Gaza: Kempen jualan emosi diteruskan

 
altDi saat umat Islam di Palestin menangis kerana saudara-mara dan rakan-rakan mereka terbunuh diperangi Israel, sebahagian umat Islam di Malaysia pula menangis kerana ‘disajaki’ dan ‘dipuisi’ oleh mereka yang ‘prihatin’. Sudah berapa banyak malam puisi sebegini di adakan di seluruh Malaysia, dan setiap kali diadakan, ia mendapat sambutan yang agak besar dan dihadiri oleh orang-orang kenamaan yang cuba menunjukkan ‘keprihatinan’ mereka terhadap nasib rakyat Palestin.
“Sedih, sayu dan hiba melihat kesengsaraan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis, Israel diluahkan menerusi Malam Puisi di Bawah Langit Gaza yang berlangsung di Dataran Sungai Melaka” – lapor Utusan Malaysia.  Meskipun tidak banyak yang dapat mereka lakukan, di kalangan penyajak meluahkan rasa hati yang terhiris menerusi deklamasi sajak yang mengutuk kekejaman Israel di Gaza. Itulah gambaran tepat yang dapat dilihat pada wajah kira-kira 1,000 penonton yang hadir serta diserikan lagi dengan penyertaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam – lapor akhbar pengampu kerajaan ini lagi.

Hampir saban hari umat Islam di Malaysia diperdaya dengan jual-beli emosi! Seolah-olah mereka begitu bersimpati dengan apa yang berlaku. ‘Simpati’ mereka itu ditunjukkan dengan persembahan yang memakan tidak sedikit wang dengan segala persediaan yang dilakukan dan mungkin juga mereka yang terlibat turut diberikan bayaran yang agak lumayan, wallahu’alam.

Pokoknya, isu Gaza ini terus dijadikan modal paparan agar mempertaut emosi-emosi rakyat yang ‘terjerat’ dengan perangkap kapitalisme. Tipu daya ‘hidup-hidup’ ini terus dimainkan oleh sekalian pemimpin menerusi kempen-kempen ‘jualan emosi’ yang sebenarnya cuba menunjukkan kepada rakyat betapa prihatinnya mereka kepada nasib warga Palestin!!!

Isu Gaza adalah isu peperangan, bukan isu kewangan dan bukan juga isu makanan. Isu utama di Gaza sekarang adalah peperangan, yang perlu diselesaikan dengan peperangan. Tentera perlu dilawan dengan tentera, bukannya dilawan dengan sajak dan puisi!!! Alangkah jahilnya mereka dan alangkah jauhnya mereka dari menyelesaikan masalah Palestin. Ali Rustam sebagai salah seorang pemimpin sepatutnya mencadangkan kepada pucuk pimpinan Islam Hadhari bahawa saudara-saudara kita di Palestin memerlukan tentera, bukannya memerlukan ‘air mata’ penduduk Malaysia!!!

Para esktremis penyajak dan pemuisi ini pula sepatutnya sudah terhantuk dan keluar dari tempurung hidup mereka. Apakah semua masalah akan mereka selesaikan melalui sajak dan puisi, sehingga masalah perang di Gaza pun mereka akan tetap berpuisi bagi menyelesaikanya? Apakah jika ibu-ibu, anak-anak dan saudara-saudara mereka dibunuh di depan mata mereka, maka mereka akan terus bersajak dan berpuisi, dari melawan musuh yang masih memegang senapang di tangan mereka??? Penyajak dan pemuisi ini sepatutnya sedar bahawa mereka perlu mendesak kerajaan untuk menghantar tentera ke Palestin bagi menyelamatkan Gaza, dan puisi serta sajak mereka langsung tidak diperlukan oleh rakyat Palestin. Sesungguhnya rakyat Palestin memerlukan kehadiran tentera kaum Muslimin, bukannya sajak dan puisi. Jika mereka tetap ingin bersajak dan berpusi sekalipun, karanglah sajak dan puisi yang menyeru agar pemerintah menghantar pasukan tentera ke Gaza bagi menyelamatkan saudara-saudara kita di sana. Karanglah puisi dan sajak yang menggambarkan betapa besarnya dosa-dosa pemerintah apabila mereka tidak menghantar tentera ke sana. Inilah mesej yang perlu mereka sampaikan kepada pemerintah.
 
Sejak dari pencerobohan dan pendudukan kaum Yahudi di bumi Palestin, umat Islam terus diperangi habis-habisan.  Kaum terlaknat Zionis ini tidak akan pernah berhenti dari memerangi kaum Muslimin kecuali mereka dilawan habis-habisan dengan jihad dari tentera kaum Muslimin. Tentera lawan tentera, perang lawan perang, barulah bertemu buku dengan ruas. Namun malangnya, para pemimpin termasuk panglima tentera kaum Muslimin lebih memihak kepada musuh, lebih memihak kepada Yahudi itu sendiri. Buktinya, mereka langsung tidak menghantar tentera untuk berjihad melawan Yahudi, namun jika mereka dikerah oleh PBB (untuk menjaga keselamatan Israel), mereka akan terus bergerak, sedangkan PBB adalah di bawah telunjuk Amerika dan Amerika pula adalah sekutu kuat Israel. Jadi, dengan kata lain, pemimpin dan tentera kaum Muslimin sebenarnya hanyalah mengikut telunjuk Yahudi!!!

Puisi dan sajak yang dideklamasikan langsung tidak akan sampai kepada umat Islam di Gaza. Jika sampai pun, apakah faedahnya??? Begitu juga dengan jutaan derma yang dikutip, yang tentunya terpaksa ‘disimpan’ dengan agak lama terlebih dahulu di bank-bank tempatan. Jadi, sebelum wang jutaan tersebut sampai ke pintu masuk Palestin, tidakkah bank-bank yang Kapitalis ini tergiur dengan manfaat yang berlonggok di depan mata mereka? Paling tidak, bank-bank ini berpeluang menukar-nukar nilai mata wang agar setidak-tidaknya mereka bersama-sama kerajaan kapitalisme memperoleh keuntungan dalam usahasama tersebut?

Inilah hakikatnya dari apa yang mereka sangat-sangat ingin lakukan. Di samping terhibur dan ‘berhibur’ melihat persembahan, mereka sebenarnya telah menolong para Kapitalis, sebelum menolong saudara mereka yang menderita di Palestin. Tatkala umat Islam masih terus menderita di Palestin, para Kapitalis telah terlebih dahulu berjaya mengaut keuntungan dan Yahudi tertawa lebar melihat semua ini.

Biar apa pun yang berlaku sekarang, Hizbut Tahrir ingin menyedarkan kesemua pihak bahawa semakin hari kebangkitan umat Islam kepada Khilafah adalah semakin marak. Ketahuilah janji Allah tentang Khilafah pasti benar. Kebangkitan semula Khilafah atas manhaj kenabian adalah suatu fenomena yang tak mampu lagi dihalang oleh sesiapa. Dengan kebangkitan itu, kaum kuffar termasuklah pemimpin Muslim yang sekular yang bersahabat dengan mereka pasti menerima kehinaan dan kenistaan hidup.

Khalifah pasti tidak akan membiarkan kezaliman dan kekejaman para pemimpin kaum Muslimin yang tidak menjalankan jihad tatkala Palestin, Afghanistan, Pakistan, Chechnya, Selatan Thai, Bosnia dan lain-lain diserang! Kemungkaran yang mereka lakukan pasti akan dibalas dengan hukuman yang setimpal agar keadilan Islam terus dizahirkan di atas muka bumi ini.