Hadi nak guna jawatan duta perjuang isu umat Islam, perjuangan yang bagaimana?

Satu hasrat dan keinginan yang baik apabila Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ingin berusaha untuk mencari titik pertemuan bagi menyeru pemimpin dan umat Islam seluruh dunia bersatu [Malaysiakini, 17/5/2020].

Namun, perlu kita fahami bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi tanpa diiringi dengan usaha. Begitu juga dengan sesuatu usaha, yang tidak akan ke mana jika ia bukan merupakan usaha yang benar. Tidak ada usaha yang benar, kecuali usaha yang mengikut thariqah (metode) yang dibawa oleh Rasulullah (saw).

Maka, jika Hadi Awang benar-benar ingin mencari ‘titik pertemuan’ dan memperjuangkan isu umat Islam, sudah pasti acuan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) wajib dijadikan sebagai sandaran. Dengan kata lain Duta Khas Perdana Menteri itu wajib melihat bagaimana perjuangan Rasulullah (saw), dan bagaimana Rasulullah (saw) mempersatukan umat Islam.

Contoh penyatuan dan persaudaraan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) ialah dengan mempersatukan Aus dan Kharaj yang sudah sekian lama bergaduh, dan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar sebagai dua kelompok Muslim yang berbeza ‘negara’, yang mana kesemuanya dipersatukan  di bawah ikatan aqidah dan ukhuwah Islamiyah semata-mata, di bawah naungan Daulah Islam yang baru berdiri di Madinah.

Jadi, tidak ada faktor lain lagi, di mana satu-satunya faktor penyatuan umat Islam ialah atas dasar akidah dan ukhwah Islamiyyah. Rasulullah (saw) tidak mengira lagi apakah suku mereka atau di mana tempat tinggal (negara) mereka. Tidak kira mereka suku Arab atau bukan. Tanah Madinah menjadi tanah untuk umat Islam, bukan hanya untuk penduduk Madinah, tidak kira samada mereka datang dari Mekah (sebuah negara lain pada waktu itu), dari Iran, dari Syam, Yemen, Iraq dan lain-lain. Semua bebas bertempat tinggal di Madinah yang merupakan sebuah Daulah Islam yang baru muncul pada ketika itu.

Perjuangan Islam dan penyatuan umat Islam yang digagaskan oleh Rasulullah (saw) diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin  yang mana semakin ramai umat Islam dan semakin banyak negara dipersatukan di bawah Khilafah, dengan seorang Khalifah sahaja bagi seluruh kaum Muslimin, dan dengan sistem pemerintahan yang sama dan bendera yang sama. Begitulah penyatuan umat Islam terus terjalin dan berkembang di bawah pemerintahan Khilafah seterusnya dari Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah sehingga Islam berjaya menakluki hampir dua per tiga dunia selama lebih 13 abad. Terbukti bahawa ideologi Islam mampu dan telah berjaya meleburkan perbezaan dalam kalangan manusia untuk bersatu di bawah satu negara atas dasar persamaan akidah.

Inilah hakikat yang perlu kita akui, bahawa perjuangan dan titik pertemuan umat Islam menuntut kepada adanya satu penyatuan di bawah satu kepimpinan, satu negara dan satu bendera. Penyatuan umat Islam bukanlah secara spiritual semata-mata, tetapi wajib secara politik yakni bagaimana umat Islam itu wajib diurus dalam semua aspek, dengan cara Islam di dalam negara yang satu.

Apabila kita berbicara mengenai perjuangan umat Islam, maka kita perlu menyedari akan peri pentingnya penyatuan umat Islam sedunia ini dilihat dari aspek mana sekalipun:

(1) Aspek normatif (syariah), iaitu perintah dalam al-Quran dan as-Sunnah mengenai kewajipan umat Islam untuk bersatu;

(2) Aspek sejarah iaitu umat Islam selama berabad-abad telah bersatu dalam sejarah emas Kekhilafahan Islam;

(3) Fakta empirikal ketika ini, iaitu umat memang perlu untuk membangunkan penyatuan dalam menghadapi berbagai tentangan global, khususnya daripada kuasa kuffar yang merupakan musuh-musuh Islam.

Aspek pertama: Secara normatif umat Islam bukan hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan yang satu [Allah (swt)], menghadap kepada kiblat yang satu (Kaabah), berpedoman dengan kitab yang satu (al-Quran) serta meneladani Rasul yang satu [Rasulullah (saw)], malah mereka juga diperintahkan untuk hidup bermasyarakat di bawah kepemimpinan yang satu iaitu Khilafah Islamiyah yang dipimpin oleh seorang Khalifah, yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah.

Penyatuan umat di bawah Khilafah inilah yang merupakan penyatuan dan kesatuan yang hakiki. Di bawah seorang Khalifah selaku pimpinan umum untuk seluruh umat Islam sedunia ini, ia akan mempersatukan seluruh negeri kaum Muslimin; mengatur dan mengurus mereka dengan syariat Islam; menghimpunkan potensi dan kekuatan mereka di seluruh dunia untuk mengukir kembali kejayaan Islam serta mengembalikan tanah-tanah dan pelbagai hasil bumi milik umat Islam yang telah dirampas secara paksa oleh penjajah dan rejim penguasa yang sedia ada. Di bawah Khilafah juga umat ini akan dapat mengibarkan bendera jihad dan panji dakwah Islam ke seluruh dunia hingga dunia menikmati kebahagiaan hidup di bawah naungan Islam.

Islam melarang perpecahan umatnya, sebagaimana yang kita saksikan pada hari ini, yang akan menjerumuskan umat kepada kelemahan dan keburukan. Allah (swt) berfirman:

“Janganlah kalian berbantah-bantahan hingga mengakibatkan kalian menjadi gentar dan hilang kekuatan,” [TMQ al-Anfal (8):46].

Rasulullah (saw) bersabda:

“Jika dibaiah dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].

Hadis ini menegaskan keharaman bagi umat Islam memiliki lebih dari seorang pemimpin, dan dalam hadis ini juga terdapat kewajipan bagi umat Islam untuk memerangi Khalifah yang terakhir dibaiat untuk mencegah terjadinya perpecahan yang akan mengakibatkan banyak keburukan dalam tubuh umat Islam. Realitinya sekarang, sejak jatuhnya Khalifah Abdul Majid II yang terakhir di Turki pada tahun 1924, umat Islam kini memiliki lebih daripada 50 orang pemimpin dalam negara-negara bangsa yang hidup dalam keadaan lemah dan terpecah-belah.

Aspek kedua: Selama lebih 13 abad umat Islam hidup di bawah satu kepemimpinan, iaitu negara Khilafah yang diterajui oleh seorang Khalifah. Khalifah menjadi perisai, tempat umat berlindung, bahkan menjadi benteng dari segala hal yang akan menghancurkan seluruh sendi-sendi kehidupan mereka. Khalifah juga menjadi penjaga kestabilan kehidupan dari segi ekonomi, sosial, budaya, politik dan pemerintahan. Selama umat Islam berada di bawah pemerintahan Khilafah, mereka hidup dalam kesatuan, khususnya dalam menghadapi musuh-musuh mereka, dan mereka benar-benar menjadi umat terbaik yang menerajui dunia dalam pelbagai bidang, malah menjadi super power dunia yang disegani kawan dan lawan.

Aspek ketiga: Fakta empirikal saat ini menunjukkan bahawa sejumlah bangsa dan negara mulai cenderung untuk ‘bersatu’ dalam berbagai aspek, baik ekonomi, ketenteraan dan undang-undang, untuk menghadapi tentangan global mutakhir ini. Kesatuan Eropah adalah salah satu contohnya. Gagasan Kesatuan Eropah muncul sejak tahun 1950an. Setelah melalui proses perundingan yang tidak pernah berhenti, idea besar itu baru terwujud pada tahun 1992, iaitu ketika perjanjian ditandatangani di Maastrich, Belanda. Ertinya, Kesatuan Eropah baru wujud setelah lebih 40 tahun idea penyatuan tersebut digagaskan. Pada awalnya Kesatuan Eropah hanya disertai oleh 12 buah negara. Sekarang tidak kurang daripada 23 negara telah menyertainya. Mereka didorong oleh pertimbangan yang rasional, bahawa konsep negara-bangsa (nation states) sudah semakin kehilangan daya untuk menghadapi percaturan global saat ini dan pada masa yang akan datang. Oleh itu, Kesatuan Eropah menjadi keperluan bagi mereka.

Justeru, berdasarkan ketiga-tiga aspek di atas amat jelas bahawa kewujudan sebuah Daulah yang kita namakan sebagai Khilafah adalah tuntutan yang hakiki dan paling utama dalam usaha ke arah merealisasikan perjuangan dan penyatuan umat Islam. Bentuk penyatuan ini sahajalah yang diperintahkan oleh Allah (swt) dan Rasul-Nya ke atas kita semua. Selain dari itu semuanya hanyalah usaha yang sia-sia dan mimpi semata-mata.

Perjuangan umat Islam

Duta Khas kepada Perdana Menteri seharusnya sedar bahawa untuk membawa perjuangan umat Islam di peringkat lokal mahupun global, ia bukanlah perjuangan untuk mengekalkan negara-bangsa. Selain hukumnya yang haram, sesungguhnya negara bangsa adalah lambang kepada perpecahan umat Islam, dan lambang kejayaan negara kafir penjajah ke atas umat Islam. Merekalah yang memecah dan membahagikan negara umat Islam kepada negara bangsa setelah mereka berjaya menghancurkan Khilafah. Kerana negara bangsalah umat Islam terpecah-belah di bawah negara-negara yang kecil lagi lemah dan mudah diperkotak-katikkan oleh negara kafir hingga sekarang.

Duta Khas kepada Perdana Menteri juga seharusnya sedar bahawa perjuangan umat Islam bukanlah perjuangan untuk mengekalkan sistem demokrasi-sekular yang dihadiahkan oleh penjajah Barat kepada negeri-negeri umat Islam. Demokrasi merupakan sistem kufur yang direka oleh Barat dan dipasarkan ke negeri kaum Muslimin untuk memastikan agama Islam tidak akan tegak semula di muka bumi ini.

Begitu juga dengan badan-badan di peringkat antarabangsa seperti PBB, NAM, CHOGM dan lain-lain, ini semua bukanlah saluran perjuangan umat Islam. PBB merupakan badan kufur yang dibentuk dan didominasi oleh kuasa kuffar, bagi memastikan Daulah Khilafah, yang menjadi musuh mereka dahulu, tidak akan kembali. Sama juga dengan OIC yang tidak boleh menjadi saluran perjuangan umat Islam, kerana terbukti OIC hanyalah sebuah organisasi yang hanya pandai bersidang dan mengeluarkan resolusi ibarat tin kosong.

Duta Khas kepada Perdana Menteri seharusnya sedar bahawa perjuangan umat Islam tidak akan terealisasi tanpa adanya jihad fi sabillah, dengan pemerintah mengerahkan tentera untuk membebaskan kaum Muslimin yang tertindas di seluruh dunia seperti di Palestin, Syria, Myanmar, Kashmir, Afrika Tengah, Xinjiang dan lain-lain, dan seterusnya membebaskan wilayah umat Islam yang sedang dijajah oleh puak kuffar. Lalu kesemuanya digabungkan ke dalam Daulah Khilafah.

Inilah perjuangan umat Islam yang wajib dibawa oleh Duta Khas kepada Perdana Menteri Malaysia ini. Persoalannya, adakah beliau akan melakukan semua itu?

Ustaz Umar Hussein

Pimpinan Pusat HTM