Isu Ponggal: Jangan Kompromi Soal Akidah Atas Nama Toleransi!

Isu sambutan Ponggal kali ini menjadi panas setelah tersebarnya surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaporkan melarang para pelajar Islam daripada menghadiri pesta tersebut. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam arahan Kementerian Pendidikan yang merujuk kepada garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam “mengharamkan” pesta tersebut ke atas pelajar Muslim.

Isu ini bertambah panas apabila ia ingin dibawa ke mesyuarat kabinet, yang kemudian mengheret menteri yang menjaga agama, Dr. Mujahid Yusof untuk campur tangan. Mujahid dengan nada yang kelihatan marah bercampur kecewa memutuskan bahawa surat Jakim telah disalahfahami dan pesta Ponggal “tidak haram” untuk disertai dengan syarat-syarat tertentu, menurutnya. Malah dengan nada yang lebih tegas menteri agama itu memberi amaran untuk mengambil tindakan kepada siapa sahaja penjawat awam yang mengharamkan pesta kaum Hindu tersebut. Kenyataan Mujahid tidaklah memeranjatkan, kerana beliau pernah berkata bahawa beliau adalah menteri semua agama. Jadi, semua agama dijaganya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat setiap permasalahan dalam konteks hukum syarak dan bukannya berdasarkan sensitiviti atau toleransi. Justeru, pesta Ponggal ini perlu dilihat berdasarkan hukum syarak, sama ada dibenarkan atau tidak untuk orang Islam menyambutnya, atau menghadirinya atau mengucap selamat padanya atau apa sahaja yang terkait dengannya. Sama seperti perayaan Deepavali, Thaipusam, Krismas, tahun baru Cina, Chap Goh Mei, pesta menuai, pesta tanglung, Gawai Dayak, Kaamatan dan sebagainya, semua ini wajib dinilai dari segi syarak, dan syarak semata-mata, samada seseorang Muslim itu boleh terlibat dengannya atau tidak.

Sebelum meletakkan hukum terlibat dalam pesta Ponggal, pertama-tamanya kita perlu memahami manath (fakta) atau realiti berhubung pesta ini terlebih dahulu. Tidak cukup dengan hanya menerima bulat-bulat maklumat tanpa memeriksanya terlebih dahulu.

Berdasarkan penelitian fakta yang tidak dinafikan, pesta Ponggal ini terkait secara langsung dengan kepercayaan penganut Hindu, dengan kata lain ia terkait dengan persoalan akidah. Hakikat ini dapat dilihat daripada latar belakang pesta ini yang boleh dilihat dari segi tujuan sambutan Ponggal itu sendiri. “Ponggal ialah nama sejenis masakan. Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi. Dalam pesta ini, nasi yang dimasak akan dipersembah kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan”. Beberapa portal yang membincangkan tentang pesta Ponggal melaporkan fakta yang sama, yang tidak dinafikan oleh orang yang merayakannya.

Inilah fakta tentang pesta Ponggal yang perlu difahami oleh umat Islam. Berdasarkan fakta ini, jelas bahawa pesta Ponggal mempunyai kaitan dengan kepercayaan atau akidah orang-orang kafir yang bercanggah dengan akidah Islam. Justeru, bagaimana mungkin seseorang Muslim itu boleh terlibat dengan satu upacara yang bercanggah dengan akidah Islam, walau apa sekalipun niat atau tujuannya? Akidah yang salah itu wajib ditinggalkan, bukannya diikuti. Akidah yang salah itu wajib dibetulkan, bukannya diraikan baik dengan menyertai pesta tersebut, mahupun sekadar mengucap selamat untuknya. Akidah Islam dan akidah kufur tidak boleh diharmoni atau dikompromikan sama sekali kerana hak dan batil itu tidak boleh bercampur.

Pesta orang-orang kafir yang terkait dengan kepercayaan mereka merupakan hadharah kufur yang haram untuk diambil oleh umat Islam dengan apa cara sekalipun. “Hadharah adalah sekumpulan mafahim (persepsi yang dianut) tentang kehidupan. Hadharah bersifat khas dan terkait dengan pandangan hidup sesuatu kaum. [Nidzamul Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani]. Hadharah yang wajib kita ambil hanyalah hadharah Islam semata-mata, yang datangnya dari akidah Islam. Sedangkan pesta Ponggal, secara faktanya jelas menunjukkan bahawa ia terkait dengan pandangan hidup dan kepercayaan penganut Hindu, yang jelas bertentangan dengan hadharah dan akidah Islam.

Dalam isu ini, tidak perlulah mana-mana Muslim mengambil sikap toleransi, apologetik (merasa bersalah) atau ingin menjaga hati atau atas dasar kompromi, lalu turut meraikan pesta yang bercanggah dengan Islam seperti pesta Ponggal ini. Apa yang perlu dilakukan oleh Muslim ialah untuk memberi kefahaman kepada penganut Hindu bahawa ada perkara-perkara yang dilarang dalam Islam untuk kita “bersama” mereka, tetapi ini bukan bermaksud kita memusuhi atau ingin bergaduh dengan mereka. Contohnya, Muslim dilarang berkahwin dengan Hindu, dilarang memakan sembelihan Hindu, dilarang untuk berpakaian seperti pakaian orang-orang Hindu, dan lain-lain, dan termasuklah Muslim dilarang untuk meraikan Deepavali, Thaipusam, Ponggal dan sebagainya.

Kita perlu faham bahawa soal keharmonian masyarakat majmuk bukan hanya terletak pada kebersamaan dalam pesta atau perayaan semata-mata. Dalam masa yang sama, kita wajib berkata benar, bukan berkompromi dengan kekufuran sehingga sanggup menggadaikan akidah. Sabda Rasulullah (saw),

قُلِ الْحَقَّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا

“Katakan kebenaran walaupun ia pahit” [HR Ahmad].

Ingatlah bahawa kita hidup untuk meraih redha Allah (swt), bukannya redha manusia, apatah lagi redha orang-orang kafir. Justeru, kita akan melakukan perkara yang Allah (swt) redha walaupun manusia tidak redha dengannya, dan kita akan meninggalkan apa sahaja yang Allah (swt) tidak redha, walaupun seluruh manusia meredhainya.

Ustaz Umar Hussein

Pimpinan Pusat HTM