Hukum Membayar Hutang Dengan Tambahan Bayaran

Soalan:

Bolehkah kita melunaskan hutang dengan bayaran tambahan atau faedah tertentu dengan menganggapnya sebagai hadiah tanpa dinyatakan dalam akad? Benarkah perkara sebegini dibenarkan berdasarkan hadis, “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunaskan hutangnya” ?
 
Jawapan :

Jika seseorang memberikan pinjaman atau hutang (qardh) kepada orang lain dan mensyaratkan tambahan bayaran seperti faedah atau bunga ketika akad dibuat, maka tambahan bayaran ini hukumnya adalah haram kerana ia termasuk riba. Ijmak ulama’ tentang keharamannya tidak mempunyai sebarang perbezaan pendapat. (Taqiyyuddin An-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343). Ibnu Qayyim berkata, “Riba ini disepakati keharaman dan kebatilannya. Keharamannya sudah diketahui dalam agama Islam sepertimana haramnya zina dan mencuri.” (Ighatsah al-Lahfan, 2/10). Ibnu Mundzir berkata, ”Para ulama’ sepakat bahawa jika pemiutang mensyaratkan kepada penghutang sesuatu tambahan atau hadiah…maka tambahan yang diambil itu adalah riba.” (Al-Ijma’, hal. 39).

Namun jika tambahan itu tidak disyaratkan dalam akad, terdapat perbezaan pendapat dalam hal ini. Menurut Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani, jika tambahan itu diberikan sebagai hadiah, hukumnya perlu diteliti dengan lebih terperinci. Jika peminjam atau penghutang sudah menjadi kebiasaan memberikan hadiah kepada pemiutang (contohnya pemiutang merupakan sahabatnya atau saudaranya), hukumnya adalah mubah (boleh). Tetapi sebaliknya jika tidak pernah atau tidak biasa, maka hukumnya adalah haram. (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343).

Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Anas r.a, dia berkata,

“Seorang lelaki di kalangan kami  bertanya bahawa dia pernah memberikan pinjaman (qardh) kepada saudaranya, lalu saudaranya (si penghutang) memberikan hadiah kepadanya. Maka Anas r.a berkata, Nabi saw bersabda, ‘Jika salah seorang daripada kamu memberikan pinjaman lalu dia (pemiutang) diberikan hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya (si penghutang), janganlah ia menaiki kenderaan tersebut dan jangan pula ia menerima hadiah tersebut, kecuali jika perkara sebegitu pernah berlaku sebelum ini antara dia (pemiutang) dan dia (penghutang).” (HR Ibnu Majah). (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/341).

Berkaitan hadis

“Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunaskan hutangnya.” (HR Bukhari no. 2306; Muslim no. 1600),

para ulama’ berbeza pendapat sama ada bolehkah ia dijadikan dalil dalam membenarkan tambahan atas hutang tanpa disyaratkan dalam akad. Sebahagian ulama’ membolehkannya jika tambahan tersebut datangnya daripada inisiatif atau kehendak pihak yang meminjam (bukan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman). (Lihat Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Fatwa Islamiyah, 2/414).

Manakala sebahagian lagi ulama’ antaranya seperti Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani menyatakan bahawa perkara sebegitu tetap tidak dibolehkan. Pendapat ini (iaitu tidak boleh memberi tambahan) adalah lebih rajih (kuat) kerana ia lebih sesuai dengan topik atau latar belakang hadis tersebut. Berdasarkan hadis tersebut, seseorang telah datang untuk menuntut hutang seekor unta yang pernah diberikan kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah meminta sahabat untuk membeli seekor unta (untuk dibayar kembali hutang unta tersebut), akan tetapi tidak dijumpai unta yang sebaya kecuali unta yang lebih baik (lebih tua). Rasulullah saw pun bersabda,

“Belilah unta itu dan berikan kepadanya kerana sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunasi hutangnya.” (HR Bukhari no 2306).

Oleh yang demikian, menurut Syeikh An-Nabhani, topik  pembahasan hadis ini adalah merujuk kepada perbuatan manusia dalam melunaskan hutang yang lebih baik (as-sadad al-hasan) dan bukannya pada tambahan daripada jumlah hutang yang dipinjam (ziyadah ‘amma ustuqridha). (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343).

Dalam hal ini, Rasulullah tidak membayar kembali hutangnya dengan memberikan lebih daripada seekor unta. Hutangnya tetap dibayar kembali dengan seekor unta sahaja, tetapi dalam keadaan dan kualiti unta yang lebih baik daripada yang pernah diberikan (hutang) kepadanya sebelum ini. Justeru, hadis di atas adalah tidak tepat untuk dijadikan dalil bagi membolehkan tambahan jumlah bayaran dalam melunasi hutang walaupun ia tidak disyaratkan dalam akad. Sebagai kesimpulan, sebarang tambahan dalam pembayaran hutang adalah tetap haram kecuali jika sudah menjadi amalan biasa bagi penghutang untuk saling memberikan hadiah kepada pemiutang (di luar urusan pinjaman sesama mereka) sebelum ini. Wallahu a’lam.