Ibrah dari peristiwa Isra’ dan Mikraj – pertolongan Allah SWT untuk hambaNya yang sedang diuji
Tanyalah kepada kaum Muslimin, adakah tanggal 27 Rejab setiap tahun memberi sebarang makna kepada mereka atau tidak. Bagi mereka yang cintakan agama ini, tarikh tersebut memberi makna yang sangat besar kepada kaum Muslimin sebagai tarikh peringatan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Bagi sesetengah yang lain, tarikh tersebut mungkin hanya memberikan faedah sebagai cuti umum dalam kalendar kehidupan mereka yang dihabiskan tanpa kesedaran mengenai peristiwa yang begitu penting dalam sirah Rasulullah SAW. Bagi yang menghayati peristiwa ini, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti perhimpunan dan ceramah. Kisah Rasullah SAW di isra’ dari Mekah ke Baitul Maqdis, dan kemudiannya diangkat bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha acapkali kita dengar dari para asatizah yang berkomentar dari pelbagai pentas sama ada secara fizikal mahupun maya. Ini termasuk juga berbagai kisah di dalam perjalanan antara lapisan langit, bermula dari langit pertama sehingga ke langit ketujuh. Hakikatnya banyak pedoman yang boleh kita perolehi apabila kita bandingkan dengan kehidupan pada hari ini. Namun terdapat satu lagi ibrah penting dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj yang harus kita ambil – perlunya kita terhadap pertolongan Allah SWT tatkala kita berada dalam suasana yang amat menyusahkan.
Perlu kita fahami bahawa baginda Rasulullah SAW adalah makhluk yang bernama manusia sama seperti kita. Baginda memiliki sifat manusia seperti rasa takut, sedih, dan pelbagai lagi jika berlaku peristiwa yang menimpa dirinya. Bayangkan, apakah perasaan kita jika saudara rapat kita yang banyak membantu kita ibarat benteng dari ancaman luar pergi meninggalkan kita? Bukan itu sahaja, bagaimana pula perasaan kita jika pasangan kita pergi meninggalkan kita setelah hidup bersama bertahun lamanya? Lebih parah lagi kedua-dua peristiwa tersebut berlaku dalam tempoh yang cukup dekat sebelum emosi kita sempat untuk kembali stabil. Sudah pasti sebagai manusia kita akan merasa sangat berdukacita. Fikiran kita pasti terganggu dan emosi kita menjadi sangat rapuh untuk mengharungi kehidupan mendatang. Dalam jalan dakwah, ancaman dan cabaran itu pasti, namun kesan dari kehilangan dua sosok ini pasti memburukkan lagi keadaan, ditambah dengan ancaman fizikal dari musuh-musuh Allah SWT. Kedua-dua kesan emosi dan fizikal ini sudah pasti mematahkan semangat kita sebagai manusia, tidak terkecuali insan mulia bernama Muhammad Rasulullah SAW. Sebagai hamba Allah SWT, kita tahu kita haruslah bersabar dengan ujian dan sentiasa bersangka baik terhadapNya. Apapun, ujian seperti ini pasti memberikan kesan mendalam dalam diri kita dan boleh melemahkan semangat kita. Di kala inilah pertolongan dari Allah SWT adalah sangat diharapkan. Pertolongan dari Allah SWT untuk menaikkan semangat hidup adalah salah satu nikmat utama yang tidak boleh kita abaikan. Semangat ini amat diperlukan ketika berdakwah dan dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku dalam tempoh satu malam ini menyiram dan menyegarkan kembali semangat Rasulullah SAW apabila baginda dipertemukan dengan para Rasul dan para Nabi terdahulu. Dan yang paling utama adalah apabila baginda bertemu dengan Zat yang Maha Berkuasa – Allah SWT. Rasulullah SAW kembali ke Mekah dengan suntikan semangat baru untuk meneruskan usaha dakwah baginda. Perkara ini tentunya merupakan satu ibrah yang sangat penting bagi kita. Kita pasti akan diuji oleh Allah SWT, oleh itu, mohonlah bantuan dariNya untuk menaikkan semangat kita kerana sesungguhnya bantuan Allah SWT itu amat luas. Jangan sesekali kita berputus asa terhadap bantuanNya. Ingatlah wahai manusia, kita ini sebenarnya terlalu lemah dan sentiasa memerlukan pertolongan Allah SWT untuk terus hidup di dunia ini. Peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, selain merupakan lambang mukjizat Rasulullah SAW, juga memberikan banyak pengajaran kepada kita dalam ketaatan dan harapan kita kepada Allah SWT . Sehebat macam mana pun ujian yang menimpa, janganlah sesekali kita lupakan Allah SWT dan teruslah berusaha untuk mendapatkan bantuan, perlindungan, rahmat dan keredhaanNya.