Judi Dan Ceti Haram Menjebak Generasi Millenia

Berita:

Pada bulan lalu dilaporkan bahawa sebanyak 280 aduan diterima oleh Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) sejak sebulan yang lalu melibatkan masalah melibatkan pinjaman ceti haram. Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani dipetik berkata lebih menyedihkan lagi, bukan sahaja golongan dewasa, malah peminjam juga terdiri dari kalangan remaja sekolah. Antara aduan terbaharu yang diterima membabitkan seorang pelajar yang telah melakukan beberapa pinjaman daripada “Ah Long” sebanyak sebanyak RM1,000 yang akhirnya mencecah sehingga RM5,000 termasuk faedah pinjaman. Beliau juga dipetik berkomentar bahawa kemungkinan hal ini disebabkan oleh aktiviti perjudian secara online yang semakin mudah dan bebas menjadi antara punca golongan muda berhutang. (Sinar Harian, 4/7/2021)


Komentar:

Pinjaman ceti haram bukan satu masalah yang baru muncul di negara kita. Kisah-kisah rumah disimbah cat merah dan juga dibaling bom petrol adalah amat sinonim dengan perbuatan ceti haram ataupun juga dikenali dengan gelaran “Ah Long”. Perbuatan mengancam dan mengugut sedemikian dilakukan terhadap peminjam yang tidak dapat melunaskan pinjaman mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Sungguh menghairankan bilamana banyak peristiwa ini disajikan kepada masyarakat kita sebagai iktibar, namun seolah-olahnya rakyat Malaysia tidak serik untuk berurusan dengan ceti haram.

Justeru jebakan generasi milenia ke kancah perjudian dan pinjaman ribawi ini wajar diberi perhatian serius dan menjadi kebimbangan utama kita. Ini kerana, selain mengundang bahaya fizikal, dua aktiviti maksiat ini merupakan aktiviti yang sudah jelas diharamkan oleh Allah swt. Ia menimbulkan pelbagai kerosakan sosial dalam masyarakat jika dibiarkan begitu saja.

Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah berkomentar terkait keharaman aktiviti judi dan ribawi sebagai dua perbuatan yang mengundang kerosakan dalam masyarakat. Dalam Majmu’ al-Fatawa (32/337) dipetik: “Sesungguhnya kerosakan maisir (judi) lebih besar daripada kerosakan riba. Kerana kerosakan maisir mencakupi dua bentuk kerosakan: kerosakan (kerana) memakan harta dengan cara haram dan kerosakan (kerana) permainan yang haram. Kerana perjudian itu menghalang seseorang dari mengingat Allah dan dari solat, serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Oleh kerana itu maisir (judi) diharamkan sebelum pengharaman riba”.

Kita telah menyaksikan dalam sistem demokrasi kapitalis hari ini aktiviti judi dan pinjaman ribawi tular baik di alam nyata mahupun di alam maya. Kewujudan ceti haram memperparahkan lagi keadaan bila mana mereka giat menyasarkan golongan miskin dan sederhana untuk terjebak dalam pinjaman ribawi. Mereka mengambil kesempatan kecanggihan dunia digital untuk memasang pelbagai `jerat’ kepada orang awam melalui pelbagai strategi sesuai dengan trend semasa. (Harian Metro, 8/7/2019)

Bahkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada Disember 2019 sehinggalah ke hari ini, ianya telah mengubah rutin harian setiap individu masyarakat termasuklah generasi milenia. Pelbagai norma baharu sudah tidak menjadi asing kepada kita. Antara norma baharu bagi generasi milenia dari kalangan pelajar itu sendiri adalah mereka banyak menghabiskan masa dengan melayari internet baik untuk tujuan pembelajaran mahupun mengisi masa lapang. Cabaran  dunia digital oleh generasi ini adalah kemampuan mengakses dan beraktiviti online tanpa kawalan dan pemantauan. Hal ini termasuklah akses kepada aktiviti judi online yang bermunculan melalui pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk games (permainan online), iklan, tawaran scam (penipuan) dan sebagainya.

Mudahnya akses kepada sumber pengiklanan dan lain-lain perangkap oleh ceti haram ini sebenarnya disebabkan kelemahan industri digital itu sendiri. Industri digital menawarkan internet tanpa sempadan menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengeksploitasi kemudahan jaringan internet untuk menyebarkan kerosakan, misalnya perjudian dan pinjaman ribawi. Dua aktiviti haram ini mendominasi pelbagai medium pengiklanan yang terdapat dipelbagai platform. Permasalahan seumpama ini bukanlah sekadar beban tanggungjawab individu yang boleh dituding jari kepada ibubapa atau pelajar itu sahaja. Masalah ini perlu dilihat secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak. Termasuklah pihak pembuat polisi yakni diperingkat negara, yang mana kementerian berkaitan dan agensi di bawahnya, misalnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu  mengerahkan segenap upaya dalam membendung penyalahgunaan internet dan platform alam maya untuk kegiatan-kegiatan maksiat dan aktiviti-aktiviti haram. Hal ini sepatutnya boleh dilaksanakan dengan melakukan operasi secara berkala menghapuskan segala bentuk aktiviti haram perjudian dan ceti, atau mem`block’ sebarang kemasukan aplikasi mahupun permainan berasaskan perjudian.

Selain itu, antara faktor generasi milenia rentan terjebak dalam aktiviti haram seumpama ini adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang syariat Islam itu sendiri. Sehinggakan masih ramai yang tidak dapat membezakan antara halal-haram disisi syarak dengan versi `halal-haram’atas faktor perundangan yang diterapkan oleh pemerintah sekular kapitalis. Hal ini membuatkan mereka mudah terjebak dengan pinjaman ribawi mahupun permainan berunsur judi kerana tidak faham secara hukum hakamnya, walaupun ada kesedaran bahawa hal itu salah disisi perundangan negara. Ini jelas menunjukkan kepincangan cara berifikir dikalangan remaja yang tidak meletakkan kepentingan agama berbanding perkara lain dalam bertindak. Kepincangan ini semestinya tidak lain dan tidak bukan menuntut peranan negara untuk menerapkan sistem pendidikan berasaskan akidah Islam yang akan menekankan aspek akidah dan penguasaan tsaqafah Islam terhadap generasi milenia sejak dari awal usia. Sinergi antara sistem pendidikan berasaskan Islam yang didukung dengan polisi negara yang mengawal kepenggunaan media online berdasarkan perspektif syariahlah yang akan menjamin dan melindungi generasi milenia dari terjebak ke kancah  perjudian dan ceti haram yang tular di alam maya. Hal ini semestinya mampu direalisasikan sekiranya negara sendiri menjadikan ideologi Islam sebagai asas kepada setiap dasar-dasar negara yang dirangka. Justeru, perjudian atau pinjaman ribawi baik yang haram atau halal (atas nilai perundangan sekular pada hari ini) mampu dihapuskan dan dicegah secara tuntas.

Perlu diingat bahawa  golongan milenia dari kalangan pelajar sekolah lebih suka mengeksplorasi sesuatu yang baru dan mencabar minda mereka. Justeru, panduan yang tepat perlu diwujudkan sebagai rujukan mereka supaya tetap menjadi insan yang berguna serta mampu membuat keputusan bijak dalam bertindak, termasuklah memilih sesuatu berdasarkan pertimbangan syarak. Hal ini penting agar generasi milenia kita tidak menjadi korban kepada segala macam kemungkaran yang berleluasa pada hari ini. Kita hendaklah mempersiapkan generasi muslim dengan tsaqafah Islam yang benar agar mereka memiliki pola fikir dan pola sikap Islami yang juga benar. Seterusnya mampu meneruskan perjuangan ummah menegakkan syariat Islam kaffah, dan menolak segala bentuk kebatilan yang sedang berleluasa.

Dr Ainul Amali

(Lajnah I’lamiyyah MHTM)

Sumber berita:

https://www.sinarharian.com.my/article/148030/EDISI/Rakyat-pelajar-di-Kelantan-terjebak-ceti-haram

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/07/473114/ceti-haram-ubah-strategi