Kata GST haram, salah?
Mungkin ramai penceramah yang kena berhati-hati selepas ini jika memberi ceramah berhubung sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) atau dalam bahasa Inggerisnya Goods and Services Tax (GST) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula April ini.
Bernama melaporkan yang Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jaharatelah membuat laporan polis terhadap seorang guru agama, yang didakwa menyatakan GST adalah haram bagi orang Islam ketika menyampaikan kuliahnya di Masjid Bagan Lebai Tahir di sini pada Jumaat lepas.
Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar berkata laporan polis itu dibuat di Balai Polis Teluk Air Tawar kerana kenyataan guru agama berkenaan pada kuliah Maghrib itu boleh menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan GST. “Kuliah yang disampaikan ustaz itu bercanggah dengan penjelasan Hukum Islam mengenai GST yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai pelaksanaan GST di Malaysia,” katanya.
Jahara turut mendesak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat syarahan ustaz berkenaan dalam kuliah Maghrib itu.
Apa sudah jadi dengan demokrasi yang pemimpin ini perjuangkan? Bukankah demokrasi yang mereka perjuangkan itu membenarkan kebebasan bersuara dan berpendapat? Adakah mengeluarkan pendapat bahawa GST itu haram menjadi satu kesalahan jenayah sehingga perlu dibuat laporan polis? Adakah berbeza pendapat dengan Jakim menjadi satu kesalahan sehingga perlu dibuat laporan polis dan disiasat?
Kerana itulah demokrasi yang mereka perjuangkan itu sebenarnya satu hipokrasi sahaja. Kebebasan yang ada dalam demokrasi hanyalah kebebasan untuk memuji dan mengampu pemerintah. Yang ini dibenarkan. Namun jika menggunakan hak kebebasan di bawah demokrasi untuk mengkritik dan berlawanan pendapat dengan pemerintah, maka hal ini akan menjadi satu kesalahan jenayah. Inilah demokrasi yang mereka agungkan sangat.
Sesungguhnya demokrasi adalah sistem kufur yang berasal dari Barat dan haram untuk diambil, diterapkan dan disebarluaskan oleh umat Islam. Dalam demokrasi, segala yang diharamkan oleh Islam menjadi halal manakala segala yang halal dalam Islam menjadi haram. Demokrasi mengajar manusia bahawa kedaulatan ada di tangan rakyat dan rakyatlah (melalui wakil rakyat) berhak membuat undang-undang.
Dalam demokrasi, halal-haram berada di tangan wakil rakyat, walhal halal-haram adalah perbincangan mengenai hukum Islam yang di tangan Allah dan RasulNya. Jadi, jika ada kekeliruan atau perbezaan pendapat dalam masalah hukum Islam, maka wajib dikembalikan kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana firman Allah SWT,
“…kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah)”[TMQ an-Nisa’ (4):59].
Berdasarkan nas yang jelas, cukai (selain usyur, kharaj dan jizyah) adalah haram dalam Islam. GST adalah sebahagian daripada cukai dengan mengambil harta rakyat secara paksa (tanpa kerelaan), tetapi diluluskan oleh undang-undang. Cukai merupakan senjata utama negara demokrasi-kapitalis untuk mengaut pendapatan negara dan keuntungan dengan cara menindas rakyat [sila rujuk di sini untuk pembacaan lanjut mengenai hukum cukai]
Dalam demokrasi, cukai menjadi halal kerana dibenarkan (diluluskan oleh wakil rakyat), malah dipaksakan oleh pemerintah ke atas rakyat. Begitu juga arak dan judi yang jelas-jelas haram dalam Islam, tetapi dibenarkan dalam demokrasi kerana pemerintah membenarkan. Riba, merupakan dosa besar dan haram secara qath’ie dalam Islam, namun sah-sah sahaja dalam demokrasi, kerana dibenarkan oleh pemerintah.
Apakah mungkin selepas ini siapa yang mengatakan riba itu haram, judi itu haram, konsert itu haram, demokrasi itu haram, semuanya akan dibuat laporan polis ke atas mereka.Apakah ini cara berfikir pemimpin Malaysia? Apa nak jadi dengan Malaysia hari ini agaknya?
Sumber : Bernama