Ke mana hilangnya persaudaraan Islam?
Berita:
Empat peniaga buah-buahan warga Indonesia ditahan dalam operasi itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi berkenaan dilancarkan selepas MBM menerima aduan peniaga tempatan berhubung kegiatan warga asing terbabit sehingga menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka.
Ini didedahkan Datuk Bandar Miri, Adam Yii, selepas mengikuti operasi khas dilaksanakan Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi mengekang aktiviti berkenaan.
Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/378482/warga-asing-berniaga-jejas-peniaga-tempatan
Komentar:
Tidak dinafikan bahawa Malaysia menjadi tempat ramai warga asing mencari sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan diri sendiri serta keluarga yang tinggal di negara asal mereka. Juga tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan warga asing dari Indonesia dan Bangladesh beragama Islam. Mereka sanggup berjauhan dengan keluarga mereka semata-mata mencari peluang pekerjaan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Namun, yang menyedihkan ialah mereka sering dilayan seperti musuh dan sering dipandang hina di sisi masyarakat di negara ini sedangkan mereka bersyahadah dengan syahadah yang sama dengan kita, membaca kitab yang sama dengan kita dan menyembah Allah yang sama dengan kita semua di Malaysia. Ketahuilah, Allah SWT dan RasulNya melarang umat Islam saling membenci dan mendengki, sebaliknya umat Islam wajib sentiasa memelihara hubungan persaudaraan Islam seperti sabda Rasulullah SAW:
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
“Janganlah kalian saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara” [HR Bukhari].
Perbezaaan kewarganegaraan yang wujud dalam sistem sekular hari ini tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi umat Islam untuk sentiasa mencintai sesama Muslim. Menjadi kewajipan bagi seorang Muslim untuk membantu seorang Muslim yang lain terutamanya ketika berhadapan dengan masalah. Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling mencintai, saling mengasihi, dan saling menyayangi, seperti satu tubuh. Apabila satu organ tubuh merasa sakit, akan menjalar kepada semua organ tubuh, yaitu tidak dapat tidur dan merasa demam” [HR Muslim].
Oleh itu, tidak wajar bagi umat Islam untuk berasa terancam sehingga menganggap muslim lain sebagai penjejas ‘periuk nasi’ kerana rezeki setiap muslim telah dijamin oleh Allah Taala.
Firman Allah SWT:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
“Tidak ada suatu makhluk pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin oleh Allah SWT rezekinya.” [TMQ Hud 11: 6]
Jaminan rezeki daripada Allah SWT pada mahklukNya merupakan jaminan yang pasti lagi benar untuk menunjukkan betapa Maha Kaya Allah SWT yang memiliki segala sifat kebesaran-Nya. Firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
“.. Allah-lah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya lah kamu akan dikembalikan” [TMQ al-Baqarah (2): 245].
Abu Athiyah
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia