Kegagalan dan Kerosakan Demokrasi (Siri 1)
Demokrasi dalam maknanya yang hakiki sebenarnya belum pernah diterapkan di negara-negara asal demokrasi itu sendiri, dan amalan demokrasi itu sesungguhnya hanya didasarkan pada pendustaan dan penyesatan. Terlalu banyak bukti tentang kegagalan dan kerosakan demokrasi, serta pelbagai musibah dan malapetaka yang telah menimpa dunia akibat penerapan sistem demokrasi, termasuk kerosakan masyarakat yang menerapkan demokrasi.
Demokrasi dalam maknanya yang asli adalah idea khayal yang tidak mungkin dipraktikkan. Demokrasi asli ini belum dan tidak akan pernah terwujud sampai bila pun. Ini kerana, berkumpulnya seluruh rakyat di satu tempat secara terus menerus untuk memberikan pertimbangan dalam pelbagai urusan, adalah hal yang mustahil. Demikian pula keterlibatan seluruh rakyat untuk menyelenggarakan pemerintahan dan urus tadbir mereka sendiri, juga hal yang mustahil.
Oleh kerana itu, para penggagas demokrasi lalu mengarang suatu manipulasi terhadap idea demokrasi dan cuba menakwilkannya, serta mengada-adakan apa yang disebut dengan “Ketua Negara”, “Pemerintah” dan “Dewan Perwakilan”.
Meskipun demikian, pengertian demokrasi yang telah ditakwilkan ini pun tetap tidak sesuai dengan fakta yang ada dan tidak pernah pula terwujud dalam kenyataan.
Dakwaan bahawa ketua negara, pemerintah dan anggota parlimen dipilih berdasarkan suara majoriti rakyat; bahawa dewan perwakilan adalah jelmaan politik kepada kehendak umum majoriti rakyat; dan bahawa dewan tersebut mewakili majoriti rakyat, semuanya adalah dakwaan yang sangat menipu daripada fakta yang sebenar.
Ini kerana, anggota parlimen sesungguhnya hanya dipilih sebagai wakil daripada minoriti rakyat – bukannya majoriti – berdasarkan fakta bahawa kedudukan seseorang ahli parlimen itu sebenarnya dicalonkan oleh parti (kecuali seorang dua ahli parlimen bebas yang mencalonkan diri sendiri). Dengan demikian, calon yang meraih suara majoriti para pemilih (yang menang dalam pilihan raya) di suatu tempat sebenarnya bukan mewakili rakyat, tetapi mewakili parti. Rakyat hanya pergi mengundi calon berkenaan, yang malah mungkin tidak mereka kenali pun atau tidak pernah mereka temui selama ini. Konsekuensinya ialah para wakil yang menang, sebenarnya hanya merupakan wakil parti dan pergi ke parlimen untuk mewakili partinya, bukan mewakili rakyat. Maka mereka menjadi orang-orang yang mendapat kepercayaan daripada parti, bukan orang-orang yang mendapat kepercayaan daripada majoriti rakyat, jauh sekali untuk menjadi wakil rakyat.
Demikian juga dengan ketua negara, baik yang dipilih oleh rakyat secara langsung mahupun oleh para anggota parlimen, sebenarnya juga tidak dipilih berdasarkan suara majoriti rakyat, tetapi berdasarkan suara minoriti, dengan maksud dia sebenarnya dipilih daripada kalangan ahli partinya sahaja, yang telah memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya.
Tambahan lagi, para ketua negara dan anggota parlimen di negara-negara asal demokrasi, seperti Amerika Syarikat dan Britain, sebenarnya mewakili kehendak kaum kapitalis – iaitu para konglomerat dan orang-orang kaya – dan tidak mewakili kehendak rakyat ataupun majoriti rakyat. Hal ini kerana para kapitalis raksasa itulah yang sebenarnya mendudukkan mereka ke pelbagai kerusi pemerintahan dan lembaga-lembaga perwakilan, dengan tujuan untuk merealisasikan kepentingan para kapitalis itu. Kaum kapitalis tersebut telah membiayai proses pemilihan presiden dan anggota parlimen, sehingga mereka memiliki pengaruh yang kuat atas presiden dan anggota parlimen. Fakta ini sudah sedia maklum di Amerika Syarikat khususnya.
Sementara di Britain, yang berkuasa adalah orang-orang dari parti Konservatif. Parti Konservatif ini juga mewakili para kapitalis raksasa, iaitu para konglomerat, para usahawan dan pemilik tanah, serta golongan bangsawan yang aristokrat. Parti Buruh tidak dapat menduduki pemerintahan, kecuali terdapat keadaan politik yang membolehkan tersingkirnya parti Konservatif daripada pemerintahan. Oleh kerana itu, para penguasa dan anggota parlimen di Amerika Syarikat dan Britain sebenarnya hanya mewakili para kapitalis, tidak mewakili kehendak rakyat ataupun kehendak majoriti rakyat.
Berdasarkan fakta ini, maka kenyataan bahawa parlimen di negeri-negeri demokrasi adalah wakil daripada suara majoriti, merupakan kenyataan yang dusta dan menyesatkan. Demikian pula kenyataan bahawa para penguasa dipilih oleh majoriti rakyat dan mengambil kekuasaan mereka daripada rakyat, juga merupakan dusta lagi menyesatkan!
Di samping itu, peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh parlimen-parlimen tersebut, serta polisi-polisi yang diambil oleh negara-negara tersebut, diputuskan dengan pertimbangan: bahawa kepentingan para kapitalis mesti lebih diutamakan berbanding kepentingan rakyat atau majoriti rakyat.
Kemudian kenyataan bahawa penguasa/presiden bertanggung jawab kepada parlimen yang merupakan penjelmaan kehendak umum rakyat, dan bahawa keputusan-keputusan yang penting tidak dapat diambil kecuali dengan persetujuan majoriti anggota parlimen, tidaklah sesuai dengan hakikat dan kenyataan yang ada. Sir Anthony Eden (bekas PM Britain), misalnya, telah mengumumkan Perang Suez terhadap Mesir tanpa memberi tahu baik kepada parlimen mahupun kepada para menteri yang memiliki autoriti dalam pemerintahannya. Hanya dua atau tiga orang menteri sahaja yang dimaklumkan. John Foster Dulles (bekas Setiausaha Negara AS) pada saat Perang Suez telah diminta oleh Kongres untuk menyerahkan laporan mengenai Terusan Suez dan menjelaskan sebab-sebab pembatalan usulan pembiayaannya. Namun dia menolak mentah-mentah untuk menyerahkan laporan tersebut kepada Kongres. Sementara itu Charles de Gaulle (bekas Jeneral Perancis) telah mengambil keputusan-keputusan tanpa diketahui para menterinya. Raja Hussein (Jordan) pun telah mengambil keputusan-keputusan yang penting dan berbahaya tanpa diketahui oleh para menteri atau anggota parlimen.
Oleh itu, kenyataan bahawa parlimen-parlimen di negeri-negeri demokrasi mewakili pendapat majoriti, dan bahawa para penguasa dipilih berdasarkan suara majoriti serta menjalankan pemerintahan menurut peraturan yang ditetapkan dan dikehendaki oleh majoriti, ternyata menyalahi realiti dan kenyataan yang sebenarnya. Kenyataan itu hanya dusta dan menyesatkan!
Itulah hakikat apa yang berlaku di negeri-negeri asal usul demokrasi. Adapun parlimen-parlimen di dunia Islam, keadaannya lebih buruk lagi. Parlimen-parlimen tersebut tidak lebih daripada sekadar istilah yang tidak ada faktanya. Sebab, tidak ada satu parlimen pun di dunia Islam yang ahlinya berani mengkritik atau menentang pemerintah daripada kalangan partinya, atau menentang sistem pemerintahannya. Parlimen Jordan misalnya (suatu ketika dahulu) – yang dipilih dengan slogan “Mengembalikan Demokrasi dan Mewujudkan Kebebasan” – ternyata tidak berani mengkritik Raja Hussein, atau mengkritik rejim pemerintahannya. Padahal semua anggota parlimen tahu bahawa penyebab krisis dan kemerosotan ekonomi yang terjadi di Jordan tidak lain adalah kerana kejahatan rejim keluarga kerajaan yang telah mencuri harta kekayaan negara. Mereka hanya berani mengkritik Zaid Rifa’i dan beberapa menteri. Padahal mereka tahu bahawa Zaid Rifa’i dan para menteri itu hanyalah pegawai bawahan, yang tidak akan berani mengambil satu tindakan pun tanpa mendapat izin dan restu daripada Raja Hussein.
Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, undang-undang yang ada umumnya dibuat oleh pemerintah, yang dimulai dalam bentuk rang undang-undang. Kemudian rang undang-undang tersebut dibentangkan ke parlimen, lalu dibahaskan oleh para anggota parlimen yang akan memberikan pendapat masing-masing, lalu kemudian menyetujui atau menolaknya. Padahal faktanya berapa ramai daripada anggota parlimen yang sebenarnya tidak memahami isi kandungan undang-undang tersebut sedikit pun, sebab mereka bukan ahlinya.
Oleh kerana itu, kenyataan bahawa peraturan yang ditetapkan oleh parlimen-parlimen di negeri-negeri demokrasi merupakan manifestasi kehendak umum rakyat, dan bahawa kehendak umum itu mewakili kedaulatan rakyat, adalah kenyataan yang bertentangan dengan hakikat dan fakta yang sebenar.
Cacat yang menonjol dalam sistem demokrasi – yang berkaitan dengan pemerintahan dan kabinet – antara lain ialah bila dalam suatu negeri demokrasi tidak terdapat parti-parti politik besar – yang dapat membentuk majoriti di parlimen dan menyusun kabinetnya sendiri – maka pemerintahan negeri tersebut akan selalu tidak stabil dan kabinetnya akan terus digoncang dengan tekanan krisis-krisis politik yang silih berganti. Hal ini terjadi kerana pemerintah negeri tersebut sukar mendapatkan kepercayaan majoriti ahli parlimennya, sehingga keadaan ini akan memaksa pemerintah untuk meletakkan jawatan. Kadang-kadang selama berbulan-bulan sang presiden tidak mampu membentuk kabinetnya yang baru sehingga pemerintahan menjadi lumpuh atau nyaris tidak berfungsi. Kadang-kadang pula presiden terpaksa membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya yang baru, dengan tujuan mengubah keseimbangan kekuatan politik agar dia dapat menyusun kabinetnya yang baru.
Krisis-krisis tersebut terjadi berulang kali sehingga pemerintahan selalu tidak stabil dan aktiviti politiknya pun terus goyah dan nyaris tidak terurus. Keadaan seperti ini pernah terjadi di Itali, Greek dan negeri-negeri demokrasi yang lain, yang memiliki banyak parti politik sementara tidak ada satu parti politik besar yang mampu mendapatkan majoriti mutlak.
Dalam keadaan seperti itu, tawar menawar selalu terjadi di antara parti-parti tersebut, sehingga sering kali terjadi parti-parti kecil dapat menekan parti-parti lain – yang mengajak untuk berkoalisi bagi membentuk kabinet – dengan cara mengajukan syarat-syarat yang sulit dalam rangka mencapai kepentingan peribadinya. Dengan demikian, parti-parti kecil – yang hanya mewakili minoriti rakyat itu – dapat mengendalikan parti lain dan menekan kegiatan politik negeri tersebut termasuk penetapan polisi-polisi kabinetnya.
Bersambung…