Hanya Sekadar Menjadi Pencetak Al-Quran Tetapi Bukan Pelaksana Hukum-hakam Al-Quran?

Al-Quran adalah merupakan kalamullah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Al-Quran merupakan satu-satunya mukjizat yang boleh dilihat dan diperturunkan oleh seorang Nabi kepada umatnya. Ia masih lagi kekal sepertimana awal diturunkan dan ia akan terus dipelihara oleh Allah SWT sehingga hari kiamat. Di dalamnya terdapat ayat-ayat berkaitan aqidah, peristiwa-peristiwa terdahulu dan yang akan datang, serta seluruh hukum-hakam muamalah sesama manusia. Melalui Al-Quran inilah, Allah terus membimbing dan memberikan petunjuk kepada umat manusia supaya mereka tidak sesat dalam mengatur kehidupan. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan kepada petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang hak dan yang batil)..” [TMQ Al-Baqarah (2) : 185]

Dalam ayat ini Allah telah menegaskan bahawa antara matlamat penurunan Al-Quran adalah sebagai petunjuk dan penjelasan bagi petunjuk tersebut, serta sebagai pembeza antara yang haq dan yang batil. Oleh itu, barangsiapa yang tidak mengambil Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan, maka mereka adalah orang yang tidak berpetunjuk. Sayang sekali apabila Perdana Menteri Malaysia hanya ghairah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pencetak Al-Quran kedua terbesar di dunia dan bukannya ghairah untuk menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam mengatur dan memerintah negara dengan melaksanakan seluruh perintah Allah yang terkandung di dalamnya. Malah, beliau menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada manifestasi kegigihan kerajaan untuk meninggikan syiar Islam tanpa erti jemu dan penat di samping sebagai pelengkap kepada agenda Islam dalam melakukan transformasi negara.

Apakah syiar Islam itu dinilai sekadar dengan banyaknya jumlah Al-Quran dicetak pada setiap tahun? Apakah dengan banyaknya cetakan Al-Quran yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia mampu untuk menebus dosa-dosa mereka yang tidak mahu berhukum dengan hukum-hakam Allah yang termaktub dalam Al-Quran serta diterapkan sebagai perlembagaan negara? Sungguh naif pemikiran manusia sebegini yang memandang bahawa kehebatan Islam itu hanya sekadar menunjukkan syiar (simbol) Islam semata-mata, dan bukannya pada pelaksanaan hukum-hakam syariatNya. Lebih keji lagi sekiranya perancangan menambah bilangan percetakan Al-Quran ini hanya dilihat dari segi keuntungan ekonomi yang boleh dikejar melalui penjualan mushaf-mushaf mulia tersebut. Jika benar niat utama adalah untuk mengambil peluang dalam meraih keuntungan semata-mata dan bukannya untuk menyebarluaskan dakwah, maka bersegeralah bertaubat sementara nyawa masih dikandung badan. Wallahu a’lam.

Sumber : Utusan Online, 06/08/2013