Islam Terus Menjadi Pilihan Utama Di Eropah

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita keIslaman Arnoud van Doorn. Beliau yang mengumumkan “penghijrahannya” itu melalui akaun Twitternya dengan menyatakan bahawa beliau sekarang sedang memulakan “‘Nieuwe start” dalam bahasa Belanda yang bermaksud “permulaan baru” dalam hidupnya. Sudah pastinya, ia merupakan berita gembira yang patut kita raikan sebagai menyambut saudara seakidah kita yang baru. Sebelum keIslamannya, dia merupakan seorang yang sangat anti Islam, malahan beliau adalah ahli parti Geert Wilders iaitu Parti Kebebasan – “Partij voor de Vrijheid (PVV)”, yang terkenal dengan sikap anti Islam mereka. Kebencian Geert Wilders kepada Islam banyak kali diterjemahkan melalui sikapnya yang secara terang-terangan menghina Islam serta menyokong pihak-pihak yang menghina Islam seperti pembikinan video “Innocence of Muslim”. Arnoud yang mengaku telah mendalami Islam sejak setahun lepas dengan mengikuti beberapa pengkajian, menghadiri program-program keIslaman serta sering melakukan diskusi dengan para penganut Islam. Yang pasti, keputusan yang beliau ambil merupakan sebahagian daripada keputusan daripada beribu-ribu penduduk Eropah yang lain yang telah memilih Islam sebagai pegangan baru hidup mereka. PengIslamannya ini bakal memberi satu impak yang besar di Belanda.

Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna. Ia bukan sahaja mengatur aspek beribadah kepada Sang Pencipta, tetapi ia turut mengatur urusan di antara individu dengan individu yang lain, serta mengatur urusan di antara seseorang individu dengan dirinya sendiri. Pengaturan yang merangkumi segenap spektrum ini menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan tidak dapat ditolak oleh akal yang waras. Malah ia adalah satu-satunya deen yang diiktiraf oleh Allah.

“Barangsiapa yang mencari agama (deen) selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” [TMQ Ali Imran (3) : 85]

Islam mewajibkan umatnya untuk memahami Islam serta berpegang dengan Islam melalui ikatan aqidah yang kuat. Ia haruslah dipegang melalui cara pembuktian tentang keEsaan Allah, pembuktian bahawa Al-Quran itu merupakan kalamullah dan lain-lain. Dengan cara ini, ia  akan menjadikan seseorang individu Muslim itu kuat pegangan aqidahnya dan bukannya sekadar memegang jawatan sebagai “Muslim Keturunan”.

Selain itu, tanggungjawab untuk berdakwah dengan menyeru manusia kepada Islam dan kebaikan  adalah juga satu kewajipan yang terbeban di atas bahu setiap umat Islam. Seruan ini merupakan seruan ke arah pelaksanaan Islam secara keseluruhan dan bukannya sekadar pengtauhidan kepada Allah semata-mata. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” [TMQ Al Baqarah (2): 208]

Pengakuan terhadap keEsaan Allah haruslah dibuktikan dengan perbuatan kita sebagai individu Muslim dan ia mesti dibuktikan melalui pelaksanaan hukum-hakam yang terkandung di dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Keimanan kepada Allah sebagai individu adalah sama nilainya dengan diterapkan segala perintah dan larangan Allah oleh negara serta ditegakkan agama Allah ini di muka bumi. Semoga pengIslaman saudara baru kita ini akan memberikan kebaikan untuk Islam di bumi Eropah dan seluruh dunia secara amnya insyaallah.
 
Sumber :
[1] Utusan Online, 07/03/13
 [2] New Muslim, 07/03/13