Kematian Suharto – peringatan kepada pemerintah Muslim yang masih hidup
Enam anak Suharto tumpuan pendakwa
Pemerhati jangka usaha gigih diambil selepas kematian bapa
JAKARTA: Selepas Suharto disemadikan, anak-anak bekas Presiden Indonesia itu berdepan dengan kegigihan baru di kalangan elit Indonesia untuk meneruskan dakwaan rasuah terhadap mereka, kata penganalisis.
Enam anak Suharto dilihat secara meluas mewakili warisan terburuk kronisme ketika pemerintahan Allahyarham bapa mereka, yang masih diamalkan walaupun selepas bekas Presiden itu melepaskan jawatan pada Mei 1998.
Menggunakan hubungan keluarga ketika pemerintahan 32 tahun bapa mereka, anak-anak Suharto mengumpul kekayaan menerusi sebilangan syarikat konglomerat, dengan diberi layanan istimewa untuk mendapatkan kontrak, didakwa rasuah dan melanggar undang-undang.
Keluarga itu didakwa mencuri antara AS$15 bilion (RM48.69 bilion) hingga AS$35 bilion (RM113.65 bilion), menurut anggaran Transparency International 2004.
Kegiatan itu berakhir dengan penggulingan Suharto pada 1998 yang mula menyaksikan anak-anaknya berdepan tuduhan rasuah tetapi pendakwaan berkenaan agak perlahan.
Namun dengan kematian Suharto ia memberi kebebasan ke atas ramai di kalangan elit negara itu – yang merasa bertanggungjawab terhadap “Bapa Pembangunan” – untuk meneruskan kes rasuah, kata ketua Transparency International Indonesia, Todung Mulya Lubis.
Di kalangan ramai pemain politik, sikap yang biasa ialah “anda perlu menghormati pemimpin tua itu, tetapi apabila beliau meninggal dunia keadaan sudah berubah”, kata Lubis.
Anak-anak Suharto sudah mengambil langkah ‘membersihkan’ empayar perniagaan mereka dengan menjual aset kontroversi dan berprofil tinggi.
Bagaimanapun, mereka masih boleh didakwa atas tuduhan rasuah, kata Lubis.
Sebagai pewaris bapa mereka, anak-anak Suharto mungkin mendapati diri mereka disaman lebih AS$1.4 bilion (RM4.54 bilion) dalam bentuk pampasan dan pengembalian aset negara yang dituntut kerajaan, tambahnya.
Anak lelaki bongsu Suharto dan paling disayangi Hutomo ‘Tommy’ Mandala Putra dibebaskan daripada penjara pada 2006 selepas menghabiskan hukuman hanya lima tahun daripada hukuman asal 15 tahun kerana mengarahkan pembunuhan seorang hakim Mahkamah Agung.
Tommy kini berada di tengah beberapa perbicaraan rasuah yang bergerak lambat sementara kakak sulungnya Siti Hardiyanti ‘Tutut’ Rukmana jauh lebih baik, dengan siasatan dakwaan rasuah daripada sebuah syarikat senjata api Britain hilang begitu saja beberapa tahun lalu.
Yang tinggal kini ialah tokoh perniagaan utama, abangnya Bambang Trihatmojo, yang mana kekayaannya dianggarkan bernilai AS$200 juta (RM649.184 juta) meletakkannya di tangga ke-33 dalam senarai mereka yang kaya di Indonesia oleh majalah Forbes Asia 2007.
Angka itu jauh menurun berbanding anggaran kekayaan bernilai AS$3 bilion (RM9.73 bilion) pada 1999 oleh majalah Time terhadap kekayaan keluarga itu. – AFP
Sumber: Berita Harian 29/01/08
Ulasan:
Sudah menjadi kebiasaan bagi seorang pemimpin untuk mengumpul dan merampas sebanyak mungkin kekayaan negara apabila dia memerintah, tidak terkecuali dengan Suharto. Sudah menjadi kebiasaan juga bagi sang pemimpin untuk mengaut sebanyak mungkin hak dan kekayaan umat untuk dibahagi-bahagikan kepada anak-beranak mereka. Keadaan zalim begini boleh dilihat di mana-mana termasuklah Malaysia. Mereka lupa bahawa pemerintahan itu adalah satu amanah – amanah untuk menerapkan hukum Allah dan mereka juga lupa bahawa nyawa mereka di dunia ini sekejap sahaja. Sifat jahat dan tamakkan harta dunia yang sedikit ini telah menjadikan mereka pemimpin yang lupa daratan dan mereka ingat bahawa mereka akan hidup selamanya di dunia milik Allah ini.
Namun Allah Maha Berkuasa. Sekuat dan sekuasa mana sekalipun pemimpin yang ada, akhirnya mereka akan menyembah bumi dan akan kembali menghadap Pencipta mereka. Mereka ingat dengan segala kekayaan yang mereka rampas dari umat, maka mereka boleh hidup bahagia selamanya. Walhal lagi banyak harta umat yang mereka rampas, lagi banyaklah dosa yang mereka pikul untuk berjumpa Allah nanti. Lagi banyak kekayaan gelap yang mereka miliki, lagi gelaplah masa depan mereka di akhirat kelak. Nauzubillah min zalik.
Kematian Suharto yang terkenal sebagai diktator pada zaman pemerintahannya selama lebih 3 dekad sepatutnya dijadikan ‘iktibar’ oleh pemimpin yang masih hidup. Pemimpin umat Islam dan anak-beranak mereka yang masih bernafas hari ini sepatutnya menangis dan cepat-cepat bertaubat dengan segala dosa mereka yang merampas kekayaan negara sebagaimana yang telah dilakukan Suharto dan anak-anaknya. Ingatlah bahawa Allah senantiasa memerhatikan kamu, begitu juga dengan malaikat maut yang sentiasa akan patuh perintah Rabnya yang akan serta-merta tanpa tertangguh sesaat pun untuk mencabut nyawa kamu apabila diperintahkan oleh Allah swt. Saat itu, barulah kamu sedar siapakah yang sebenarnya yang paling berkuasa, namun saat itu sudah tiada gunanya lagi bagi kamu!!!