Kaya Kerana Negara Menerapkan Kapitalis
Apa yang pasti, sebahagian besar kekayaan negara hanya dikuasai oleh golongan tertentu dan bakinya dikongsi oleh rakyat biasa. Sebilangan kecil daripada golongan yang kaya itu dijulang sebagai tokoh perniagaan yang berjaya dan menjadi modal kepada alat propaganda kerajaan yang menjadikan kejayaan mereka itu sebagai bukti seolah-olah sistem yang dilaksanakan adalah benar dan berjaya. Padahal, secara zahirnya sesiapa yang rapat dengan pemerintah, merekalah yang biasanya akan mendapat peluang-peluang perniagaan utama manakala yang lain hanya mendapat peluang-peluang yang kecil dan sederhana. Penguasaan kekayaan oleh segelintir kelompok tertentu sahaja bertentangan dengan prinsip umum pengaturan modal di dalam Islam, firman Allah:
“Supaya harta itu janganlah hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu
”[TMQ Al Hasyr(59):7]
Di dalam Islam, pemilikan harta adalah suatu yang mubah (harus). Segala pemerolehan harta yang ada akan pasti terikat dengan hukum yang berkaitan dengan pemerolehan serta pengembangan harta di dalam Islam. Islam telah menetapkan beberapa kaedah yang dibenarkan untuk seseorang memperolehi harta. Dalam masa yang sama, Islam turut mengharamkan beberapa cara pemerolehan harta seperti menjalankan aktiviti perjudian, penipuan, rasuah, monopoli yang pelbagai bentuk dan sebagainya.
Jika diterapkan seluruh sistem ekonomi tersebut, nescaya semua pihak mempunyai hak dan peluang yang sama untuk mendapatkan kekayaan. Ini adalah kerana, di dalam Islam, setelah segala keperluan asas seperti makan, pakaian dan tempat tinggal telah dijamin dan dipenuhi, bantuan dan peluang-peluang akan ditawarkan kepada mana-mana individu di kalangan rakyat di dalam negara untuk meningkatkan keupayaan diri untuk berjaya di dalam pelbagai bidang yang menjadi keutamaan masing-masing. Kejayaan sesebuah sistem yang dilaksanakan bukan sekadar merujuk kepada jumlah tokoh korporat yang berjaya mencapai jumlah kekayaan tertentu tetapi ia sebenarnya berdasarkan keredhaan Allah SWT dan memenuhi fitrah manusia. Sejarah Tamadun Islam yang panjang telah membuktikan bagaimana sistem ekonomi Islam dapat memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada umat dan ianya tidak dapat diterapkan kecuali terlebih dahulu ditegakkan Sistem Khilafah.
Sumber : Utusan Online (terkini), 18/02/2012, Utusan Online (terkini), 18/02/2012,