Kembara Dakwah Borneo – Siri Akhir

01Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Walaupun masih belum puas menatapi keindahan alam ciptaan Allah di Kundasang, namun para peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) terpaksa melangkah ke kenderaan masing-masing. Mahu tidak mahu, masa untuk bergerak balik ke Sandakan sudah sampai. Pilu hati rasanya untuk meneruskan perjalanan pulang bagi mengakhiri kembara ini, kerana keseronokan dakwah di jalan Allah dengan cabaran-cabaran yang dihadapi sungguh manis untuk dilepaskan. Sandakan secara khusus dan Sabah secara umumnya, merupakan lahan dakwah yang subur. Ramai penduduknya yang dahagakan Islam dan sudah tidak tahan dengan masalah serta penindasan yang berlaku di bumi sendiri.

Dalam perjalanan, para peserta singgah sebentar di Hot Spring Ranau dan juga Sabah Tea. Ada yang mengambil peluang membasahkan badan dan membasahkan tekak di kedua-dua tempat menarik di Sabah ini. Perjalanan Kundasang-Sandakan memakan masa lebih kurang enam jam. Di sepanjang perjalanan, ada beberapa sekatan jalan raya yang biasanya jarang diadakan sebanyak itu. Alhamdulillah semua kenderaan tidak ditahan. Tatkala tirai malam sudah dua jam terbuka, barulah para peserta tiba ke homestay yang telah ditempah khas di Sandakan. Setelah melakukan khidmat diri, ada yang terus merebahkan badan dan ada pula yang meneruskan sembang santai. Segala kisah dan pengalaman pahit manis sejak hari pertama kembara hinggalah ke saat itu, terlalu sukar untuk dipendam, apatah lagi bagi peserta yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu itu.

Apabila malam telah menutup tirainya, mata para peserta pun turut tertutup. Walaupun keletihan, tetapi kesemua peserta tidur dalam kepuasan, setelah seminggu tanpa henti berusaha menyambung tugas para Nabi dan Rasul. Seperti biasa, hari baru keesokannya dimulakan dengan solat Subuh berjemaah. Itulah hari terakhir untuk peserta KABO16 bersama, sebelum sebahagiannya berangkat balik ke Semenanjung. Walaupun tiada aktiviti lain, tetapi agenda rewang dan makan bersama-sama yang dirancang pada hari itu cukup meriah.

Homestay kali ini agak jauh dari pusat bandar, menyebabkan beberapa orang peserta keluar untuk membeli sarapan bungkus kepada teman-teman seperjuangan. Dalam masa yang sama, ada yang ke pasar basah untuk membeli seafood sebagai menu utama untuk jamuan perpisahan. Selesai sarapan, ramai yang menghabiskan masa berkongsi pengalaman dakwah sambil berehat di laman depan homestay yang bersaiz sederhana itu.

Sebaik masuk waktu dhuha, kesemua peserta memulakan rewang dengan penuh ceria. Gurau senda dan lawak jenaka berselang-seli sepanjang rewang, setidaknya dapat menutup kesedihan yang sudah mula menyelinap di hati-hati peserta yang telah seminggu menghabiskan kembara dakwah bersama itu. Kebanyakan peserta pulang dengan penerbangan pada petang hari tersebut dan sebahagian kecil pulang dengan penerbangan besoknya.

Setelah lebih kurang 3 jam rewang, maka siaplah menu ketam, udang, sotong dan pelbagai jenis kerang dengan resipi masakan berbeza yang amat menyelerakan. Apa pun, kelazatan makanan yang dikecapi itu tidaklah seberapa berbanding dengan kenikmatan ukhuwwah yang dirasai setelah masing-masing bergotong royong menyediakannya. Susah senang bersama, itulah kemanisan perjuangan secara berjemaah yang tidak akan dapat dirasai kecuali oleh mereka yang berjuang.

Selesai menjamu selera, tibalah sesi terakhir sebagai penutup tirai kepada KABO16 yakni ucapan perpisahan daripada pengarah projek dan pimpinan HTM yang ada di situ. Tuan pengarah memulakan bicara dengan menyorot kembali ekspedisi dakwah tersebut daripada awal hingga ke akhir. Ramai peserta sebenarnya baru kali pertama berjumpa antara satu sama lain, namun ikatan perjuangan menjadikan masing-masing merasa sudah lama mengenali, umpama sahabat baik sejak kecil.

Suka duka selama seminggu kembara dibangkitkan oleh pengarah projek, termasuklah beberapa perkara di luar jangkaan. Namun semua itu berjaya diatasi hasil semangat setiakawan, kerjasama, kepatuhan dan kesabaran yang tinggi yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Bagi ramai peserta, hal itu merupakan pengalaman baru yang sungguh indah dan takkan dapat dilupakan. Ada yang kehabisan duit poket, lalu dikongsi-kongsi oleh yang lain, ada yang kurang, lalu ditambah oleh yang mempunyai sedikit kelebihan, pendek kata banyak perkara yang dikongsi sepanjang kembara diungkapkan oleh sang pengarah.

Ada beberapa jadual, aktiviti dan arahan yang berubah secara tiba-tiba bagi mengelakkan gangguan dan halangan daripada Cawangan Khas, semua ini dipatuhi oleh para peserta. Begitu juga dengan pengorbanan Jurucakap HTM untuk membantu para peserta yang ditahan, tetapi akhirnya beliau yang ditahan dan dihantar balik oleh PDRM, semua itu turut di flash back oleh tuan pengarah, yang menjadi pembakar semangat kepada para peserta bahawa perjalanan untuk menegakkan agama Allah ini bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan pengorbanan dari setiap pengembang dakwah.

Antara perkongsian menarik daripada pengarah projek ialah bagaimana KABO16 membuktikan kepada semua peserta bahawa Hizbut Tahrir merupakan sebuah keluarga besar yang para ahlinya tidak pernah menjadikan pangkat, harta, bangsa, keturunan, warna kulit, tempat tinggal dan sebagainya sebagai pegangan atau ukuran dalam perjuangan. Fikrah dan perjuangan yang satu itulah yang menjadikan Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti Islam antarabangsa yang kuat dan unik serta dapat diterima di seluruh dunia.

“Alhamdulillah, kembara telah berakhir dan objektif KABO16 telah tercapai, namun perjuangan bukan terhenti di sini”, itulah antara kata-kata penutup daripada pengarah projek, menyemangati di samping memperingatkan para syabab Hizbut Tahrir yang telah mengharungi ekspedisi dakwah di negeri di bawah bayu itu dengan jayanya.

Selesai ucapan, maka tibalah masanya untuk para peserta dari Semenanjung bersiap-siap untuk meninggalkan bumi Sabah. Walaupun sungguh berat rasa di hati untuk meninggalkan sahabat-sahabat seperjuangan, namun setiap pertemuan ada perpisahan, itulah lumrah kehidupan. Dengan perasaan yang bercampur-baur, para peserta mula mengemas barang masing-masing. Lapangan terbang sudah memanggil-manggil, yang tidak akan menunggu siapa pun yang terlewat.

Ramai yang tidak ingin melepaskan peluang untuk menghantar ke airport. Itulah sifat dan sikap seorang Mukmin terhadap saudaranya, paling afdhal apabila mengiringi saudaranya sehingga hilang dari penglihatan mata. Kaki-kaki para peserta mula melangkah keluar dari homestay di waktu jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Perjalanan ke lapangan terbang tidak memakan masa yang lama kerana jarak homestay yang tidak berapa jauh darinya.

Di lapangan terbang Sandakan, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan. Dalam pada itu, kelihatan ramai mata yang memerhati mereka, yang sebahagiannya memang mata-mata! Masa untuk berpisah tiba apabila kedengaran panggilan masuk pesawat yang menuju ke Kuala Lumpur. Para pejuang Khilafah dari Semenanjung dan juga Sabah saling berpelukan dalam keadaan terharu. Seminggu berjuang dan bersusah-senang bersama itu amat sekejap dirasakan. Dengan langkah yang berat, kaki-kaki para peserta dari Semenanjung memasuki kawasan Imigresen untuk ke ruang menunggu sambil tangan-tangan mereka terus melambai kepada teman-teman yang berada di luar. “Ila liqa’ (sehingga berjumpa lagi), teruskan perjuangan”, itulah kata-kata terakhir para peserta sesama mereka.

Senja semakin menunjukkan wajahnya apabila pesawat mula berlepas, sebuah suasana yang cukup sayu, sesayu hati para peserta yang terpaksa berpisah antara satu sama lain. Perjuangan dan ukhuwwah yang terjalin semata-mata kerana Allah itu sungguh indah dan nikmat yang hanya dapat dirasakan oleh para pejuang di jalanNya. “Sayonara bumi Sabah, tetapi kami akan datang kembali untuk menceriakan wajahmu demi tertegaknya kalimah Allah yang kami perjuangkan”, bisik hati pengarah projek yang mendapat pendidikan di Jepun selama tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia dan bergabung bersama Hizbut Tahrir.”

Selesai…

Ya Allah, saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan!

Ya Allah, saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan!

Ya Allah, saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan!