Ganggu pilihan raya boleh ditembak – Pervez

ISLAMABAD 15 Jan. – Presiden Pervez Musharraf berkata, beliau telah mengarahkan tentera menembak sesiapa sahaja yang cuba mengganggu pilihan raya bulan depan yang diharap oleh sekutu Baratnya dapat membawa kestabilan.

Pervez berkata, pilihan raya yang ditunda sehingga 18 Februari ini tidak akan ditangguh sekali lagi dan menyatakan keyakinan bahawa ia berlangsung secara aman.

“Saya sudah berkata kepada tentera dan renjer untuk menembak sesiapa sahaja yang cuba mengganggu pilihan raya,” katanya semasa berucap merasmikan sebuah jambatan baru semalam.

Sebelum ini pilihan raya yang dijadual pada bulan ini ditangguhkan berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

Parti Rakyat Pakistan yang pernah dipimpin oleh Benazir dan kumpulan pembangkang yang diketuai oleh Nawaz Sharif dijangka mencatat kemenangan pada pilihan raya kali ini.

– AP

Sumber: Utusan Malaysia 16/01/08

Ulasan:

Sikap kebinatangan Musharraf tetap tidak luntur walau apa tekanan yang dikenakan ke atasnya sekalipun. Ternyata diktator pembunuh umat Islam ini sekali lagi dengan jelas lagi nyata mengeluarkan arahan untuk membunuh kaum Muslimin rakyatnya sendiri!

Walaupun kenyataan melampau ini dikeluarkan dan diketahui oleh seluruh dunia, namun tidak ada seorang pun pemimpin umat Islam yang berani menegur, apatah lagi menyelar atau mengingatkan Musharraf dengan azab Allah perihal apa yang diucapkannya ini.

Apakah tindakan mengganggu pilihan raya yang sudah dijangka akan dipenuhi penipuan dan ketidakadilan selogiknya dihukum tembak? Nampaknya Musharraf benar-benar telah memakai hukum rimba dan hilang sifat kemanusiaannya. Kerakusan untuk berkuasa telah menyerlahkan sifat kebinatangan Musharraf. Dia lupa bahawa Rasulullah telah bersabda,

“Mencaci orang Islam adalah suatu kefasikan dan membunuhnya adalah suatu kekufuran” [Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Musharraf juga sudah tidak melihat ayat-ayat Allah bahawa,

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
[TMQ an-Nisa’ (4):93].

Semoga azab Allah akan segera tiba ke atas orang-orang yang zalim. Amin.