HTM serah memo bantahan kepada Britain dan Perancis
KUALA LUMPUR 11 Disember – Dua bangunan pejabat wakil kerajaan Britain dan Perancis di ibu negara hari ini digegarkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) beserta umat Islam yang prihatin yang ikut serta dalam demonstrasi dan penyerahan memorandum bantahan anjuran HTM itu.
Lebih kurang 200 peserta mula berarak dari Bangunan Tabung Haji sebaik sahaja selesai solat Jumaat menuju ke Suruhanjaya Tinggi Britain yang terletak di Jalan Binjai. Hujan yang turun di sepanjang perhimpunan tersebut menjadi penguat semangat kepada seluruh peserta perhimpunan. Peserta melaungkan slogan antaranya “Hancur Barat”, “Menang Islam” diselangi dengan Takbir di sepanjang perarakan tersebut.
Semasa di Suruhanjaya Tinggi Britain, Ketua pengawal keselamatan Suruhanjaya itu turun dan menerima memo bantahan yang disampaikan oleh Jurucakap HTM, Ust Abdul Hakim Othman.
Dalam ucapan yang disampaikan di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi itu, HTM menggesa Britain untuk tidak campur tangan di Syria dan menegaskan yang kejahatan dan penjajahan Britain di sepanjang sejarah sehingga kini ke atas umat Islam, jauh lebih besar dari kejahatan yang berlaku di Paris yang dijadikan sebab oleh Britain untuk menyerang Syria bersama sekutunya, Perancis dan Amerika Syarikat.
Peserta perhimpunan kemudian berarak ke Kedutaan Perancis yang terletak di Jalan Ampang sambil terus melaungkan slogan dan Takbir.
Setiba di Kedutaan, Abdul Hakim yang diiringi oleh beberapa pegawai polis, menyerahkan memo bantahan yang diterima oleh wakil Kedutaan dengan gaya yang agak sombong.
Dalam ucapan di sepanjang perhimpunan di hadapan Kedutaan negara penjajah itu, HTM menegaskan dengan lantang bahawa sasaran serangan Perancis di Syria bukanlah ISIS sepertimana yang mereka war-warkan, tetapi sasaran sebenar ialah umat Islam dan juga kelompok yang menentang Basyar. Hal ini jelas terlihat daripada kawasan serangan dan ratusan korban yang terdiri daripada orang awam, termasuklah kanak-kanak dan wanita.
HTM mengingatkan peserta perhimpunan dan kerajaan Perancis, bahawa kejahatan yang berlaku di Paris pada November lepas yang mengorbankan lebih 120 nyawa, jauh lebih kecil berbanding dengan kejahatan yang dilakukan oleh Perancis ke atas umat Islam di sepanjang sejarah penjajahan mereka yang telah membunuh dengan kejam jutaan umat Islam, khususnya di Benua Afrika.
HTM juga mengingatkan Perancis yang kejahatan mereka ke atas umat Islam tidak akan didiamkan begitu sahaja. Umat Islam adalah umat yang hidup yang tidak akan berdiam diri apabila melihat saudara-saudaranya dizalimi. Hizbut Tahrir telah dan sedang berusaha serta menggerakkan umat Islam di seluruh dunia untuk menegakkan Negara Khilafah yang apabila Negara Islam ini berdiri sedikit masa lagi, Khalifah akan pasti menjawab segala kebiadaban dan kekejaman Perancis ke atas umat Islam.
Perhimpunan berjalan dan bersurai dengan aman dan tertib dengan kerjasama sepasukan anggota PDRM dari IPD Dang Wangi dan Wangsa Maju.