Hamas semakin berubah?

Hamas iktiraf Israel jika rakyat beri restu

BAITULMAQDIS: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter, semalam berkata pergerakan Hamas memaklumkannya kesediaan mereka mengiktiraf kewujudan Israel jika itu dicapai menerusi perjanjian damai serta
disahkan pungutan suara oleh rakyat Palestin sendiri.Carter membuat kenyataan itu selepas beliau mengadakan dua pertemuan dengan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal di Damsyik biarpun berdepan kecaman hebat Israel dan Amerika yang menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

“Hamas sudah menyatakan kesediaan mengiktiraf kewujudan negara Palestin di dalam lingkungan sempadan ditetapkan selepas Perang Asia Barat 1967 jika itu yang dipersetujui rakyat Palestin.

“Mereka juga bersedia menerima dan mengiktiraf kewujudan Israel serta menerimanya sebagai negara jiran untuk hidup dalam keamanan, andai itu dikehendaki rakyat Palestin,” kata Carter ketika berucap selepas rundingan di Syria dan Mesir.

“Hamas juga bersetuju menerima perjanjian damai yang akan dirundingkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Ehud Olmert, dengan syarat ia dikemukakan dan diluluskan rakyat Palestin. Ia sedia dilakukannya biarpun mengakui ada di antara syarat itu yang tidak mungkin dipersetujui Hamas.

“Ia juga bermakna Hamas tidak akan mengetepikan usaha Mahmoud untuk merundingkan satu perjanjian. Hamas bersedia menerima jika rakyat Palestin diberi hak menentukannya menerusi satu pungutan suara yang bebas,” tegasnya.

Selepas peperangan 1967, Israel menawan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Mahmoud mahu mewujudkan sebuah negara Palestin di kedua-dua wilayah Palestin itu seperti ditetapkan satu perjanjian damai anjuran Amerika yang diharap dapat direalisasikan menjelang akhir tahun ini

Hamas berkata, selepas ia mengambil alih pentadbiran Semenanjung Gaza daripada kumpulan Fatah yang dipimpin Mahmoud dan menjadi punca penyingkiran kerajaan diketuainya, kumpulan Islam itu tidak dibenarkan bertindak selaku wakil Palestin untuk membincangkan sebarang rundingan damai dengan Israel.

Rundingan Carter dengan Meshaal pada Jumaat dan Sabtu lalu itu juga menunjukkan bagaimana kumpulan Islam yang ditolak sepenuhnya Israel dan Barat, masih boleh dibawa berbincang mengenai perjanjian damai serta mengetepikan tentangan Hamas terhadap rundingan yang diusaha Mahmoud dengan negara rejim Zionis berkenaan.

“Sebarang usaha menyisihkan Hamas tidak berguna,” kata Carter, merujuk keganasan dan pertempuran yang meletus di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza-Israel.

Hamas sebelum ini sudah menolak gesaan Barat supaya ia mengiktiraf Israel, mengetepikan keganasan dan menerima perjanjian damai sementara yang dipersetujui Palestin-Israel.

Carter berkata, Hamas bagaimanapun menolak cadangannya agar diwujudkan gencatan senjata 30 hari kerana tidak yakin Israel akur dengan perjanjian sedemikian.

Carter turut menyelar suara sumbang Barat yang menyelar pertemuannya dengan Hamas.

“Kita semua percaya masalah sebenarnya bukan kerana saya menemui Hamas di Syria. Masalahnya ialah Israel dan Amerika sendiri yang enggan menemui Hamas sedangkan kumpulan itu sepatutnya dibabitkan sama.

“Tidak diragui lagi yang dunia Arab, Palestin serta Hamas sendiri, akan menerima kewujudan Israel dan untuk hidup bersama secara aman dengan negara itu.” – AFP/Reuters

Sumber: Berita Harian 22/04/08

Ulasan:

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah memahami bahawa lawatan bekas presiden AS ke Damsyik untuk berjumpa dengan pemimpin Hamas bukanlah satu lawatan kosong. Jimmy Carter bukanlah seorang yang bodoh dan bukanlah seorang yang akan melakukan sesuatu tindakan dengan sia-sia. Jadi, lawatan beliau ini sebenarnya penuh makna dan pasti ada strategi di sebaliknya.

Dari apa yang dilaporkan, Jimmy Carter berkata bahawa pergerakan Hamas memaklumkannya kesediaan mereka mengiktiraf kewujudan entiti Yahudi jika itu dicapai menerusi perjanjian damai serta disahkan pungutan suara oleh rakyat Palestin sendiri. Kita belum mendapat berita dari Hamas sendiri sama apa yang diperkatakan oleh bekas presiden AS ini ini benar atau tidak. Namun, jika ia adalah benar, maka nampaknya Hamas telah terjerat dengan lawatan sang kafir ini. Mengiktiraf kewujudan entiti Yahudi di bumi Palestin merupakan satu pengkhianatan kepada Allah, Rasul dan juga kaum Muslimin keseluruhannya. Zionis Yahudi adalah musuh yang nyata bagi kita semua.  Mereka menjajah bumi Palestin dan membina negara mereka di tanah yang diberkati itu. Sesungguhnya tidak ada seorang Muslim pun yang boleh mengiktiraf hal ini. Jika seluruh rakyat Palestin bersetuju sekalipun, semua mereka telah melakukan keharaman di sisi Allah kerana membenarkan musuh Allah mendirikan negara di tanah suci itu.

Rakyat Palestin sudah membenci Fatah kerana Fatah hanyalah sahabat baik kepada Zionis Yahudi laknatullah. Kaum Muslimin kemudian bergantung harapan kepada Hamas untuk menyelamatkan mereka dari kekejaman Yahudi. Namun jika Hamas bersetuju untuk mengiktiraf dan hidup berjiran dengan entiti Yahudi, maka sudah semestinya kaum Muslimin yang ikhlas dan beriman kepada Allah akan menolak mereka, sebagaimana mereka menolak Fatah.

Kita sama-sama nantikan dari mulut Hamas sendiri apakah yang diperkatakan oleh Jimmy Carter itu benar, atau hanyalah fakta yang diselewengkan.