Kapitalisme Gagal Melahirkan Insan Yang Bertakwa Di Bulan Ramadhan

Pelajar IPT Dirogol Dalam Rumah Kosong
KUALA KANGSAR
– Seorang pelajar sebuah istitusi pengajian tinggi (IPT) di sini dirogol teman lelakinya, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suspek berusia 48 tahun itu menggunakan helah mengajak mangsa keluar bersiar-siar di sekitar pekan Kuala Kangsar sebelum berhenti di sebuah rumah kosong bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad, mangsa bersetuju untuk keluar dengan suspek setelah lelaki tersebut menghubungi mangsa dan mengajaknya bersiar-siar.

Suspek membawa pengadu keluar berjalan-jalan di pekan sebelum mereka tiba di sebuah rumah kosong. Malangnya mangsa tidak tahu lokasi rumah berkenaan.

“Lelaki tersebut kemudian mengajak mangsa melakukan hubungan seks. Gadis itu dalam keadaan terpaksa telah melakukan hubungan seks dengan suspek,” katanya.

Abdul Gaffar berkata, suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah selepas melakukan kegiatan tersebut.

Menurutnya, mangsa membuat laporan mengatakan dia dirogol di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar pada Ahad lepas.

Abdul Gaffar berkata, suspek yang juga kakitangan IPT berkenaan menyerah diri di IPD Kuala Kangsar pada hari sama mangsa membuat laporan polis.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta hukuman sebat.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/pelajar-ipt-dirogol-dalam-rumah-kosong-1.183488


Kapitalisme Gagal Melahirkan Insan Bertakwa Di Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan yang mulia, yang penuh dengan keberkatan ini sepatutnya dijadikan titik tolak untuk umat Islam melakukan penyucian jiwa (tazkiyatunnafs) melalui ibadah khusus seperti solat, puasa, menunaikan zakat dan kewajipan lain seperti melazimi majlis-majlis ilmu dan program-program keagamaan untuk mendekatkan diri pada Allah (taqarrub ilallah).  Alangkah malangnya apabila di bulan mulia ini ada orang Islam yang tidak memanfaatkan peluang untuk merebut ganjaran hebat dan pahala berlipat ganda atas ibadah wajib dan sunat, sebaliknya tidak segan silu melakukan maksiat. Nauzubillahi min zalik. Amat menyedihkan kerana sebahagian Muslim yang tidak terjebak dalam maksiat seperti kes rogol ini sebaliknya hanya memberi fokus kepada ibadah khusus semata-mata, seolah-olah Islam hanya diturunkan untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah (hablum minallah) dan dirinya sahaja.

Semua ini adalah natijah dari sistem Sekular-Kapitalis yang bermaharajalela, yang mana lahir darinya, cara hidup bercorak ‘happy hours’ sepanjang masa sehingga kebanyakan dari kaum Muslim sendiri hanyut dan hanya fokus pada 3F – food (makanan), fun (hiburan), fashion (pakaian, cara hidup) yang jauh dari jalan yang diredhai. Sistem Kapitalis yang lahir dari ideologi sekular ini memisahkan agama dari kehidupan (fasludeena anil hayah) sehingga menyebabkan agama dianggap hanya sebatas ibadah ruhiyah (spiritual) semata-mata yang menyebabkan sebahagian kaum Muslim hanya fokus kepada ibadah puasa, solat dan zakat, dan kurang memberi perhatian terhadap gejala sosial seperti kes rogol.

Ini juga menyebabkan tidak ramai yang ingin tahu adakah hukuman kepada perogol jika sabit kesalahan itu adalah hukuman setimpal yang akan bertindak sebagai zawajir (penebus) dan jawabir (pencegah) mengikut syariat Allah. Dalam kes ini, perogol berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun serta hukuman sebat jika sabit kesalahan, yang mana ia adalah bertentangan dengan kesalahan zina dibawah hukuman hudud yang mana pesalah yang sabit kesalahan mereka dijatuhi hukuman rejam sampai mati jika telah atau pernah berkahwin (muhsan), manakala yang belum berkahwin (ghairu muhsan) dijatuhi hukuman seratus sebatan. Penzina lelaki dan wanita sebatlah masing-masing keduanya seratus kali sebatan [TMQ An Nur (24:2].

Selagi sistem pemerintahan yang dilaksanakan tidak menjadikan Islam sebagai satu cara hidup untuk mengatur seluruh aktiviti manusia dalam semua aspek kehidupan seperti sistem pendidikan, sistem perundangan, sistem politik, sistem ekonomi, sistem sosial, dsb, selagi itulah sistem kufur ini akan terus melahirkan generasi yang sangat jauh dari taqwa. Maka, keujudan sebuah negara (Islam) yang akan melaksanakan Islam dalam seluruh aspek kehidupan bakal memastikan semua pelaku jenayah dihukumi sesuai dengan syariat Allah. Pada dalam masa yang sama seluruh kamu Muslim diberikan pendidikan Islam yang sewajarnya agar taqwa menjadi standard perbuatan (misqas al-amal), manakala pemimpinnya iaitu imam/khalifah akan meluruskan manusia dengan Al Quran dan Sunnah sebagaimana kata-kata Saidina Uthman bin Affan radiallahu anhu: “Sulthan (kekuasaan) itu akan meluruskan manusia yang tidak dapat diluruskan dengan Al Quran”.
Wallahu alam.