Kembara Dakwah Berideologi di Melaka
Awal tahun 2016 dibuka dengan aktiviti kembara dakwah oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ke bandar raya bersejarah Melaka. Kembara Dakwah Berideologi atau singkatannya KADER disertai oleh lebih kurang 30 syabab (pemuda) HTM yang bermatlamat menyampaikan fikrah Islam secara ringkas dan padat di samping berinteraksi secara bersahaja dengan mad’u (orang yang ingin didakwahi) berkonsepkan street dakwah. Ideologi Islam yang merangkumi aspek fikrah dan thariqah sebagai satu cara hidup yang menyeluruh dan sempurna, menjadi fokus utama untuk disampaikan oleh syabab HTM kepada para mad’u.
Perjalanan kembara dakwah tersebut bermula di Bandar Baru Bangi pada 8/1/2016 dan menghabiskan masa selama dua hari di sekitar bandar Melaka sebelum bertolak pulang pada 10/1/2016. Walaupun sasaran dakwah adalah bandar Melaka, namun di sepanjang perjalanan ke negeri bersejarah itu, syabab HTM telah singgah di beberapa lokasi, termasuk R&R Seremban dan Ayer Keroh dengan membuka bunting dan menyebarkan risalah dakwah kepada orang ramai. Antara risalah yang disebarkan ialah risalah KIBAR (Kenali Bendera Rasulullah), FAJAR (Fahami Hijrah Rasulullah), Islam Kaffah, Sautun Nahdhah dan termasuklah juga nasyrah berkenaan Hizbut Tahrir itu sendiri.
Dalam perjalanannya, peserta kembara singgah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kundur Hilir, Pedas dan kesempatan tersebut digunakan sebaiknya untuk menyampaikan mesej dakwah kepada para jemaah yang majoritinya terdiri daripada orang kampung dan pelajar-pelajar dari sebuah kolej berdekatan. Alhamdulillah respons yang dberikan oleh para pelajar dan ahli qariah amat baik, malah mereka mengundang HTM untuk mengadakan pameran dan penerangan lanjut tentang Islam di masa yang akan datang.
Di bandar Melaka, Kota A Famosa, Dataran Samudera dan Menara Taming Sari menjadi lokasi utama street dakwah HTM. Para pengunjung yang sedikit terkejut dengan kehadiran syabab HTM bagaimanapun sanggup meluangkan masa untuk mendengar dakwah yang disampaikan. Selepas menghabiskan pagi hari di situ, para peserta kemudiannya bergerak ke Masjid Selat untuk menunaikan solat Zohor dan menyambung aktiviti dakwah di sana. Setelah berehat sejenak di Pantai Klebang dan Pantai Puteri pada sebelah petang, aktiviti dakwah disambung lagi di Bandar Hilir pada sebelah malamnya.
Sebelum melelapkan mata di tempat penginapan pada malam tersebut, para peserta diberikan tazkirah dan motivasi sebagai penguat ruhiyah dalam berdakwah. Esoknya sesi motivasi dan perkongsian sesama peserta dijalankan bagi menguatkan lagi ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi sebahagian daripada objektif kembara dakwah kali ini.
Peserta bertolak balik pada tengah hari 10/1/2016 dengan kepuasan dan kesyukuran kerana telah melaksanakan sebahagian kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Alhamdulillah kembara kali ini berjalan dengan lancar dan akan terus disusuli dengan aktiviti dakwah yang lain pula.