HIV Serius Adalah Natijah Daripada Kerosakan Sistem Sekular

Umat Islam dilihat semakin celaru dan keliru apabila gagal mencari solusi sebenar kepada permasalahan HIV. Seolah-olah tidak ada penghujung dan penyelesaiannya, umpama tercari-cari cahaya di hujung terowong. Bayangkan bagaimana dengan satu racun “kebebasan” yang dipasarkan oleh Barat telah mengakibatkan lebih 17,000 nyawa menderita di sepanjang hayat mereka. Keadaan semakin menggerunkan apabila peratusan terbesar golongan yang terkena musibah itu adalah golongan muda. Daripada jumlah 17,000 tersebut, 86 peratus adalah di bawah usia 50 tahun. Secara fakta dan hakikatnya, penyakit ini sebenarnya melibatkan dan terkait dengan persoalan pandangan hidup bagi seseorang individu, masyarakat dan juga negara. Idea kebebasan yang menjadi salah satu daripada prinsip dasar demokrasi telah memacu rosaknya gaya hidup individu dan masyarakat yang berada dalam dunia kapitalisme pada hari ini. Individu yang hidup dalam dunia kapitalisme  terus dibiarkan bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang mereka inginkan. Masyarakat pula sudah tidak memperdulikan lagi tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar yang menjadi ciri khas umat Islam sebagai umat yang terbaik. Sedar ataupun tidak, pergaulan bebas lelaki dan wanita dalam kehidupan dunia saat ini adalah merupakan faktor penyumbang kepada munculnya penyakit HIV yang terbit melalui hubungan seks bebas. Penggunaan jarum suntikan oleh penagih dadah juga adalah antara alat utama penyebarannya, tetapi sumber virus maut tersebut tetap berpunca daripada hubungan kelamin. M Umat Islam sudah tidak lagi mempertimbangkan persoalan halal dan haram dalam setiap tindak-tanduk mereka. Yang menjadi fokus mereka adalah kepuasan nafsu semata-mata. Keadaan ini diperparahkan lagi apabila negara yang sepatutnya menjadi institusi yang melindungi rakyatnya daripada dirosakkan dengan idea-idea Barat, sebaliknya terus membiarkan idea-idea jijik ini berakar umbi dan menjadi darah daging rakyatnya. Natijahnya kini dapat disaksikan, kegagalan demi kegagalan, kekecewaan terus berlanjutan.

Buatlah sebarang anjuran kempen di sana-sini, belanjakanlah ratusan juta wang peruntukan negara, tetapi selagimana ia tidak kembali kepada Islam, kesemua usaha-usaha itu akan pasti terus menemui titik kegagalan dan akhirnya akan menuai kekecewaan. Secara hakikatnya individu, masyarakat dan negara telah tersangat jauh daripada Islam, termasuklah para pemimpin negara sendiri. Mereka bukan sahaja tidak menerapkan Islam dalam negara, malah dengan tanpa rasa bersalah telah menghina dan membakul sampahkan hukum-hakam al-Quran dan as-Sunnah. Pemerintah pada hari ini lebih rela mengambil sistem kehidupan jahiliyyah untuk diterapkan di tengah-tengah kehidupan bernegara berbanding kehidupan Islam. Sedangkan Allah SWT telah menempelak, “Apakah hukum jahiliyyah yang mereka inginkan? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin?”. [TMQ al-Maaidah (5):50]. Buat mereka yang masih sinis dengan Islam, fahamilah firman Allah swt ini: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.[TMQ Ta-ha (20): 124]. Apakah para pemerintah umat Islam di seluruh dunia amnya, dan Malaysia khususnya,  ingin menunggu sehingga seluruh rakyatnya terkena musibah HIV dan barulah ketika itu mereka ingin kembali kepada Islam?

Sumber: Berita Harian, 07/03/13