Fikratul Ummah – Ogos 2009
Alhamdulillah sinar Ramadhan al-Mubarak menyapa kita lagi untuk menghayati bulan penuh keberkatan ini sambil menunaikan ibadah puasa sebagai jalan untuk menjadi manusia yang bertaqwa (al-muttaqun). Di tanah air, semangat 1Malaysia bersama seruan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ menyemarakkan sambutan hari Kemerdekaan ke 52 sungguhpun rakyat masih diburu ketakutan akibat pandemik selesema babi. Detik bersejarah 31hb Ogos 2009 ini yang merupakan sambutan kali pertama Perdana Menteri Malaysia ke 6 seolah-olah membuka satu lembaran baru kepada kaum wanita khususnya apabila Pelan tindakan Dasar Wanita Negara 2009 dilancarkan dengan tujuan untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan seimbang.
Semoga paparan ketiga-tiga artikel itu tadi akan memberi kesedaran kepada umat Islam khususnya bahawa kemerdekaan atau kebebasan yang perlu difahami bukanlah berdasarkan kepada pemahaman berdasarkan akal manusia sebaliknya ia hendaklah dikembalikan kepada hukum asal perbuatan seorang Muslim iaitu al-aslu fi af’al at-taqoyyudu bi hukmi syar’ie (hukum asal perbuatan adalah tertakluk kepada hukum syarak).
Wallahu a’lam bisshawab.
Wanita: Kemerdekaan Apakah yang Kau Dambakan?
Dunia di abad ke-21 dihujani oleh ledakan maklumat sehingga menimbulkan cabaran, peluang-peluang, aspirasi dan mewujudkan kuasa perubahan yang sukar dikawal atau dielakkan. Lelaki, wanita dan kanak-kanak turut menerima tempias sama ada secara rela atau terpaksa, sama ada ke arah penghidupan yang lebih baik atau sebaliknya. Walaupun Deklarasi Milenium yang dilancarkan pada tahun 2000 ingin mencapai matlamat untuk menguatkan komitmen ke arah kebebasan, maruah manusia, kesetaraan, keadilan, keamanan dan penghapusan kemiskinan sebagaimana yang dinyatakan dalam laman web [http://www.un.org/millenniumgoals/], dunia masih dibelenggu dengan kemiskinan dan peperangan yang berleluasa yang masih tiada jalan keluar. Sama ada disedari atau tidak, layanan ke atas wanita dalam masyarakat sering menjadi penanda aras (benchmark) maju atau mundurnya sesebuah Negara. Wanita dianggap dizalimi. Kemerdekaan atau kebebasan (freedom) seakan jauh dari jangkauan disebabkan oleh pelbagai sebab-sebab berikut:
i. Wanita Mencari Nafkah dalam Ekonomi Global
Sejak 10 tahun lalu, lebih 200 juta lagi wanita memasuki pasaran pekerjaan menjadikan jumlah wanita bekerja di seluruh dunia mencecah 1.2 bilion orang [International Labour Organization (ILO), Global Employment Trends for Women, ms 1]. Peranan wanita sebagai pencari nafkah telah menjadi semakin penting. Satu kajian yang dijalankan di Universiti Cambridge pada tahun 1996 mendapati bahawa keyakinan masyarakat bahawa mencari nafkah adalah peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki telah jatuh dari 65% pada tahun 1984 kepada 43% dalam tahun 1994. 45% ibu-ibu di Britain adalah wanita berkerjaya manakala 78% wanita berkerjaya di Amerika memiliki anak berumur 6 hingga 17 tahun [Lopa Hussein dan Adnan Khan, “Does Islam Opress Women?” Ogos 2009, www.khilafah.com]. Bagaimanakah tugas mencari nafkah ini membebankan wanita dan berakhir dengan penindasan dan kezaliman?
Wanita berkerjaya yang punya anak sering berasa bersalah kerana masa terhad yang dihabiskan dengan anak-anaknya. Selain itu, mereka juga sentiasa terkejar-kejar untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, ibu dan kerjanya. Dalam kebanyakan keluarga, status sebagai wanita berkerjaya tidak mengurangkan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Seorang pakar sosiologi, Joseph H.Pleck mengatakan: “Semua cendekiawan setuju dengan kajian dan statistik yang mengatakan bahawa suami kepada wanita berkerjaya melakukan lebih kerja (rumah). Pertambahan kerja ini adalah kecil sebaliknya wanita berkerjaya yang perlu melaksanakan kebanyakan kerja atau tugasan rumah tersebut. Hal ini disetujui oleh Lisa Belkin dalam bukunya, Life’s Work: Confession of an Unbalanced Mom’ yang menulis: Tidak ada seorang pun dari kalangan kita yang mampu memberikan 100% terhadap kerja dan 100% kepada keluarga, dan 100% lagi untuk menjaga diri sendiri”.
Human Rights Watch menjelaskan bahawa wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah bekerja seperti hamba, dipergunakan termasuk dirogol. Menurut seorang pembantu rumah warga Indonesia: “Saya tidak pernah dapat berehat. Saya bangun jam 4.00 pagi, menyediakan sarapan untuk anak-anak. Saya bekerja sepanjang hari tanpa rehat. Saya tidur pada jam 3.00 pagi. Saya sering kali tidak berpeluang tidur di waktu malam kerana bekerja sepanjang masa. Majikan menyimpan pasport saya. Dia seorang polis. Saya tidak pernah berpeluang meninggalkan rumah. Mereka mengunci saya dari luar. Setelah tinggal selama setahun saya berpeluang untuk melarikan diri. Saya menaiki teksi ke balai polis. Majikan datang ke balai polis dan menjemput saya semula. Apabila tiba di rumah, mereka memukul saya lagi “[Human Rights Watch, ‘As If I Am Not Human’ ms 35].
Suminah, warga Indonesia yang bekerja di Arab Saudi. Dia menghantar wang kepada keluarganya setiap 6 bulan kerana 4 sebab. Pertama, wang itu diperlukan untuk membiayai perbelanjaan anak-anak yang tinggal dengan kedua ibu-bapanya. Kedua, wang itu akan diurus oleh ibu-bapanya untuk membuat rumah. Ketiga, suminah tidak mahu wang itu digunakan oleh isteri pertama suaminya. Keempat, Suminah selalu mendengar bahawa suami-suami sering menyeleweng wang isteri sama ada untuk berkahwin lagi atau untuk berpoya-poya dengan wanita lain [Krisnawati dll, Rumah Dambaan Buruh Migran Perempuan]. Dalam kes Suminah, kita mendapati bahawa kerjanya yang memerlukannya berjauhan dari keluarga sedikit sebanyak telah membantu mengukuhkan ekonomi keluarga, akan tetapi adakah keringat wanita yang menitik itu dibalas dengan ganjaran atau bayaran yang setimpal?
Secara fakta, setelah lebih satu abad berjuang untuk meraih kesetaraan dan hak wanita, hanya 4% para hakim di Britain adalah wanita, 11% sebagai pengurus dan hanya 2% pengarah 100 syarikat tersenarai di Bursa Saham Financial Times (FTSE) terdiri dari kalangan wanita. Dalam senario lebih buruk, wanita juga diterima di pasaran kerja disebabkan oleh tarikan seksual mereka. Di kota London, wanita mendapat pekerjaan bukan hanya kerana kepakaran dan kehebatan intelektualnya, sebaliknya kerana rupa parasnya. Tarikan seksualnya amat penting untuk mengekalkan kerjanya sama ada untuk menarik pelanggan atau untuk melayakkan diri menjadi anggota pasukan. Sebuah artikel di laman web BBC Online [Laddism in the City, 10 April 2001] menunjukkan kepahitan yang dialami oleh wanita berkerjaya di kota London. Ramai mengatakan perilaku mereka dibentuk oleh rakan sekerja atau pesaing.dan percubaan untuk menentang akan memberi kesan buruk kepada perniagaan. Mesyuarat untuk membina pasukan (team building) dan sesi bertemu dengan pelanggan sering di adakan di kelab-kelab bogel dan bar yang mana, menolak dari menyertai bukan satu pilihan. Kamu mesti menjadi sebahagian dari geng mereka memandang bahawa ia adalah penting kerana boleh menjejaskan keuntungan.
Sungguhpun begitu, kejayaan wanita Barat dari segi kerjaya sering menjadi penanda aras (benchmark) untuk mengukur kejayaan wanita di seluruh dunia. Wanita di Barat diberi kebebasan melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu mereka. Malangnya ganjaran yang mereka terima hanya separuh atau tiga suku dari jumlah yang diterima oleh kaum lelaki untuk bidang tugas yang sama. Wanita hanya mampu meraih bayaran tinggi sekiranya dia menjadi pelacur atau model sahaja kerana ini satu-satunya bidang yang lelaki tak akan mampu menandingi wanita dari segi bayaran untuk titik peluh dan keringat yang sama!
Bagaimana pula dengan nasib seorang pembantu rumah warga Filipina yang bekerja di Arab Saudi. Berikut adalah pengakuannya: Mereka membawa saya ke agensi (di Arab Saudi) yang mana ramai orang telah diperdayakan. Saya tinggal di agensi selama seminggu. Saya terpaksa bekerja di 5 rumah dalam seminggu. Satu hari, agen memberitahu saya bahawa dia akan membawa saya ke rumah saudaranya yang tinggal sendirian. Dia mula memegang saya, mencium saya. Saya mula menangis dan berkata “Jangan perlakukan saya begini. Saya seorang Muslim”. Apabila kami kembali ke agensi, majikan sebenar saya membawa saya ke rumah. Dia berkata, “Berkelakuan baiklah supaya kamu tidak dihantar semula (ke agensi). Selepas beberapa ketika, majikan saya mula menunjukkan minat terhadap saya. Dia menyuruh saya memasuki bilik tidurnya. Dia berkata, “ Saya mahu memberitahu anda berapa bayaran yang dikenakan oleh agensi”. Dia berkata “Saya membeli anda dengan harga 10,000 riyal”. Pada ketika itu, saya menyedari bahawa saya telah dijual.” [Freedom House, ‘Women’s Rights’].
ii. Hukum Islam Mendiskriminasikan Wanita
Bagaimana dan dalam keadaan bagaimanakah hukum Islam didakwa mendiskriminasikan kaum Hawa? Menurut saudari Hanis Hussein dalam suratnya: Menurut Seksyen 107A, Undang-undang Keluarga Islam (UUKI) (Malaysia) yang baru dipinda, seorang suami berhak membekukan akaun bank isteri apabila rumah tangga menemui kehancuran. Adakah dia berhak ke atas harta saya dan mendakwanya sebagai harta sepencarian sedangkan pada hakikatnya ia dibeli dan dimiliki oleh saya? Saya berharap dan berdoa kerajaan akan meminda undang-undang ini… dan mendengar rayuan majoriti umat Islam dalam negara ini.
Begitu juga dengan isi sepucuk surat yang dihantar kepada Sisters in Islam (SIS) dari saudari Asiyiah. “Saya adalah wanita berkerjaya dan telah berkahwin selama bertahun-tahun. Selama perkahwinan kami, suami tidak menanggung nafkah saya. Saya merasakan bahawa disebabkan saya mempunyai pendapatan, dia tidak perlu memberi keperluan asas yang sepatutnya diberikan oleh seorang suami. Jadi, sayalah yang membeli rumah, kereta, perabot dan baju sendiri. Saya membayar bil rawatan bila saya sakit dan membiayai pendidikan anak-anak. Memandangkan saya tahu bahawa saya tidak akan mendapat sesen pun dari suami, saya melabur wang saya supaya tidak membebankan sesiapa” [Kamala CandraKirana, Women’s Place and Displacement in the Muslim Family, 2009].
Dakwaan bahawa hukum Islam menindas wanita adalah disebabkan di kebanyakan negara-negara (umat) Islam, pemerintah mengguna-pakai tafsiran Islam yang merendahkan hak wanita dan memperlekeh sumbangannya kepada keluarga dan masyarakat. Undang-undang keluarga Islam yang diguna-pakai menetapkan bahawa suami adalah ketua keluarga dan memaksa isteri agar patuh kepada suami seperti Perkara 39, Undang-undang Keluarga Algeria yang mengatakan,’Kewajipan isteri adalah mentaati suaminya’ sehingga menyebabkan ketidaksetaraan yang disahkan oleh undang-undang kepada wanita lebih dari urusan keluarga [Freedom House, “Women’s Rights in the Middle East and North Africa’].
Di Mesir misalnya, pemerintah menggubal dua undang-undang berbeza untuk perceraian kepada wanita dan lelaki [Human Rights Watch, Divorced from Justice, ms 14]. Lelaki boleh menceraikan wanita sesuka hati tanpa perlu campur tangan mahkamah, tetapi wanita perlu melalui prosedur yang lambat dan tidak efisien untuk berpisah dengan suaminya. Disebabkan wanita terpaksa mendesak suami menceraikan mereka tanpa melalui proses mahkamah yang sulit, mereka terpaksa berkorban hak kewangan mereka supaya talak dijatuhkan. Wanita Mesir juga dihalang dari meminta cerai dengan menanamkan ketakutan dalam diri mereka bahawa mereka akan dihalau dari rumah dan dinafikan hak penjagaan anak menyebabkan mereka terpaksa kekal dalam perkahwinan yang menyiksakan dengan suami yang jahat. “Saya rasa terperangkap. Dia tidak mengizinkan saya keluar. Saya rasa tertekan. Dia selalu ingin melakukan hubungan seks tetapi saya menolak. Dia meminta layanan seks berkali-kali. Dia akan pergi ke pejabat tetapi sebelum dia pergi dia akan berkata, “ hari ini adalah hari kita melakukan (seks). Dia menghina saya. Bila saya menolak, dia akan memukul saya. Dia menyebabkan mata saya lebam tetapi jika saya menceraikannya, dimanakah saya akan tinggal? Saya tidak akan mendapat apa-apa “[Human Rights Watch, Divorced from Justice, ms 45].
iii. Hukum Islam Menzalimi Wanita
Amalan berkhatan yang dipanggil mutilasi kemaluan wanita (female genital mutilation – FGM), jenayah berkaitan pemberian mahar dan pembunuhan bermaruah (honour killing) yang dianggap Islamik menyebabkan hukum Islam didakwa menzalimi wanita. Di Afrika dan beberapa negara Timur Tengah, dianggarkan lebih 130 juta gadis dan wanita melalui FGM setiap tahun. Di Bangladesh, gadis dan wanita sering diserang dengan asid disebabkan pertelingkahan berkaitan bayaran mahar:315 wanita menjadi mangsa pada tahun 2002 dan 267 orang pada tahun 2005. Pada masa yang sama, laporan dari Rapporteur Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan dengan Keganasan ke atas Wanita pada tahun 2002 menyebut bahawa pembunuhan bermaruah berlaku di Mesir, Iran, Jordan, Lebanon, Maghribi, Pakistan, Syria, Turki, Yemen dan lain-lain negara Mediterrian dan negara Teluk. UNFPA menganggarkan bahawa setiap tahun, sejumlah 5,000 wanita di seluruh dunia menjadi mangsa pembunuhan bermaruah [UNFPA, The State of World Population 2000, ms 29] yang digelar sebagai ‘satu bentuk keganasan domestik paling ekstrim’ [Human Right Watch, Honouring the Killers, ms 1].
Penyelesaian Puak Sekular dan Liberal
Fakta-fakta yang dikemukakan di atas sudah pasti dianggap oleh puak sekular dan liberal sebagai satu penjara yang membelenggu kaum wanita. Justeru sesuatu perlu dilakukan untuk membebaskan wanita seperti berikut:
i. Meminda hukum tentang poligami. Menurut UNDP Arab Human Development Report 2005, ramai umat Islam tidak lagi menerima hukum poligami. Kaji selidik untuk mendapatkan pandangan umum di empat negara Arab iaitu Mesir, Jordan, Lebanon dan Maghribi menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari kaum lelaki dan hampir semua wanita yang ditemu bual tidak setuju dengan amalan poligami. Manakala yang bersetuju pula mengatakan ia mesti dilakukan dengan persetujuan isteri pertama [UNDP, Development Report, ms 136].
ii. Kaum wanita khususnya yang berhijrah ke luar negara untuk mencari nafkah memainkan peranan penting untuk memperjuangkan hak wanita dalam semua aspek sosial, ekonomi dan politik di tanah air mereka. Sebagai contoh, UNFPA menyokong wanita Afghanistan yang tinggal di luar negara untuk turut serta dalam menggubal perlembagaan Afghanistan. Idea-idea baru, kemahiran, sikap dan pengetahuan yang dibawa pulang ke tanah air diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘kiriman sosial” (social remittance) [UNFPA, State of Population 2006, ms 14].
iii. Mengubah hubungan antara gender setelah keluar dari belenggu kebuluran, wanita Sudan mengambil alih kepimpinan dalam ekonomi tempatan dan menjadi tunggak ‘survival’ dalam komunitinya sebagaimana laporan dalam Muhammad, ‘Famine, Women Creative Acts, and Gender Dynamics in Manawashi, Darfur, Western Sudan.
iv. Wanita Islam di Gambia menubuhkan Jawatankuasa Gambia untuk Amalan Tradisional yang Menjejaskan Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak (GAMCOTRAP) untuk memperjuangkan hak wanita dan anak gadis berkaitan amalan FGM, perkahwinan di usia muda serta penyeludupan wanita dan kanak-kanak. Jawatankuasa itu juga menyeru supaya dilakukan reformasi undang-undang yang selari dengan Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak, Konvensyen berkenaan dengan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Piagam Afrika berkenaan dengan Rakyat dan Hak Asasi terhadap Hak-hak Wanita Afrika [WLUML, Newsletter, ms 3].
v. Mengamalkan undang-undang berkenaan dengan keganasan rumah tangga di beberapa negara umat Islam yang mengamalkan demokrasi seperti di Malaysia dan Indonedia. Di Indonesia, Undang-undang Penghapusan Keganasan Rumah tangga yang diluluskan pada tahun 2004 menganggap jenayah bukan hanya keganasan fizikal dalam keluarga tetapi juga kes-kes rogol oleh pasangan dalam perkahwinan (marital rape) dan keganasan dalam rumah tangga terhadap bukan ahli keluarga seperti pembantu rumah.
vi. Pada tahun 2004, Parlimen Maghribi meluluskan pindaan Kanun Status Awam yang berkaitan dengan undang-undang keluarga yang bertanggungjawab ke atas status wanita. Pindaan undang-undang yang dipanggil Moudawana memberikan wanita status yang setara dengan lelaki dalam keluarga melalui peruntukan ‘ tanggungjawab bersama terhadap keluarga yang dikongsi antara suami dan isteri (peruntukan sebelumnya hanya lelaki yang bertanggungjawab), wanita tidak perlu taat kepada suami, persamaan antara lelaki dan wanita berhubung dengan usia minimum untuk berkahwin dan tanggungjawab negara untuk menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hak wanita [UNIFEM, Progress of the World’s Women 2008/2009, ms 74].
vii. Pada tahun 2001, Turki meluluskan Kanun Awam yang baru yang mengambil pendekatan baru terhadap keluarga dan peranan wanita dalam keluarga. Perundangan lama yang meletakkan posisi wanita dalam posisi sekunder dalam hak dan tanggungjawab terhadap suami telah dihapuskan yang mana definisi keluarga dianggap sebagai penyatuan berdasarkan perkongsian sama rata. Istilah ‘suami’ dan ‘isteri’ telah ditukar kepada ‘pasangan’ (spouse). Suami tidak lagi dianggap sebagai ketua keluarga, pasangan adalah rakan-kongsi sama rata yang sama-sama bertanggungjawab menguruskan penyatuan perkahwinan dengan hak membuat keputusan yang sama rata. Pasangan memiliki hak yang sama terhadap hubungan keluarga dan harta yang dimiliki sepanjang perkahwinan. Pasangan memiliki kuasa perwakilan (representative power) yang setara. Konsep ‘anak luar nikah’ dihapuskan manakala wanita yang melahirkan anak di luar nikah diberi hak jagaan kanak-kanak tersebut [Women for Women’s Human Rights, Turkish Civil and Penal Code Reform from a Gender Perspective, ms 8-9].
viii. Seawal tahun 1956, Tunisia memperkenalkan Kanun Status Peribadi yang memberi hak penuh dan setara kepada wanita sebagai sebahagian dari reformasi ekonomi dan sosial. Kanun Status Peribadi Tunisia mengharamkan poligami, memberi hak talak dan hadhanah (penjagaan anak) kepada wanita serta menetapkan umur minimum untuk berkahwin kepada lelaki dan wanita. Pada tahun 1981, pindaan undang-undang memberikan hak nafkah seumur hidup kepada wanita selepas bercerai dan memberi hak secara automatik ke atas penjagaan anak selepas kematian suami. Pindaan undang-undang pada tahun 1983
Kebebasan (freedom) hanya Mengundang Sengsara
Pemisahan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan umum kecuali ada alasan syar’ie yang membolehkan interaksi antara keduanya di samping hukum tentang pakaian yang jelas dan spesifik membolehkan peranan lelaki dan wanita dijelaskan dengan terperinci. Hasilnya, tiada perjuangan untuk kebebasan dan kesetaraan gender berlaku dalam sejarah Islam. Dalam Islam, wanita dan lelaki melakukan interaksi untuk memenuhi keperluan asas keduanya. Perkara sebaliknya berlaku dalam masyarakat Barat yang mana segala halangan yang membatasi pertemuan kedua jantina ini dibuang dan pertemuan antara kedua jantina adalah berdasarkan konsep ‘suka sama suka’. Akibatnya, naluri seksual sentiasa dirangsang kerana imej seksual sentiasa dipaparkan sepanjang hari sama ada melalui televisyen, papan iklan, akhbar, majalah dsb.
Masyarakat juga menjadi semakin tertekan kerana setiap orang bersaing untuk mengenakan fesyen terkini yang pastinya menonjolkan kecantikan bahagian tubuh tertentu. Kepada wanita, mereka sentiasa tertekan kerana mesti memiliki tubuh yang kurus, ramping dan memiliki bibir ala Angelina Jolie.
Islam, Wanita dan Kemerdekaan
Sebagai umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Allah, kita melihat kemerdekaan dan kebebasan memerlukan takrif lebih tepat dalam konteks manusia sebagai hamba Allah. Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud,”Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (ketika engkau Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha menerima taubat“ [TMQ an-Nasr (110): 1-3]. Ayat di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam erti kata yang luas.
Kemerdekaan bukan sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan, perundangan atau sistem hidup secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat bermaruah dan mempunyai harga diri yang tinggi. Hubungan manusia dengan Allah adalah sumber kemerdekaan sebenar kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia. Sebelum datangnya Islam, wanita dinafikan hak yang lazimnya diterima oleh lelaki. Wanita dianggap hak milik suami boleh diwarisi oleh anak lelaki suami. Suami pula boleh mengambil beberapa isteri tanpa had dan isteri ini hidup di bawah bayang suami tanpa mempunyai hak mewarisi harta pusaka atau menentukan jodoh dan masa depan mereka apabila suami meninggal dunia.
Rasulullah pada kurun ketujuh Masihi membawa perubahan dianggap sungguh radikal pada zaman itu. Buat kali pertama dalam sejarah tamadun dunia, wanita diangkat setaraf dengan lelaki dan diberikan hak asasi. Mereka dibenarkan bercakap untuk mempertahankan hak mereka, diberi hak waris, mereka tidak lagi diwarisi oleh anak lelaki suami apabila suami meninggal dunia, mereka boleh memohon fasakh daripada suami dan lelaki cuma dibenarkan mengambil empat orang isteri maksimum saja pada suatu masa. Tohmahan yang dilempar Barat terhadap wanita Islam sebagai golongan yang ditindas dan dianiaya semata-mata kerana memakai hijab, menjaga batasan pergaulan dengan lelaki bukan mahram dan taat setia kepada suami adalah tidak tepat sama sekali. Malahan sekarang pun, wanita Barat yang di gembar gemburkan sebagai liberated, sebenarnya adalah hamba media massa yang menentukan saiz dan bentuk badan mereka, fesyen pakaian mereka dan sering diambil kesempatan oleh syarikat pengiklanan. Bandingkan dengan wanita Islam yang cuma perlu berhias untuk suami, wanita Barat terdesak dengan keadaan perlu sentiasa berhias di dalam dan di luar rumah dan menjadi hamba fesyen. “Bertakwalah kepada Allah tentang (urusan) wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Kalian mempunyai hak yang menjadi kewajipan mereka, iaitu mereka tidak boleh memasukkan ke rumah kalian orang yang tidak kalian sukai, jika mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Mereka pun memiliki hak yang menjadi kewajipan kalian, iaitu nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang maaruf.” [HR Malik, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ibn Majah, an-Nasai, ad-Darimi, Ahmad, Ibn Hibban, Al-Baihaqi, Ibn Khuzaimah Abad bin Humaid, Ibn Abi Syaibah, dll]
Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu neraka dan terbuka pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Itulah keistimewaan wanita Islam. Islam mengubah segala kezaliman dan kekejaman terhadap wanita Islam memberi wanita hak mewarisi harta pusaka. Islam memberi mereka pilihan untuk memilih pasangan suami mereka. Islam memberi wanita hak untuk mengundi. Kebebasan wanita Islam yang bergantung kepada keterikatan dan taat kepada Allah dan suami bukan bererti tiada kebebasan malah inilah kebebasan yang sebenar. “Sungguh Allah mengutus kami, agar kami keluarkan (merdekakan) manusia dari mengabdikan diri pada sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, dari kezaliman agama kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Jelaslah bahawa merdeka yang sebenarnya, bebas dari belenggu perhambaan sesama manusia. Kita hanya mengabdi, memperhambakan diri kita kepada Ilahi. Mengabdi kepada Ilahi berarti patuh, taat, cinta dan kasih kita hanya untuk Allah Subhanahu Wa Taala. Ikutilah petunjukNya berupa syariat islam yang kaffah !
“Janganlah kamu menjadi hamba seseorang kerana Allah telah menciptakan kamu dalam keadaan merdeka,” demikian Ali bin Abi Thalib.
Manusia merdeka mampu berfikir dan bertindak untuk diri dan manusia seluruhnya tanpa rasa takut kerana tiada yang perlu ditakutinya kecuali Allah Subhanahu Wa Taala. Sesungguhnya emansipasi wanita adalah kemerdekaan dari penguasaan hawa nafsu dan godaan syaitan dan juga kewajipan diri untuk tetap takwa dan menelusuri jalan menuju iman.
”Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)” [TMQ An-Nazi’aat( 79) : (40-41)].
Khatimah
Wanita sama ada Muslim atau bukan Muslim terpenjara dan ingin mencari kebebasan dan kemerdekaan disebabkan oleh sistem hidup yang melingkari mereka. Malangnya, selagi sistem Kufur-Barat yang diguna-pakai pemerintah untuk berhukum dan mengurusi seluruh warga negara, wanita kekal terbelenggu. Kepada Muslimah, senario penuh duka lara ini pasti berpanjangan selagi mereka tidak menjaga ketakwaan diri dalam keadaan tidak ada pemerintah yang melaksanakan Islam dalam mengurusi negara. “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu” [TMQ Al-Ahzab (33): 33]. Sesungguhnya hanya dengan berdirinya sebuah negara Khilafah yang melaksanakan Islam Kaffah akan memberi kemerdekaan kepada seluruh umat manusia sama ada lelaki atau wanita, Muslim dan bukan Muslim. Wallahu ‘alam bisshawab.
Kemerdekaan Hakiki Buat Wanita
Ulang tahun kemerdekaan Malaysia menjelang lagi, yang ke-52 iaitu tanggal 31 Ogos 2009. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang setiap hari kita saksikan di kaca televisyen dan juga di dada-dada akhbar. Pelbagai program bertemakan kemerdekaan juga bakal ditayangkan di hampir semua stesyen televisyen di Malaysia sempena sambutan hari kemerdekaan. Ini kerana media massa merupakan sarana yang paling berkesan dalam memainkan peranan ini. Namun begitu, kelihatannya sambutan kemerdekaan Malaysia dari setahun ke setahun semakin suram dan hilang serinya kerana kian tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia. Jika dahulu rakyat secara sukarela mengibarkan bendera Malaysia setiap kali tiba bulan kemerdekaan, tetapi sekarang rakyat perlu ‘dipaksa’ untuk berbuat demikian. Jika dulu Jalur Gemilang kelihatan terpacak di cermin hadapan hampir setiap kenderaan, tetapi sekarang bilangan mereka yang berbuat demikian boleh dikira dengan jari. Pastinya yang masih ‘setia’ mengibarkannya hingga sekarang hanyalah pejabat-pejabat kerajaan, itupun ‘atas arahan’ dari pihak atasan.
Tetapi tidak seperti tahun-tahun yang lepas, sambutan kemerdekaan pada tahun ini hanya akan disambut di Bangunan Parlimen memandangkan ketika itu, umat Islam berada di dalam bulan Ramadhan di samping usaha kerajaan mengurangkan aktiviti luar untuk mengurangkan jangkitan virus selesema babi.
Di dalam suasana bulan kemerdekaan ini, para pemimpin Malaysia sedaya upaya cuba menanamkan perasaan bangga dan patriotisme kepada seluruh rakyat Malaysia dengan memperjuangkan konsep 1Malaysia kerana dengan kemerdekaan ini seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat mengecapi kebebasan dan kehidupan aman serta harmoni. Memang tidak dinafikan terdapat segelintir rakyat Malaysia yang sangat berbangga dengan kemerdekaan dan teruja menyambutnya tetapi ramai lagi rakyat Malaysia yang perlu dipaksa mempunyai perasaan seperti itu. Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran kita. Mengapakah semakin pudar keterujaan rakyat Malaysia untuk menyambut kemerdekaan? Perlukah umat Islam membanggakan sebuah kemerdekaan yang ‘dihadiahkan’ oleh British 52 tahun yang lalu yang semuanya itu diperolehi dengan pelbagai syarat yang mesti dipenuhi?
Apa yang hendak dibanggakan dengan kemerdekaan?
Dalam suasana rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan yang kononnya bukti Malaysia telah mengecapi kebebasan, rakyat Malaysia dapat hidup aman dan harmoni tetapi pernahkah kita berfikir, adakah cukup mendefinisikan kemerdekaan sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah secara fizikal dan seterusnya dapat mengemudi pemerintahan sendiri? Pada hakikatnya semua itu belum cukup untuk mengatakan bahawa Malaysia sudah merdeka. Sebenarnya Malaysia masih dalam cengkaman penjajah, Malaysia masih terikat dengan sistem pemerintahan British, pemikiran rakyat Malaysia masih dibelenggu pemikiran sekular sang penjajah, tatacara hidup rakyat Malaysia masih bersandarkan sistem ekonomi kapitalis. Pernahkah juga kita berfikir, apa lah ertinya sebuah kemerdekaan jika Malaysia masih dibelenggu pelbagai masalah yang tiada bernoktah. Permasalahan sosial semakin hari semakin meningkat, pelbagai kes yang melibatkan sumbang mahram, rogol, cabul, zina, hamil luar nikah, buang bayi dan sebagainya yang sudah acapkali dilaporkan hampir setiap hari di media cetak mahupun elektronik.
Statistik menunjukkan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di negara ini didapati meningkat setiap tahun. Pada 2005, kes rogol paling banyak diterima iaitu sebanyak 1,931 dan diikuti kes cabul, 973 dan liwat, 71 kes. Pada 2006, kes rogol meningkat kepada 2,041, manakala cabul (1,066) dan liwat (71 kes). Pada tahun 2007 pula, sebanyak 3,098 kes rogol dilaporkan, cabul (2,228) dan liwat, 101 kes. Angka itu terus meningkat pada 2008 iaitu 3,405 bagi kes rogol dan cabul (2,107) dan 130 kes liwat.
Statistik PDRM bagi 2008 pula mencatatkan 10 peratus peningkatan kes rogol jika dibandingkan dengan 2007 [Berita Harian, 12/5/2009]. Manakala menurut kajian Saodah Elias (2007) kaum Melayu merupakan kaum yang tertinggi dalam masyarakat yang menyumbang kepada kes-kes sumbang mahram ini [www.jais.gov.my/index.php.]. Selain itu, pelbagai jenayah berat dan ringan masih tetap menghantui masyarakat, kes-kes rompakan, samun, pembunuhan, penipuan, kecurian, ragut dan sebagainya tetap berlaku malah semakin membimbangkan.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes jenayah daripada 209,388 pada tahun 2006 kepada 224,298 pada 2007. Daripada jumlah tersebut, jenayah kekerasan meningkat dari 44,016 kes pada 2006 kepada 49,897 kes pada 2007 (meningkat 5,881 kes atau 13.36 peratus); jenayah harta benda meningkat dari 165,372 pada 2006 kepada 174,401 pada 2007 (meningkat 9,029 atau 5.46 peratus); Kes samun berkumpulan tanpa senjata api meningkat 4,344 atau 159.53 peratus sepanjang tahun lalu, berbanding dalam tempoh yang sama tahun 2006. Sebanyak 7,067 kes tersebut dilaporkan pada 2007 berbanding 2,723 pada 2006. Kes ugutan jenayah pula meningkat dari 6,699 (2006) kepada 8,119 (2007) – meningkat 1,420 atau 21.20 peratus. Kes mencederakan (seksyen 324/326) meningkat dari 5,843 (2006) kepada 6,806 (2007) – meningkat 963 atau 16.48 peratus. Kes samun berkumpulan bersenjatapi meningkat dari 67 (2006) kepada 77 (2007) – meningkat 10 kes atau 14.93 peratus [Utusan Malaysia, 26/8/2008].
Kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan remaja dan dewasa samada penagih dadah baru atau penagih dadah tegar juga kian meningkat yang majoritinya adalah di kalangan umat Islam. Keadaan ekonomi rakyat Malaysia juga khususnya umat Islam masih di takuk lama sepertimana sebelum merdeka lagi. Kebanyakan orang Melayu-Islam masih dibelenggu kemiskinan terutamanya di luar bandar. Ekonomi rata-ratanya dipelopori oleh orang bukan Melayu-Islam. Bukankah keadaan ini sama sahaja jika dibandingkan dengan keadaan sebelum kemerdekaan lagi? Ketika pemerintahan British, umat Islam dipinggirkan dengan menempatkan mereka di kampung-kampung yang hidup penuh dengan kedhaifan. Namun berbeza pula dengan orang bukan Islam yang ditempatkan di bandar-bandar dengan diberikan pekerjaan yang lebih baik. Ini semua dek kerana kebencian dan kejahatan British terhadap umat Islam.
Melihat kemerdekaan dari perspektif wanita, adakah kaum Hawa ini telah mengecapinya? Jika statistik di atas menunjukkan gejala sosial seperti sumbang mahram yang melibatkan wanita, kita menyaksikan saban hari jenayah dan keganasan terhadap wanita belum menemui jalan penghujung. Terkini krisis dan keganasan rumahtangga yang berlaku juga menyumbang kepada permasalah ini. Kes terbaru melibatkan seorang suami memukul dan mencederakan si isteri sehingga menyebabkan kematian. Kejadian berlaku di Hotel Kepong, Kuala Lumpur yang berpunca daripada perasaan cemburu si suami terhadap isterinya [Utusan Malaysia, 11/8/2009]. Jika diperhatikan kesemua masalah yang berlaku ini melibatkan wanita yang telah menjadi mangsa kepada keadaan ini.
Jadi sudah tentu persoalan yang perlu dilontarkan kepada setiap individu khususnya Muslimah: adakah Muslimah hari ini telah benar-benar merdeka jika dilihat dari sudut pandangan Islam
Pada hakikatnya pada hari ini wanita Muslimah telah dijadikan sebagai objek utama kepada Barat untuk menyerang Islam. Barat mendakwa bahawa Islam telah menyekat dan mengongkong kehidupan wanita Muslimah dari pelbagai aspek terutamanya aspek sosial disebabkan oleh hukum hakam seperti larangan bersunyi-sunyian dengan lelaki asing tanpa ditemani mahram, keharaman bagi wanita bermusafir untuk perjalanan melebihi satu hari satu malam tanpa disertai mahramnya, dsb. Oleh itu, ini memberi peluang kepada Barat untuk mempengaruhi pemikiran wanita Muslimah dengan menyuntik pelbagai tipu daya dan propaganda yang mungkin selama ini tidak disedari oleh wanita Muslimah bahawa ini semua adalah rancangan jahat dan kotor pihak Kuffar Barat. Selama ini wanita Muslimah ini menyangka bahawa Barat sangat mengambil berat permasalahan mereka padahal itu semua adalah sebaliknya. Barat telah menggunakan agen-agen mereka yang sebenarnya di kalangan wanita Muslimah sendiri.
Pemikiran wanita Muslimah dicemari oleh pemikiran-pemikiran Barat yang kononnya lebih sesuai dengan arus kemodenan dan sesuai dengan wanita Muslimah hari ini agar setanding dengan wanita Barat. Wanita Muslimah yang telah termakan kata-kata Barat tanpa berfikir terlebih dahulu konsekuensinya terus menerima pemikiran-pemikiran dan idea-idea jahat Barat malah mereka menjadi bangga mempunyai pemikiran-pemikiran setaraf dengan wanita Barat yang kononnya sentiasa mengikut arus kemodenan. Wanita Muslimah dijadikan bahan ekploitasi oleh pelbagai pihak yang kebanyakan ingin meraih keuntungan dan dalam pada masa yang sama ingin merosakkan kemuliaan wanita Muslimah itu sendiri. Wanita Muslimah dijadikan objek eksploitasi dalam mempromosikan produk-produk seperti menjadi model, ’sales promotion girl’, ’public relation’ dan sebagainya. Anehnya, wanita Muslimah ini rela dirinya diekploitasi malah bangga dengannya.
Selain itu, pejuang feminisme iaitu agen-agen Barat mengusung idea dan pemikiran menghendaki agar kaum perempuan diberi hak-hak setara dengan lelaki (gender equality). Golongan ini mengatakan wanita Muslimah seharusnya dibebaskan dari diskriminasi, dari beban-beban yang menghalang kebebasan dalam kehidupan, walaupun terpaksa mengenepikan hukum-hukum Islam. Beban-beban yang menjadi penghalang antara lainnya adalah peranan sebagai seorang ibu yang hamil, menyusui, mendidik anak dan mengatur rumahtangga. Lalu wanita Muslimah pun berlumba-lumba untuk setanding dengan lelaki dalam apa jua bidang terutamanya bidang pekerjaan atau kerjaya dan meninggalkan tugas asal dan paling utama sebagai ibu pengurus rumahtangga. Justeru itu, sedar atau tidak sedar sebenarnya tenaga dan fikiran wanita Muslimah ini di manfaatkan habis-habisan dalam menggerakkan sistem ekonomi kapitalis ini. Idea gender equality ini sebenarnya menjadi pendorong dan penyumbang kepada terjadinya masalah-masalah lain bagi wanita dan masyarakat umumya seperti meningkatnya angka perceraian, ’single parent’, kebebasan hubungan sosial antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.
Dasar Wanita Negara 2009
Berdasarkan tanggapan bahawa nasib wanita di negara ini masih lagi terbelakang dan dizalimi dan menjadi mangsa diskriminasi, Pelan tindakan Dasar Wanita Negara 2009 telah dilancarkan. Akhbar Utusan Malaysia pada 26hb Ogos 2009 melaporkan bahawa menurut pelan yang digubal berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan seimbang merangkumi 13 sektor iaitu ekonomi; kemiskinan; undang-undang; keganasan terhadap wanita; kesihatan; pendidikan dan latihan; sains dan teknologi; dan wanita dalam pembuat keputusan. Ini adalah satu langkah yang diambil oleh pemerintah sekular untuk ‘membantu’ wanita. Akan tetapi apakah jaminan Dasar Wanita Negara ini akan dapat menyelesaikan kemelut yang melanda wanita?
Islam memerdeka dan mengangkat darjat wanita
Sesungguhnya apabila hukum-hakam Islam tidak dipelihara malah ditinggalkan, maka semakin jauh dan mundurnya pemikiran dan kehidupan umat Islam. Sejak Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Islam kepada Rasul-Nya, maka sejak itu lah Islam telah menyelamatkan kaum wanita dari rosak oleh peradaban manusia yang sama sekali tidak menghargai kaum wanita. Membunuh anak perempuan kerana rasa malu, menjadikan wanita sebagai barang warisan, memperlakukan wanita hanya sebagai pemuas nafsu lelaki dan sasaran pelampiasan kekerasan dan sebagainya adalah budaya yang ada hampir di seluruh dunia sebelum kedatangan Islam. Tetapi setelah kedatangan Islam, hak-hak dan kemulian wanita terbela dan terjamin kerana Islam sangat menjaga kemuliaan wanita dan agar wanita dipandang tinggi bukan sebaliknya. Islam telah menjaga wanita daripada apa jua bentuk kerosakan samada eksploitasi atau kekerasan. Sememangnya Islam tidak mengekang mahupun melarang wanita Muslimah untuk beraktiviti dalam kehidupan umum selagi mereka tetap menjaga diri dan kehormatannya. Sirah kehidupan isteri-isteri Rasulullah pun mengindikasikan aktiviti aktif. Ummul Mukminin Khadijah r.a. adalah salah satu contoh usahawan wanita berjaya pada masa itu. Aisyah r.a. adalah perawi hadis dan banyak memberikan fatwa kerana kecerdasannya. Ini kerana Islam tetap mendorong wanita untuk memajukan diri dalam apa jua bidang yang ingin mereka ceburi tanpa mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi tenaga dan tubuhnya malah menjaga dan menghormati wanita. Wanita wajib menuntut ilmu sama seperti lelaki seterusnya mengaplikasikan ilmunya dalam apa jua bidang yang mereka inginkan selagi tetap menjaga martabatnya sebagai wanita Muslimah. Namun begitu, apa yang penting dan perlu diingat oleh setiap wanita Muslimah adalah tanggungjawab utama sebagai ibu pengatur rumahtangga tetap menjadi tugas utama kerana itu adalah ketetapan Allah Subhanahu wa Taala.
Khatimah
Sesungguhnya setiap permasalahan yang terkait dengan wanita sebenarnya sangat mudah untuk diselesaikan iaitu apabila melaksanakan Islam secara total dalam kehidupan iaitu mengambil Islam secara kaffah (keseluruhan). Islam bukan hanya perlu diimplementasi dalam ibadah atau spritual semata-mata tetapi Islam mesti diimplementasi dalam seluruh kehidupan. Sekiranya Islam tidak diterapkan secara kaffah, maka sampai bila-bila pun wanita Muslimah khususnya dan umat Islam umumnya akan tetap di takuk yang lama, wanita akan terus-menerus dieksloitasi tenaga dan tubuhnya, menjadi pelampias nafsu dan kekerasan lelaki manakala umat Islam sendiri akan terus menerus diracuni pemikirannya oleh pemikiran-pemikiran rosak Barat malah akan terus diperbodoh-bodohkan dan dipandang rendah oleh Barat. Taraf pemikiran umat Islam juga akan menjadi mundur. Pendek kata umat Islam keseluruhannya akan terus lena dan hanyut oleh tipu daya si kufar Barat yang sememangnya menginginkan Islam dan umat Islam terus hancur terkubur supaya matlamat mereka untuk menguasai dunia akan menjadi kenyataan. Sedar lah wahai Muslimah dan umat Islam, tegakkan kembali hukum syariat Islam dan seterusnya melaksanakan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah agar nasib seluruh umat Islam akan terbela dan terjamin tanpa gangguan si kufar Barat.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
”Hai orang-orang beriman, masuk lah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”. [TMQ Al-Baqarah (2): 208]
”Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh dari kegelapan kepada cahaya”. [TMQ At-Talaq (65): 11]
”Siapa saja yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Siapa saja yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaha (20): 123-126]
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:
”Aku telah meninggalkan untuk kalian dua perkara: kalian tidak akan tersesat selama kalian berpegang teguh pada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya” [HR Malik]
Wallahu a’lam bisshawab.
“I AM FREE TO DO WHAT I WANT”
Di dalam masyarakat hari ini, ramai di antara kita percaya bahawa kita bebas untuk berbuat apa sahaja yang diingini dalam kehidupan. Menjadi seorang yang berjiwa muda dan remaja bererti mempunyai berbagai-bagai perpektif kehidupan bersamanya. Sebaik sahaja kita melangkah ke dunia remaja di dalam masyarakat hari ini, kita akan terus ingin memperlihatkan bagaimana cara kehidupan yang dipilih. Samada keluar berhibur di kelab-kelab atau pub-pub, mencari cinta tanpa sebarang ikatan atau memberontak dengan keluarga dan pihak berkuasa; berkelakuan sesuka hati atau bersukaria tanpa batas, adalah satu perkara yang lumrah bagi para remaja.
Di dalam masyarakat Barat, para remaja telah mencipta dan didorong ke arah satu peranan di mana tanggungjawab adalah satu perkara yang asing dan hanya berminat untuk mencari keseronokan. Oleh itu, aktif secara seksual tanpa ada rasa tanggungjawab telah membawa kepada konsekuensi yang serius – contohnya seperti Alfie Patten, seorang kanak-kanak yang berumur 13 tahun telah menjadi seorang bapa pada usia yang begitu muda. Perkara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana satu kajian yang dibuat oleh Princeton Survey Research International dalam tahun 2005 telah mendedahkan bahawa di Amerika Syarikat, 27% remaja yang berusia di antara 13 – 16 tahun dan 41% remaja berusia di antara 14 – 15 tahun aktif secara seksual. Oleh yang demikian, adalah tidak menghairankan jika kehamilan ketika remaja merupakan masalah yang besar di Barat, di mana Amerika Syarikat dan Britain mempunyai kadar kehamilan tertinggi.
Walaupun sikap berbuat sesuka hati wujud di Barat, realitinya, kita hidup dalam sebuah masyarakat, bukan bersendirian. Oleh itu, walaupun ramai di antara kita cuba menterjemahkan kebebasan di dalam kehidupan sebagai hanya mencari dan mempunyai pekerjaan yang baik dan mempunyai keluarga yang stabil di mana akan membuat kita bahagia, kemungkinan individu yang lain pula menterjemahkan kebebasan ini dengan cara yang berbeza. Begitu juga jika kita merelakan diri kepada seorang perogol pasti akan membawa ke arah satu malapetaka yang dahsyat, walaupun perbuatan tersebut dilakukan sama dengan idea yang dipegang iaitu kebebasan untuk memuaskan diri sendiri. Jadi, jika kita benar-benar mempercayai bahawa kita perlu mempraktikkan kebebasan peribadi sepertimana satu kehidupan yang baik dan benar, pasti kita tidak mempunyai masalah apabila ada seorang perogol yang mempraktikkan kebebasan individunya, wujud di tengah–tengah masyarakat.
Adakah kita benar-benar bebas?
Inilah satu persoalan di mana orang-orang yang tinggal di dalam masyarakat Barat membuat berbagai-bagai andaian bagi jawapannya. Jika kita benar-benar bertanya soalan ini kepada diri kita, pasti jawapan yang ditemui adalah negatif. Kita sebenarnya tidak bebas. Walaupun masyarakat mempromosikan kebebasan seksual untuk memuaskan keinginan seksual seseorang, undang-undang British hanya membenarkan jika seseorang itu berumur 16 tahun ke atas. Walaupun kita mempercayai bahawa kita bebas untuk berpakaian sebagaimana yang kita sukai seperti memakai karung guni jika kita memilihnya, realitinya adalah jika seseorang itu memilih untuk berjalan di jalan-jalan raya dalam keadaan berbogel, dia pasti akan ditangkap. Jika anda meminta sebuah akhbar untuk melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh Ratu England, pasti anda akan diberitahu bahawa perkara itu tidak dibenarkan.
Oleh yang demikian, jelas lah bahawa kita tidak sebenar-benarnya bebas. Kita hanya bebas setakat yang dibenarkan oleh masyarakat dan pemerintah. Oleh itu, persoalannya, jika kita tidak benar-benar bebas, tetapi menjalani kehidupan yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan dan norma-norma tertentu, apakah peraturan yang perlu kita ikuti? Adakah mengikuti norma-norma kehidupan sesebuah masyarakat yang dipilih oleh manusia sendiri atau norma-norma dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta yang telah mencipta setiap dari kita?
Kebebasan hanya menyebabkan kita berfikir tentang diri kita sendiri
Keghairahan untuk memenuhi berbagai-bagai keinginan yang melebihi segala-galanya, akan melenyapkan rasa tanggungjawab daripada minda para remaja. Keinginan untuk mendapatkan kegembiraan bagi diri sendiri membuatkan seseorang mengutamakan keinginannya melebihi daripada orang lain.
Idea individualisme di dalam masyarakat menyebabkan ramai anak-anak muda berseronok tanpa batasan dan tidak memikirkan impak ke atas orang lain atau masyarakat. Individualisme memberikan lesen kepada anak–anak muda lelaki untuk melakukan hubungan seksual sesuka hati mereka tanpa sebarang komitmen kepada pasangan perempuan mereka. Individualisme juga memberikan keinginan superfisial untuk memiliki teman wanita yang bersize 8, seperti contoh yang ditonjolkan dalam program realiti TV BBC di mana seorang ibu tunggal membuat pendedahan bahawa pasangannya telah meninggalkannya ketika dia hamil 5 bulan dengan alasan bahawa dia telah hilang kecantikannya. Individualisme juga menunjukkan bahawa ibu bapa yang lebih mengutamakan kejayaan kerjaya mereka atau hubungan cinta mereka daripada kesejahteraan anak-anak mereka sepertimana yang dilaporkan oleh Children’s Society Report 2009, telah mengakibatkan anak-anak menjadi lebih gelisah dan tidak gembira.
Panel yang menyediakan Children’s Society Report 2009 menyatakan bahawa individualisme yang berlebih-lebihan perlu digantikan dengan satu sistem di mana manusia mendapat kepuasan dengan membantu orang lain, bukan mengejar kejayaan peribadi.
Masyarakat Barat melahirkan idea individualisme sebagai satu idea bahawa manusia hidup di samping masyarakat dan yang penting ialah kesejahteraan peribadi, bukan perbuatan kita yang boleh memberi kesan kepada orang lain. Jika seorang lelaki melakukan hubungan sulit dengan seorang wanita sehingga wanita itu hamil dan kemudian meninggalkannya, dia bukan sahaja memberi kesan terhadap kehidupan wanita tersebut di mana wanita tersebut perlu terus hidup dan memelihara seorang anak serta mencari nafkah bersendirian, tetapi perbuatan lelaki tersebut juga turut memberi kesan terhadap kehidupan anak tersebut yang membesar tanpa seorang bapa. Perbuatan individu pasti memberi kesan terhadap masyarakat, dan inilah idea yang harus difahami oleh masyarakat Barat untuk menangani masalah keruntuhan sosial yang disaksikan sekarang.
Keprihatinan Islam terhadap semua di sekeliling kita
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan disampaikan oleh Nu’man bin Basheer r.a., Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Contoh orang yang mendirikan din Allah dan orang yang meninggalkannya adalah umpama sekumpulan orang yang menaiki sebuah kapal, sebahagian memenuhi dek atas dan sebahagian lagi memenuhi dek bawah. Apabila orang-orang dari dek bawah memerlukan air, mereka perlu menaiki dek atas untuk mendapatkannya. Maka, sebahagian daripada mereka berkata, “kenapa tidak kita tebuk sebuah lubang di dek kita supaya kita tidak perlu menyusahkan orang-orang yang di dek atas?” Jika perbuatan mereka itu tidak ditegah, mereka semua akan tenggelam dan karam, tetapi jika sebaliknya, mereka akan terselamat.”
Di dalam hadis ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam menerangkan bagaimana manusia perlu bekerjasama untuk membiarkan kapal tersebut untuk terus terapung, sama seperti keadaan sesebuah masyarakat. Jika manusia hanya mencari kepuasan untuk memenuhi keperluan dan keinginan sendiri tanpa memikirkan orang lain, maka akhirnya mereka akan musnah. Oleh itu, Islam menyarankan supaya kita harus memikirkan tentang komuniti dan masyarakat, di samping memenuhi keperluan sendiri. Dibawah pemerintahan Khilafah Islam, sistem sosial Islam menekankan bahawa segala rangsangan ke arah keinginan seksual dijauhkan daripada masyarakat supaya masyarakat dan komuniti akan terpelihara daripada keganasan hubungan seksual secara rambang akibat kebebasan tanpa batas.
Kita hamba kepada Allah
Idea yang menyatakan bahawa kita bebas untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki serta memenuhi sebarang keinginan dengan apa cara sekalipun adalah satu kedustaan. Jika kita tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap denyut jantung kita, berapa banyak litar saraf elektrik yang dihantar oleh otak kita dan berapa banyak oksigen yang kita sedut, bagaimanakah kita boleh mempercayai bahawa kita mempunyai kebebasan untuk memenuhi keperluan dan keinginan badan kita sepertimana yang dibincangkan sebelum ini? Jelas, kita telah dicipta oleh Allah dan dihidupkan oleh Allah, jadi bagaimana kita mempunyai keberanian untuk mempercayai bahawa kita mempunyai pilihan untuk memenuhi keinginan kita, tetapi Allah tidak berhak menentukan apa yang harus kita perbuat?
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman di dalam Al-Quran bahawa;
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku”. [TMQ Az-Zariyat (51): 56]
Ayat ini telah jelas menerangkan bahawa kita tidak mempunyai pilihan melainkan melakukan setiap perbuatan dengan mengikut perintah dan larangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana tujuan kita hidup di dunia ini hanyalah untuk-Nya.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Sebarang perbuatan yang dilakukan bukan berdasarkan kepada urusan kita akan ditolak”.
Oleh yang demikian, tidak ada ruang untuk seseorang Muslim itu merasakan bahawa dia mempunyai kebebasan untuk memenuhi sebarang keinginannya. Setiap perbuatannya harus berlandaskan kepada Islam. Ini bukanlah bermaksud seorang Muslim itu harus bersembahyang dan berpuasa selama 24 jam sehari dan tidak melakukan perbuatan yang lain, tetapi kita juga harus mempunyai hubungan dengan orang lain, berjual beli, menghormati orang tua kita dan memenuhi masa lapang kita selari dengan tuntutan din Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Sebagai seorang Muslim, kita harus mengetahui bahawa kematian adalah satu kemestian dan hari pembalasan pasti akan datang, di mana kita akan diberi balasan ke atas segala perbuatan kita di dunia ini.
Hari ini adalah hari di mana,
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula ” [TMQ Al-Zalzalah (99): 7 – 8]
Oleh itu, seharusnya kita menggunakan minda kita untuk berfikir sebelum melakukan sebarang perbuatan kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mempertanggungjawabkan kita walaupun untuk kesalahan kecil yang dilakukan akibat kesombongan kita mengingkari din-Nya. Bebas melakukan apa saja yang boleh membawa akibat yang buruk, tanpa mengambil kira samada perbuatan itu baik atau salah tidak seharusnya berlaku kepada seorang Muslim yang berfikir dan matang.
Seorang Muslim yang matang dan berfikir seharusnya mempunyai perasaaan ketaqwaan, ketakutan dan kesedaran tentang Penciptanya serta sentiasa menyala di dalam tubuhnya untuk mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam segala perbuatannya. Seharusnya ketakutan dan kecintaan seseorang terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu lebih besar untuk dapat menahan dirinya daripada terfikir untuk berpeleseran dengan teman-temannya.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berjanji bahawa ganjaran yang besar di luar daripada fikiran manusia menanti di akhirat, seperti firman-Nya,
“… dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.” [TMQ At-Thalaaq (65) : 5]
Sesungguhnya kehidupan di dalam masyarakat hari ini amat sukar bagi remaja Muslim kerana mereka sentiasa dipaksa untuk menyerah kalah kepada keinginan dan kesenangan manusia yang rendah. Tetapi, seorang Muslim itu harus mengetahui bahawa ini adalah jalan ke arah kehancuran bersama-sama orang di sekeliling mereka samada di dalam kehidupan ini mahupun di akhirat nanti. Dengan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, oleh itu, mereka pasti dapat mencari kekuatan dan hidup semata–mata untuk-Nya, melebihi keinginan untuk memenuhi keinginan sebagai manusia:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” [TMQ Yunus (10) : 63 -64]
Sumber : Islamic Revival