JKDM pungut cukai terbanyak dalam sejarah
JKDM pungut cukai terbanyak dalam sejarah!
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat sejarah apabila memungut hasil berjumlah RM35.195 bilion tahun lepas, meningkat 5.8 peratus atau RM2.07 bilion berbanding tahun 2013, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad. Sebanyak 5,944 kes rampasan bernilai RM726 juta direkod tahun lepas, membabitkan cukai sebanyak RM437 juta.
Inilah realiti sebuah negara Kapitalis di mana kerajaan memungut atau menambah pendapatan negara hasil dari rampasan dan cukai, malah pendapatan dari cukai menyumbang kepada jumlah terbesar setiap tahun dengan pelbagai jenis cukai yang dikenakan.
Meraih kesenangan di atas kesengsaraan orang lain, inilah antara ‘tugas’ dan ciri utama negara Kapitalis. Mungkin kejayaan memungut hasil terbanyak dalam sejarah ini merupakan kegembiraan dan kejayaan buat JKDM. Namun, bagi pembayar cukai dan pihak yang barang-barangnya dirampas oleh Kastam, kesedihannya tidak terkata.
Sesungguhnya Islam mengharamkan cukai dengan nas yang nyata. Daripada Ad-Darimi, Ahmad dan Abu Ubaidah dari Uqbah bin Amir, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.”
Abu Muhammad mengatakan “yang dimaksudkan adalah asyar”. Asyar atau asyir adalah orang yang memungut 1/10 (10%) dari barang/komoditi yang dibawa dari luar negeri.
Quraiz bin Sulaiman juga berkata,
“Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada Abdullah bin Auf al-Qariyyi yang mengatakan, ‘Pergilah ke suatu rumah yang ada di Rafah yang dipanggil sebagai baitulmaks (rumah cukai), hancurkan rumah tersebut dan bawalah ke laut, campakkannya dan jangan ditinggalkan sedikit pun (sisanya).”
Cukai (maks) adalah harta yang diambil dari komoditi yang melewati perbatasan negara, tidak kira sama ada keluar atau masuk, menerusi sempadan negara. Cukai dari komoditi tersebut adalah berupa wang yang dipungut dari para pedagang di pasar-pasar atau item tertentu yang diambil oleh para pegawai negara dari penjualan komoditi-komoditi tertentu atau ketika komoditi-komoditi tersebut memasuki kota. Rumah (bangunan) yang didirikan di perbatasan negara tersebut dipanggil baitulmaks (rumah cukai).
Cukai yang dibenarkan untuk dipungut hanyalah dari pedagang kafir/negara harbi berdasarkan perlakuan yang sama (reciprocity) jika mereka mengenakan cukai kepada pedagang Muslim warganegara Daulah Islam yang bermuamalah dengan mereka. Hal ini sebagaimana dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Selain dari ini, semua bentuk pungutan cukai adalah haram dan ia termasuk dalam kategori merampas harta orang lain tanpa alasan yang syarie dan tanpa seizinnyaatau dengan kata lain mengambil harta manusia dengan jalan yang batil. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil” [TMQ an-Nisa’ (4):29].
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui” [TMQ al Baqarah (2):188].
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak halal mengambil harta seorang Muslim kecuali dengan kerelaan dirinya” [HR Abu Dawud dan Daruquthni].
Sabda baginda yang lain,
“Sungguh akan datang kepada manusia suatu masa, iaitu seseorang tidak lagi peduli dari mana dia mendapatkan harta, dari jalan halal ataukah haram” [HR Bukhari]
Oleh yang demikian, pemerintah dan pegawai-pegawai kastam mesti ingat bahawa apa jua cukai dan harta yang dikutip dengan jalan batil, ini merupakan sebuah kezaliman dan keharaman. Sesungguhnya pemerintah adalah pengurus (ra’i) dan pelayan (khadam) kepada rakyat dan memerintah atas amanah Allah, bukannya pemeras, penindas dan penzalim rakyat. Sebarang kezaliman akan mengheret pelakunya ke neraka. Jadi, selamatkanlah diri anda darinya dengan meninggalkan segala perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.