HTM serah memo bantahan ke Kedutaan Syria dan Russia
KUALA LUMPUR 24 Jun –Lebih kurang 300 peserta demonstrasi aman anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) berjalan sejauh 1.5 kilometer bagi menunjukkan solidariti terhadap saudara-saudara seIslam yang sedang dibantai di bumi Syria. Lebih 200 warga Syria dilaporkan maut dalam serangan terbaru rejim al-Assad dengan kerjasama Rusia laknatullah di bumi Syam itu dalam minggu pertama Ramadhan sahaja.
Para demonstran mula berhimpun di hadapan Masjid Al-Saudi seusai solat Jumaat, dan mengajak para jemaah berhimpun di Kedutaan Syria yang terletak tidak jauh dari situ. Mesej bantahan dan solidariti dari HTM dibacakan oleh Sdr Lutfi, mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru oleh rejim Bashar dan Rusia disamping menyatakan solidariti terhadap umat Islam yang menjadi mangsa serangan di Syria.
Ustaz Abdul Hakim Othman bersama dua lagi wakil HTM cuba menyerahkan memorandum bantahan, tetapi langsung tidak mahu diterima oleh pihak Kedutaan. Mereka malah tidak membuka pagar walaupun diketuk berkali-kali oleh pasukan polis yang membantu proses penyerahan. Memo tersebut akhirnya dimasukkan ke dalam peti surat kedutaan. HTM juga turut meninggalkan sejumlah banner yang berisi ribuan tandatangan umat Islam di Malaysia yang telah dikutip di sepanjang kempen Solidariti yang HTM jalankan.
Dalam ucapannya, Ustaz Hakim, yang juga Jurucakap HTM menyatakan kekesalan dengan sikap bacul yang ditunjukkan pihak kedutaan.
Demonstran kemudiannya berarak menuju Kedutaan Rusia dengan diiringi laungan takbir bagi menyatakan bantahan yang sama ke atas Rusia yang telah melakukan pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan ke atas Syria. Semua peserta kelihatan semangat walaupun berjalan lebih satu kilometer dalam keadaan berpuasa kerana hal ini terlalu kecil berbanding penderitaan yang dialami oleh umat Islam di Syria, apatah lagi jika dibandingkan dengan generasi terdahulu yang melalui puasa Ramadhan dengan jihad fisabilillah.
Pihak polis membenarkan peserta demonstrasi berhimpun dan memberikan ucapan, betul-betul di seberang jalan berhadapan dengan pagar kedutaan. Mesej bantahan dibacakan oleh Ustaz Muaz Abu Thalhah yang mengutuk Rusia atas serangan tersebut serta memberikan amaran bahawa apabila berdirinya Khilafah sedikit masa lagi hasil usaha Hizbut Tahrir bersama-sama umat Islam, maka Rusia akan pasti menerima balasan yang setimpal dengan kejahatan yang mereka lakukan ke atas umat Islam.
Abdul Hakim sekali lagi mengetuai delegasi untuk menyerahkan memorandum dan seperti Kedutaan Syria, Kedutaan Rusia juga enggan menerima memo tersebut, walaupun pada awalnya mereka telah berunding dengan pihak polis untuk bersetuju menerimanya. Dalam ucapannya selepas itu, Jurucakap HTM itu sekali lagi mengutuk kejahatan dan kebaculan Rusia yang tidak mahu menerima memo tersebut.
Himpunan aman tersebut di akhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Umar Hussein, memohon kepada Allah SWT agar memberikan kemenangan terhadap umat Islam dalam mengatasi musuh-musuhnya.