Harapkan pagar, pagar makan padi

Ganja: Tiga termasuk anggota polis, tentera ditahan

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Anggota polis dan tentera ialah antara tiga suspek yang ditahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini baru-baru ini.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan dalam dua serbuan yang diadakan pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan pertama yang dilakukan pada pukul 2.45 pagi, seorang suspek yang merupakan mekanik ditahan di sebuah rumah di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah itu setelah suspek enggan membukanya.

Menurut beliau, suspek cuba melarikan diri melalui salah satu tingkap sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Katanya, lelaki itu juga sempat mencampakkan bungkusan yang dipercayai berisi dadah jenis ganja di belakang rumahnya.

”Hasil pemeriksaan di kawasan rumah suspek, polis menemui bungkusan ganja yang dibuang di belakang rumah seberat 210 gram,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Abd. Razak, susulan penangkapan tersebut, pihaknya berjaya menahan dua lagi suspek yang dipercayai rakan suspek pertama di sebuah rumah di kawasan yang sama.

Kedua-dua mereka masing-masing anggota tentera dan polis berpangkat Lans Koperal ditahan kira-kira pukul 7 pagi pada hari yang sama.

Abd. Razak memberitahu, pihaknya percaya anggota tentera terbabit datang ke rumah anggota polis itu untuk membeli bekalan dadah jenis ganja.

”Turut dirampas dalam serbuan itu, 10 gram ganja daripada anggota polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek masing-masing mekanik dan anggota polis merupakan pengedar kecil-kecilan kepada kenalan di sekitar kawasan itu.

Dalam pada itu, katanya, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Jelas beliau, anggota polis yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala anggota tentera itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Pekerja bengkel itu pula, katanya, kini disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya.

Sumber: Utusan Malaysia


Harapkan pagar, pagar makan padi

Beginilah realiti sistem Kapitalis, anggota keselamatan seperti polis dan tentera pun boleh ditangkap menagih dan mengedar dadah. Apakah kerana gaji bulanan yang tidak cukup telah menjadikan anggota keselamatan mengedar dadah untuk mengaut hasil lumayan? Kejadian ini pada hakikatnya tidaklah menghairankan kerana memang wujud di dalam pola pemikiran manusia yang hidup dalam sistem Kapitalis menjadikan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ sebagai jalan untuk mencapai objektif mereka. Wang ringgit dan harta kekayaan dijadikan tolok ukur, bukannya halal-haram dan bukan pula mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Inilah juga sebab yang menjadikan anggota keselamatan ditangkap rmengambil rasuah dan memiliki wang simpanan berjuta ringgit seperti yang pernah dilaporkan di dalam media arus perdana beberapa tahun yang lepas.

Adalah amat menyedihkan kerana dalam dunia hari ini yang didominasi oleh sistem kapitalis, tolok ukur halal-haram hanyalah dihadkan kepada soal makan dan minum sahaja, tidak kepada keseluruhan sistem kehidupan yang mengatur manusia. Umat Islam menjadi sensitif kepada soal makan-minum di mana kesemua makanan dan minuman mestilah memperagakan label ‘Halal’ yang dikeluarkan oleh JAKIM tetapi jarang sekali peduli kepada sistem ekonomi, sosial, perundangan dan lain-lain system kufur yang mengaturkan kehidupan umat Islam hari ini. Sesungguhnya sistem Kapitalis tidak akan berupaya menyelesaikan permasalahan masyarakat, bahkan menambahkan lagi masalah di dalam masyarakat. Sesungguhnya sistem kehidupan Islam sahajalah yang layak menyelesaikan segala permasalahan masyarakat dari sekecil-kecil masalah sehinggalah kepada yang besar.