Kelantan larang bonceng motosikal dengan bukan mahram

bonceng-motorAkhbar tempatan melaporkan pada 5 Mac lalu mengenai ketetapan kerajaan negeri Kelantan yang bakal menguatkuasakan peraturan melarang rakyat negeri tersebut membonceng motosikal dengan bukan mahram serta berkeliaran tanpa hala tuju pada waktu Maghrib.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dipetik sebagai berkata, dua peraturan baharu tersebut mungkin boleh dilaksanakan dengan meminda peraturan sedia ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Undang-Undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986. Namun, Ahmad menjelaskan, cadangan itu akan diteliti terlebih dahulu oleh Jabatan Pembangunan Islam PBT sebelum dilaksanakan.

Usaha kerajaan Kelantan ini, walaupun kecil tetapi wajar diberi kredit. Sebelum ini, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa peraturan seperti menutup perniagaan semasa waktu solat fardhu, selain menggalakkan rakyat menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Cuma masalahnya ialah apabila setiap peraturan yang baik atau undang-undang yang bercirikan Islam ingin dilaksanakan, tetap sahaja perlu melalui proses birokrasi dan demokrasi!

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, undang-undang Islam tidak sepatutnya dilaksanakan secara terpilih atau sebahagian-sebahagian. Dengan kata lain, segala kewajipan itu wajib dilakukan dan segala keharaman itu wajib dihapuskan baik dalam skala yang kecil mahupun besar. Membonceng motosikal dengan bukan mahram adalah haram, begitu juga menaiki kereta dengan bukan mahram adalah haram, sama haramnya dengan tidak menutup aurat dengan betul, khususnya di kalangan Muslimah, yang masih banyak kelihatan di Kelantan.

Namun, di atas semua itu, apa yang lebih mendukacitakan ialah hukum Islam yang tidak dapat diterapkan secara menyeluruh kerana persoalan bidang kuasa negeri yang dibataskan oleh perlembagaan.

Kerana itulah, perjuangan untuk menegakkan Islam tidak boleh disertai dengan pengambilan kuasa secara partial (sebahagian) yang akan menyebabkan pemegang kekuasaan tidak menerapkan hukum Allah dan secara automatik akan berhukum dengan hukum selainNya dalam banyak hal.

Apa yang wajib dilakukan oleh gerakan Islam ialah berjuang untuk menukar sistem secara keseluruhan dalam aspek negara, bukannya aspek negeri, barulah keseluruhan hukum Allah dapat ditegakkan. Selagi tidak menguasai negara dan hanya menguasai negeri, maka bukan sahaja hukum Allah gagal diterapkan, malah mereka akan terus bergelumang dengan sistem demokrasi sekular dan akan terus memberi alasan demi alasan sebagai justifikasi tindakan mereka yang gagal menerapkan hukum Allah. Walhal mereka tahu yang mereka pasti tidak akan berjaya menerapkan hukum Allah jika memiliki kekuasaan yang terhad, tetap mereka tetap memilih untuk mengambil kekuasaan itu!

Persoalan penerapan hukum Islam bukanlah dalam hal membonceng motosikal sahaja, malah lebih jauh dari itu, kita wajib menegakkan negara Islam (Khilafah) dalam rangka menerapkan hukum Allah secara kaffah. Dengan memiliki kekuasaan sebuah negara (Khilafah), bukan sahaja persoalan pergaulan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat dapat dituntaskan, bahkan semua persoalan umat Islam dalam negara dan luar negara turut dapat diselesaikan. Inilah kepentingan usaha mendirikan semula Khilafah kerana hukum Allah hanya akan dapat ditegakkan secara kaffah dengan adanya Khilafah.