HTM Lancar Pejabat Urusan di Khilafah Centre

altBANDAR BARU BANGI 4 Oktober – Buat julung kalinya Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan perasmian pejabat urusan beserta majlis hari raya bertempat di Khilafah Centre, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Majlis ini telah mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 300 jemputan. Antara tetamu yang hadir termasuklah dari kalangan tokoh-tokoh masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO), Imam dan AJK surau, pegawai agama, aktivis masyarakat, pelajar-pelajar universiti, pensyarah, peguam serta golongan profesional lainnya. Turut hadir adalah para pemilik dan penyewa premis di sekitar Khilafah Centre beserta pekerja mereka.
Menurut  Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman, melalui pelancaran pejabat urusan HTM bertempat di Khilafah Centre ini, umat Islam, juga pihak media boleh datang ke Khilafah Centre bagi mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai HTM, aktiviti dan perjuangannya sebagai sebuah parti politik Islam di negara ini. Pejabat urusan HTM sebelum ini beroperasi di Gombak.
Majlis yang bermula tepat jam 12 tengah hari itu dipengerusikan oleh Ustaz  Abu Syahid  dan dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Al-Hafiz Ustaz Latif Ibrahim. Seterusnya Naqib HTM Kawasan Bangi, Ust Hafiz Ismail memberikan ucapan pembukaan.

Menurut Ust Hafiz, Khilafah Centre bertujuan menjadi pusat kecemerlangan pemikiran ummah yang bakal memangkinkan kelahiran khaira ummah sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110. Semasa pemerintahan Khilafah dahulu, umat Islam benar-benar telah menjadi umat yang terbaik yang menjadi contoh kepada manusia keseluruhannya, tegas beliau. Dengan adanya Daulah Khilafah, umat Islam telah mencapai kegemilangan dalam pelbagai bidang sehingga Negara Khilafah menjadi pusat rujukan dunia. Antara perkembangan yang menakjubkan adalah di bidang pendidikan di mana Daulah Khilafah mempunyai ribuan perpustakaan dengan ratusan ribu judul buku yang melambangkan ketinggian berfikir umat Islam ketika itu. Dan semua ini tentunya tidak akan terhasil kecuali dengan adanya kajian, galakan dan dana dari sebuah negara yang maju dengan taraf pemikiran penduduknya yang tinggi yang dipimpin oleh seorang Khalifah.

Hafiz menegaskan bahawa untuk mengembalikan semula kecemerlangan ini, perlulah ada usaha untuk melakukan perubahan pemikiran kerana ia akan mengubah mafahim dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku seseorang individu itu kepada Islam. Sehubungan itu, Khilafah Centre disasarkan untuk mengembalikan kegemilangan ini dengan menjadi sebuah pusat dakwah yang memfokuskan kepada aktiviti untuk meningkatkan semula taraf berfikir umat Islam dengan penganjuran pelbagai majlis ilmu seperti pengajian Al-Quran, Bahasa Arab, seminar, motivasi, diskusi, pameran, jualan buku, CD dan banyak lagi, ujar beliau.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden HTM Ustaz Abdul Hakim Othman yang menjelaskan serba sedikit berkenaan Hizbut Tahrir dan sejarah kemasukannya ke Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik Islam internasional yang bertujuan untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan semula Daulah  Khilafah. Hizbut Tahrir yang ditubuhkan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah di Al-Quds  pada tahun 1953, sehingga kini bergerak aktif di lebih 40 buah negara di seluruh dunia.

Hakim seterusnya menjelaskan tentang peranan pejabat urusan HTM di Khilafah Centre dan mengajak hadhirin agar bersama-sama mengkaji dan berjuang bersama Hizbut Tahrir ke arah menyatukan umat Islam di seluruh dunia di bawah satu bumbung pemerintahan (yakni) Daulah Khilafah. Dalam merealisasikan tujuan mulia ini, Hizbut Tahrir bergerak secara politik dan intelektual di seluruh dunia tanpa mengambil kaedah kekerasan sedikitpun, jelasnya.

Majlis perasmian disempurnakan dengan penandatanganan plak perasmian oleh Presiden HTM dan disudahi dengan doa selamat dari Ust Abu Arsyad.

Sesudah itu, para tetamu dijemput menikmati juadah dan majlis diselang-selikan dengan lagu-lagu dakwah dan perjuangan. Di ruangan pejabat, para tetamu dihidangkan dengan pameran dan juga tayangan video berkenaan perjuangan Hizbut Tahrir dan sejarah kegemilangan umat Islam di bawah pemerintahan Khilafah. Majlis berakhir sepenuhnya lebih kurang jam 3.00 petang.

HTM dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan hadhirin yang telah menjayakan majlis ini. Jazakumullahu khairan jaza’.

Khilafah Centre boleh dihubungi melalui nombor telefon/faksimili 03-89223149.

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt