Haram sambut Obama, HTM gegarkan Putrajaya

1PUTRAJAYA 6 November – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini mengadakan himpunan aman dan juga serahan memorandum bantahan ke Jabatan Perdana Menteri bagi membantah kedatangan Barack Obama. Presiden Amerika Syarikat itu dijadual datang ke Malaysia pada 20-22 November ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak AS-Asean dan Asia Timur di Kuala Lumpur.

Perhimpunan bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat di Masjid Putra di mana lebih kurang 100 ahli dan penyokong HTM menaikkan banner dan sepanduk yang mengecam kedatangan Obama. Mesej daripada HTM disampaikan oleh Ust Umar Hussein dan juga Ust Razi Salleh yang menyeru para jemaah agar memahami bahawa kedatangan Obama, yang merupakan ketua negara penjajah dan pengganas nombor satu dunia itu, bukan sahaja bakal membawa malapetaka, malah haram untuk disambut oleh umat Islam.

HTM memberikan peringatan tegas kepada Perdana Menteri Malaysia, yang kebetulan bersolat di situ dan sempat menyaksikan himpunan yang dilakukan betul-betul di hadapan pintu utama masjid itu, bahawa Obama bukanlah sahabat atau tetamu yang patut disambut, tetapi merupakan musuh Islam, musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin yang wajib dilayan sebagai musuh dan haram untuk disambut.

Sebagaimana dimaklumkan oleh Duta AS ke Malaysia, Joseph Yun, kehadiran Obama ke negara ini bakal menyentuh mengenai isu-isu keselamatan serantau dan juga berkaitan isu TPPA yang sudah pun dipersetujui oleh Malaysia dan hanya menunggu ratifikasi.

Selesai seruan dibacakan di hadapan masjid, peserta perhimpunan terus bergerak ke Jabatan Perdana Menteri yang terletak bersebelahan masjid bagi menyerahkan memorandum.

Tiga orang wakil HTM yang diketuai oleh Ustaz Abdul Hakim Othman selaku Jurucakap, dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum. Memorandum bantahan tersebut diterima dengan baik oleh En. Megat Amirul, Pembantu Khas kepada Perdana Menteri, yang berjanji akan menyampaikannya kepada Najib dan beliau mengucapkan terima kasih di atas nasihat yang disampaikan oleh HTM kepada Perdana Menteri.

Perhimpunan bersurai dengan aman sebaik sahaja memorandum berjaya diserahkan.