HTM terus bantah kedatangan Obama dan campurtangannya ke atas dunia Islam
KUALA LUMPUR 21 Nov – Lebih 100 anggota dan penyokong Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan demonstrasi aman berhampiran Menara Berkembar KLCC bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke negara ini. Para demonstran mulai berhimpun sekitar jam 2.00 petang bagi menyampaikan mesej bantahan terhadap Obama yang ketika itu sedang bermesyuarat di dalam Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, tidak jauh dari tempat perhimpunan.
Perhimpunan di Jalan Ampang itu telah menarik perhatian orang ramai yang rata-rata memberikan sokongan terhadap protes yang dianjurkan. Dalam ucapannya, Razi Salleh selaku pemidato utama menjelaskan kekesalan HTM terhadap Perdana Menteri Malaysia yang mengalu-alukan kedatangan musuh Allah itu ke negara ini. Razi juga menjelaskan bahawa haram hukumnya untuk negara umat Islam berbaik-baik dan menandatangani apa jua perjanjian dengan Amerika sebagai sebuah negara yang sedang memusuhi Islam dan umatnya.
Sungguh amat jelas bahawa Amerika merupakan sebuah negara imperialis yang cuba menguasai sekali gus menindas umat Islam melalui dasar neo-imperialismenya dan mana-mana negara yang dimasuki oleh Amerika akan menghasilkan malapetaka yang tidak berkesudahan, laung Razi.
Justeru, kedatangan Obama ke Malaysia bagi menghadiri Persidangan Kemuncak AS-ASEAN tidak patut disambut, apatah lagi diberi layanan melebihi first class kerana Obama wajib dilayan sebagai musuh dan bukannya tetamu. Inilah antara mesej disampaikan oleh HTM dalam perhimpunan aman tersebut.
Terdahulu, HTM telah mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Putra, Putrajaya pada 6 November dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia bagi membantah kedatangan Obama. HTM juga telah mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar AS seminggu berikutnya dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS.
Dari KLCC, peserta perhimpunan seterusnya berarak ke Ibu Pejabat Polis, Dang Wangi bagi menuntut pembebasan dua orang anggota HTM yang ditangkap oleh polis sebelumnya. Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dan seorang lagi anggota, Ustaz Umar Hussein, telah ditangkap di kediaman masing-masing pada pagi hari Jumaat 20 November oleh sepasukan polis dari Cawangan Khas, Bukit Aman.
Perhimpunan bersurai setelah kedua-dua aktivis HTM itu dibebaskan, setelah mereka ditahan dan selama dua hari melalui proses soal siasat oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Jenayah Dang Wangi.
HTM membantah sekeras-kerasnya penahanan Jurucakap dan anggotanya yang bukan sekadar berhubung bantahan yang mereka lakukan terhadap kedatangan Obama, tetapi ternyata bermotifkan politik dan penglibatan mereka di dalam Hizbut Tahrir selama ini.