ISA Adalah Haram Disisi Islam. ISA Adalah Hukum Jahiliyyah

10 ditahan ISA

PUTRAJAYA 27 Jan. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan hanya 10 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai terlibat dengan organisasi pengganas antarabangsa.  Pengesahan Hishammuddin itu sekali gus menafikan laporan sebelum ini yang menyebut seramai 50 orang ditahan di bawah akta berkenaan.   Menurut beliau, penahanan tersebut membabitkan sembilan orang warganegara asing dan seorang rakyat tempatan.   ‘‘Semua kegiatan terorisme yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa merupakan ancaman kepada negara.  ‘‘Sama ada mereka merancang melakukan di sini atau di luar negara, selagi (pengganas) berada dalam kawasan kita, ini menjadi bidang kuasa kita dan kita serius dalam menangani terorisme,” tegas beliau. 

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Dalam Negeri dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan.   Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negerinya, Datuk Seri Mahmood Adam; Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing anak Mersat dan Datuk Wira Abu Seman Yusof.   Beliau mengulas pendedahan peguam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Edmund Bon bahawa 50 orang, termasuk rakyat asing dan pelajar universiti tempatan ditahan Khamis lalu kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan terorisme.  Hishammuddin berkata, kementeriannya berhubung rapat dengan agensi antikeganasan antarabangsa dan kesemua yang ditahan itu adalah mereka yang dikehendaki.   Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut identiti mereka yang ditahan itu.   ‘‘Mereka yang ditahan itu baru tiba di negara ini, jadi ini bukan perkara yang telah bertapak lama di Malaysia.   ‘‘Kalau kita tak ambil tindakan cepat saya bimbang ia dapat mempengaruhi mana-mana pihak.   ‘‘Perkara ini perlu dikendalikan secara berhati-hati kerana ia merupakan ancaman yang serius kepada keselamatan negara dan kita akan melibatkan kerjasama dengan agensi antarabangsa,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 28/01/10

ISA Adalah Haram Disisi Islam. ISA Adalah Hukum Jahiliyyah

Nampaknya undang-undang haram ISA digunakan oleh kerajaan sekular hari ini untuk terus melakukan penangkapan dan tahanan tanpa bicara kepada golongan yang dikatakan sebagai pengganas. Inilah hakikat dunia sekular di mana golongan pemerintah menerapkan hukuman tanpa merujuk kepada Islam. Ya, keamanan adalah salah satu keperluan umum bagi rakyat yang wajib dipastikan jaminannya oleh pemerintah. Namun, dalam waktu yang sama,  pihak pemerintah juga wajib terikat dengan hukum syara’ dalam menjalankan sebarang bentuk undang-undang yang ingin diterapkan oleh mereka. Ini termasuklah persoalan menjaga keamanan. Janganlah kerana “alasan” ingin menghalang pengganas dan tunduk dengan arahan “pengganas nombor 1 dunia”  iaitu Amerika maka hukum syara’ diketepikan. Bukankah sebagai seorang muslim, apa yang kita harapkan adalah redha Allah SWT dan bukannya pujian dan sanjungan manusia? ( Lihat SN 186: Demokrasi: Sistem Kufur Yang Melahirkan ISA dan SN 174: ISA Haram Disisi Islam).