kampus MHTM)

Ilmu merupakan bekal untuk menjalani kehidupan. Tanpanya, kehidupan menjadi sukar. Ilmu sangat diperlukan oleh umat Islam untuk membimbing hidupnya agar selalu tetap dalam ketaatan kepada Allah. Semua ilmu yang ada di dalam kehidupan ini adalah milik Allah SWT sama ada ilmu perubatan, ilmu teknikal, ilmu ekonomi, ilmu sosial dan ilmu-ilmu yang lain, semuanya disediakan untuk digali dan dimanfaatkan semaksimum mungkin sebagai bekal untuk memakmurkan bumi. Kewajipan menuntut ilmu ini terletak pada setiap individu umat Islam dalam rangka beribadah kepada Allah. Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda,

Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim[HR Ibn Majah]

Kecemerlangan juga sangat berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya, telah berjayalah orang-orang yang beriman” [TMQ al-Mukminun (23):1].

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah mengatakan dengan jelas bahawa orang Mukmin itu pasti berjaya dan pasti mendapat kejayaan. Namun, kejayaan yang dicapai oleh orang beriman itu bukan dengan angan-angan sahaja akan tetapi dengan amalan.  Pepatah arab mengatakan, ilmu tanpa amal seperti pohon yang tidak berbuah. Pohon yang tidak berbuah seakan-akan ilmu yang tidak dapat digunakan dan hanya menjadi teori sahaja. Bahkan lama-kelamaan, ilmu yang dipelajari akan menghilang dari ingatan lalu dilupakan. Dengan kata lain, ilmu tanpa amal menjadi hal yang sia-sia. Bagaimana kita mahu mendapatkan kejayaan dan kecemerlangan yang dijanjikan oleh Allah SWT jika ilmu yang dimiliki tidak diamalkan dan disebarluaskan?

Abu ad-Darda’ RA pernah berkata, “Engkau tidak akan menjadi orang berilmu hingga engkau belajar. Engkau pun tidak dianggap menguasai suatu ilmu hingga engkau mengamalkan ilmu itu” Al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah bahkan berkata, “Orang berilmu pada dasarnya bodoh hingga dia mengamalkan ilmunya. Apabila dia mengamalkan ilmunya, barulah dia layak disebut berilmu[‘Awa’iq ath-Thalab, hlm. 17-18].

Mahasiswi merupakan golongan intelektual bahkan merupakan generasi aset pembangunan dan kemajuan sesuatu zaman. Kami inilah yang menjadi motor penggerak utama perubahan zaman seiring  dengan semangat, sifat kritis berfikir dan berani serta menjadi inspirasi kepada yang lain.

Kejayaan Islam masa lalu dan kehidupan sejahtera telah muncul selama lebih kurang 13 abad kerana dakwah Islam yang banyak disebarkan oleh para pemuda Islam. Pemuda-pemudi ini memiliki sikap perjuangan yang gigih serta sanggup menyisihkan waktunya siang malam demi perjuangan Islam dan masa depan Islam. Umat Islam di masa lalu terutamanya para pemuda adalah golongan yang hebat  kerana mereka memeluk Islam secara kaffah, lurus akidahnya dan taat pada syariat. Merekalah yang memegang peranan penting dalam berjuang bersama-sama para sahabat yang berusia antara 8 hingga 30 tahun.  Hasil usaha mereka, Allah SWT telah menjadikan Islam gemilang dalam memimpin tamadun dunia. Maka, tidak hairanlah ulama hadits Ibnu al Jauzi pernah berkata,

Wahai para pemuda, kerahkan potensi dirimu selagi masih muda kerana belum pernah aku lihat karya yang paling berharga selain yang dilakukan oleh para generasi muda[Ibnu alJauzi, Shifatush Shofwah, Jil. IV, hlm. 24].

Wahai Mahasiswi Islam Sekalian!
Tidakkah kita ingin menjadi para pemuda yang dirindui syurga seperti Mushab bin Umair? Atau pemuda gagah nan berani seperti Muhamad al-Fatih yang ketika menginjak usia 21 tahun beliau mampu mengubah kehidupan dunia Islam dengan menakluk kota Konstantinopel? Cukuplah perkataan Imam Syafie rahimahullah mampu mengejutkan kita supaya tersedar daripada buaian dunia ini dan kelalaian dalam perjuangan Islam,

“Sesungguhnya kehidupan pemuda itu, demi Allah hanya dengan ilmu dan takwa (memiliki ilmu dan bertakwa), kerana apabila yang dua hal itu tidak ada, maka ia tidak dianggap hadir (dalam kehidupan)

Wahai Mahasiswi Pemburu Redha Allah!

Sesungguhnya kita telah mengetahui bahawa dakwah itu satu kewajipan maka kita mestilah yakin bahawa ia akan dihisab oleh Allah SWT. Isilah setiap harimu dengan mendalami ilmu Islam agar menjadi Muslim yang mempunyai pemikiran Islam yang jelas dan cemerlang serta bangkit mempertahankan Islam dan menyebarkannya. Sesungguhnya jiwa muda kalian sangat diperlukan dalam usaha menyedarkan masyarakat yang telah banyak terpesong daripada jalan Islam yang benar. Yakinlah dengan janji Allah SWT bagi orang-orang yang beriman yang mendakwahkan agamanya. Firman Allah SWT,

Wahai orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu[TMQ Muhammad (47):7].

Jadi, marilah bersama-sama memperjuangkan kehidupan yang lebih baik dengan Islam kaffah dalam bingkai Daulah Khilafah, kerana kita masih ada satu kesempatan… “Kemudian akan ada khilafah yang mengikuti jalan kenabian [HR Ahmad].
   

Wallahu’alam…

 


Ilmuwan Membentuk Pemikiran Generasi Cemerlang
Oleh: Ustazah Husna Suriani (Aktivis MHTM)
 
Guru ialah orang berilmu yang berusaha menyampaikan pelajaran kepada anak muridnya. Guru merupakan profesion yang sangat mulia dalam Islam. Sesiapa yang mendidik, menasihati dan memberi ilmu kepada kita, dialah guru. Bertepatan dengan kewajipan menuntut ilmu ke atas setiap umat Islam, khidmat guru sangat signifikan dan penting dalam menyampaikan ilmu supaya setiap Muslim dapat memenuhi kewajipannya. Firman Allah SWT yang bermaksud “..bertanyalah kamu kepada ahluz zikri jika kamu tidak mengetahuinya[TMQ al-Anbiya’ (21):7].
 

Allah SWT juga menjanjikan ganjaran pahala berpanjangan kepada orang-orang yang menyampaikan ilmu seperti mana hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
 
Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan suatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi (oleh Allah) sedikit pun pahala itu daripada pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah dia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak  mengurangi (oleh Allah) sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka [HR Muslim, Abu Daud dan Tirmizi].
 

Oleh itu, Islam menjadikan pendidikan, tentunya dengan guru sebagai enjinnya, sebagai satu teras penting dalam melaksana, menjaga serta menyebarkan fikrah dan thariqah Islamiyyah.

Rasulullah SAW sendiri adalah guru utama dalam Islam. Selain  menyeru masyarakat kepada Islam di mana sahaja baginda berada, Rasulullah SAW menyampaikan pengajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam majlis-majlis ilmu, antaranya di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam pada fasa dakwah di Makkah dan di masjid-masjid pada fasa Daulah Islam di Madinah. Para sahabat yang memperoleh tsaqafah Islam daripada Rasulullah SAW juga menjadi guru dengan meriwayatkannya kepada orang lain yang tidak hadir di majlis baginda. Riwayat yang diterima terus disampaikan sehingga ilmu wahyu menjadi satu bidang ilmu yang amat luas dan mendalam kerana tradisi penyampaian ilmu yang unik ini. Hal ini tidak lain sebagai respon terhadap sabda Rasulullah SAW,
 
Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya [HR Bukhari].
 
Selain ilmu wahyu, ilmu praktikal lain juga diajar dan dipelajari oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi, antaranya ilmu membaca, menulis dan mengira, ilmu perubatan, ilmu bahasa dan sastera, ilmu ketenteraan dan ilmu untuk membangunkan ekonomi seperti ilmu perdagangan, pertanian serta perindustrian.
 
Budaya penyampaian ilmu ini juga melibatkan kaum wanita, sama ada isteri-isteri Rasulullah SAW mahupun para sahabiyah. Bahkan sebahagian ilmu fiqh dan sunnah hanya dapat diperoleh daripada para isteri Rasulullah SAW kerana merekalah yang hidup bersama Rasulullah SAW di luar daripada kehidupan umum.
 
Tradisi pengembangan ilmu ini diteruskan selepas wafatnya Rasulullah SAW. Meskipun setiap individu mampu mengajarkan sebarang ilmu, namun orang berilmu yang menjadikan guru sebagai profesionnya diberikan perhatian yang lebih. Contohnya, Saidina Umar RA membayar gaji sebanyak 15 dinar sebulan kepada guru-guru professional dalam Daulah Islam. Guru disediakan prasarana pengajaran dan kemudahan hidup oleh Khulafa’ Islam. Hinggakan, tamadun Islamlah yang pertama sekali mendirikan universiti iaitu kompleks sekolah peringkat tinggi manakala kemajuan Daulah Islam pula dipacu oleh perkembangan ilmu dan pemikiran, di samping jihad.
 
Daulah Islam tidak pernah memandang guru sebagai kerjaya berstatus rendah. Apabila umat Islam diajar agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, perkara ini menyebabkan umat Islam amat sebati dengan budaya keilmuan. Sejarah mencatatkan para pemimpin Islam seperti Khalifah Harun al-Rasyid, Muhammad al-Fatih dan ramai lagi pemimpin Islam yang suka menuntut ilmu  serta sangat menghormati guru mereka dan menjadikan mereka sebagai penasihat utama untuk membuat keputusan penting dalam negara.
 
Asy-Syifa’ binti Abdullah merupakan salah seorang pendidik yang wajar dijadikan teladan. Banyak hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh asy-Sifa’ secara terus daripada Rasulullah SAW sendiri dan juga daripada Umar al-Khathab. Adapun orang yang meriwayatkan hadis Rasulullah SAW daripada asy-Syifa’ adalah anaknya sendiri, Sulaiman, dua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Usman bin Sulaiman, bekas hambanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin. Beliau terus menerus mendidik umat Islam dengan tsaqafah Islam serta bergiat sama mendakwahkan risalah Islam kepada manusia lain sehingga ajal datang menjemputnya pada era kekhalifahan Umar al-Khathab sekitar tahun 20H. Al-Bukhari mencatatkan riwayat daripada beliau di dalam kitab al-Adab dan kitab af’al al-Ibad, begitu juga Abu Dawud dan al-Nasai. Dalam Syarah Sunan Abi Dawud dan al-Albany, mereka mengambil pengajaran daripada sebahagian hadis daripada asy-Syifa’ bahawa Islam menghendaki kaum wanita agar celik ilmu dan Islam membenarkan perubatan yang tidak mensyirikkan Allah.

Demikianlah betapa Islam sebagai satu aqidah aqliyyah dan hadharah (peradaban) yang sangat mementingkan pembinaan pemikiran yang benar, memuliakan profesion guru dan menjadikannya sebagai agen penting dalam masyarakat. Perkembangan ilmu dalam Islam tidak lari daripada tunjangnya iaitu akidah dan cabangnya iaitu syariah, pastinya dengan panduan wahyu. Rasulullah SAW bersabda,
 
Kelebihan seorang alim (ilmuan) berbanding seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang”  [HR Abu Dawud].


Perniagaan Yang Menguntungkan!
Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

Kehidupan di dunia ini sangat sekejap jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Allah telah mengajarkan kepada manusia cara untuk memperoleh pahala sebanyak mungkin sewaktu masih hidup dan pahala yang berterusan setelah meninggalkan dunia ini. Allah SWT berfirman,

Sesungguhnya, Kamilah yang menghidupkan orang yang  mati dan Kami mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab yang jelas (Lauh Mahfuzh)[TMQ YaaSin (36):12].

Untuk lebih memahami apakah maksud bekas-bekas peninggalan mereka ini, Imam Muslim ada meriwayatkan dari Jarir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Orang yang memulakan/mengajak dalam Islam sesuatu perkara yang baik, maka ia mendapat pahala dan dia juga mendapat pahala orang-orang yang beramal dengannya dengan tidak dikurangi barang sedikit pun dari pahala-pahala mereka”.

Dalam erti kata yang lain, Islam menawarkan peluang kepada setiap individu Muslim iaitu dengan cara melaksanakan dakwah ke arah menghidupkan semula sistem kehidupan Islam secara kaffah. Ini kerana melalui dakwah, semua aspek syariat dapat dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. Pelaksanaan Islam secara menyeluruh telah terabai sejak Daulah Islam diruntuhkan pada 1924. Bayangkan betapa banyaknya pahala yang bakal diperoleh oleh setiap Muslim apabila seluruh syariat Allah ini dapat dilaksanakan.

Tuntutan yang amat besar ini hanya akan dapat dilaksanakan melalui penegakan Daulah Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah iaitu mewujudkan semula sistem kenegaraan dan pemerintahan Islam yang mengikut cara kenabian kerana hanya negara sahaja yang mempunyai kuasa untuk menerapkan dan menguatkuasakan semua syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Allah SWT telah menawarkan satu tawaran skim perniagaan yang sangat hebat, iaitu perniagaan yang sangat menguntungkan, tidak pernah rugi malah sekaligus berupaya melepaskan diri daripada azab yang pedih. Allah SWT berfirman,

Wahai orang yang beriman!, Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu  daripada azab yang pedih?[TMQ as-Saff (61):10].

Selanjutnya, Allah SWT menerangkan maksud perniagaan yang menguntungkan itu dengan berfirman,

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui[TMQ as-Saff (61):11].

Oleh yang demikian, wanita tidak seharusnya ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam perjuangan Islam. Jika dalam perniagaan dunia, ramai yang mengejar keuntungan dengan bersungguh-sungguh, maka tidak mungkin perniagaan dengan Allah SWT diabaikan. Wanita perlu didorong dan dibina dengan pemahaman Islam yang mustanir (cemerlang) sehingga mampu membuat pilihan yang betul apabila menghadapi pelbagai cabaran dan pilihan yang dihadapi.

Kesimpulannya, wanita perlu sedar kepentingan perniagaan dengan Allah SWT yang menjamin keuntungan duniawi dan ukhrawi. Wanita perlu bersama-sama berjuang untuk menjadikan Islam sebagai penyelesaian segala masalah, membimbing umat untuk mendirikan kembali sistem Khilafah dan menegakkan hukum yang diturunkan Allah dalam realiti kehidupan. Allah SWT menjanjikan kemenangan bagi orang yang mentaatiNya. Allah SWT berfirman,

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, mereka itulah orang yang mendapat kemenangan[TMQ an-Nur (24):52].

Wallahu’alam…