Kembara Hijrah 1437 HTM raih perhatian

Peserta Kembara sedang memasuki tren
Peserta Kembara sedang memasuki tren

Pada 14-15 November lepas, sekumpulan syabab (pemuda) Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah melakukan satu kembara dakwah dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis. Perjalanan melalui ETS Gold Train yang dinamakan sebagai “Kembara Hijrah” itu dilakukan sempena momentum tahun baru 1437 dengan tujuan antara lain menjelaskan makna sebenar Hijrah kepada umat Islam.

Perjalanan  dari KL Sentral menuju ke Padang  Besar yang mengambil masa enam jam itu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh seramai 19 orang syabab HTM yang mengikuti kembara tersebut. Aktiviti dakwah dalam kereta api laju itu dimulakan sebaik sahaja melepasi stesen Rawang dengan kakitangan ETS Gold Train memberi kerjasama yang baik sepanjang perjalanan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah edaran risalah Islam, risalah FAJAR (Fahami Hijrah Rasulullah), risalah KIBAR (Kenali Bendera Rasulullah) dan juga risalah mingguan HTM, Sautun Naudhah. Di samping itu, para peserta kembara juga bergerak dari satu gerabak ke satu gerabak sambil memegang poster Tolak Obama 3.0 dan plakad tragedi serangan terbaru di Paris yang penuh pertikaian.

Para penumpang rata-ratanya memberikan respons positif terhadap aktiviti dakwah yang dilakukan. Ada yang teruja dan memuji usaha dakwah yang disifatkan sebagai unik itu. Lebih mengharukan, ramai yang memberikan sokongan dan sanggup mendengar penerangan yang diberikan. Malah sebahagiannya telah memberi nombor telefon masing-masing untuk diadakan pertemuan lanjut dengan HTM.

Setiba di Arau, peserta telah disambut dengan kibaran al-liwa’ dan al-rayah oleh syabab HTM Perlis, sebelum dibawa ke tempat penginapan. Di sebelah malamnya, Ust Umar Hussein selaku ketua kembara, menyampaikan tazkirah di samping terus menyemangati para peserta dengan kisah-kisah perjuangan Islam.

Keesokannya, peserta dibawa ke Padang Besar dan aktiviti menyebarkan risalah serta memberi penerangan diteruskan di tempat membeli belah yang tersohor di utara tanah air itu. Aktiviti itu telah mencuri tumpuan ramai pengunjung dan penjual Arked Niaga di sempadan Malaysia itu. Selain sebaran risalah, satu seruan telah diadakan yang menyentuh soal Hijrah dan juga Kempen Tolak Obama. Respons positif ditunjukkan oleh umat Islam di sini, walaupun mereka agak terkejut dengan kehadiran para peserta.

Peserta kembara berangkat pulang pada sebelah petangnya dan sekali lagi aktiviti dakwah diteruskan di dalam ETS Gold Train, walaupun sebahagian peserta kelihatan agak keletihan. Namun, kewajipan dan kemanisan dakwah mengatasi segala-galanya.

Apa yang paling menggembirakan di sepanjang perjalanan ini ialah apabila salah seorang kakitangan ETS berbangsa India (dan beragama Hindu), telah didakwahi oleh peserta kembara dan di akhir perbincangan serta penerangan, beliau terus memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah. Beliau terus dipeluk oleh peserta kembara sebagai saudara baru dalam suasana yang cukup mengharukan. Semoga Allah merahmati beliau dan memberikan kekuatan kepada beliau.

Para peserta selamat tiba di KL Sentral lebih kurang jam 10.00 malam dengan sekali lagi disambut oleh kibaran al-liwa dan al-rayah oleh rakan-rakan seperjuangan.