Kempen undi rosak, apa masalahnya?

Berita:

Kempen rosak undi rosakkan demokrasi : TPM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen #undirosak oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya akan merosakkan demokrasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang menjadikan kempen itu sebagai satu cara bagi membolehkan mereka memenangi PRU akan datang.

“Saya sebut perkara ini kerana ada pihak yang mahu memecah dan merosakkan kita (Barisan Nasional) terutama pada PRU akan datang dan mereka buat (kempen) #undirosak.

Sumber: bharian.com.my


Komentar:

Sedang negara dilanda bahang Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14), tiba-tiba kita digemparkan oleh kempen dan gerakan #UndiRosak. Kempen ini telah menjadi isu nasional dan hangat diperkatakan oleh kepimpinan negara, parti pembangkang mahupun masyarakat umum. Isu ini dibincangkan secara meluas sama ada di media cetak, elektronik serta media sosial. Bagi kepimpinan negara serta pihak pembangkang, mereka menyatakan pendirian masing-masing berkenaan kempen ini. Maka lahirlah pelbagai pendapat sama ada dari sudut pro dan kontranya tentang kempen ini. Bagi pihak kerajaan, ia adalah sikap tidak bertanggungjawab oleh mereka yang mencetuskan idea gerakan ini yang telah mengelirukan rakyat dan merosakkan sistem pilihan raya demokrasi itu sendiri. Parti pembangkang pula mempunyai pendapat yang berbeza-beza dari kalangan mereka, ada yang bersetuju dan ada yang menentang, malah ada juga yang menggunakan isu ini untuk menyalahkan kerajaan kerana menjadi punca kepada sistem pilihan raya yang tidak bersih serta mengakibatkan terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara.

Kempen yang digerakkan secara meluas terutama melalui media sosial ini pastinya tidak menyenangkan pihak kerajaan tatkala mereka sedang dalam keadaan terdesak dan amat memerlukan sokongan dan undi rakyat terhadap mereka. Ditambah pula dengan data dan fakta yang terkini menunjukkan seramai 3.6 juta golongan muda berusia 21 tahun ke atas masih belum dan gagal mendaftarkan diri sebagai pemilih, yang menambahkan lagi kekusutan kerajaan disaat PRU-14 semakin dekat.

Jika ditelusuri secara mendalam punca masalah ini, tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan kesan golongan muda ketika ini yang melihat krisis politik semasa negara. Suasana politik yang serba tidak menentu sama ada daripada pihak parti pemerintah mahupun pihak pembangkang, ditambah dengan amalan politik yang berasaskan kepada manfaat, mementingkan individu tertentu dalam parti politik, saling cuba menjatuhkan antara satu sama lain, skandal pemimpin negara, rasuah yang berleluasa, kronisme, nepotisme dan sebagainya telah menyebabkan golongan ini mula menjauhkan diri daripada politik. Itu belum lagi parti-parti yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini dilihat gagal untuk memperjuangkan nasib dan aspirasi golongan muda sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh yang demikian, apabila kempen ini mula disebarkan, golongan muda ini pulalah yang paling ramai menyahut seruan sebegini kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pilihan raya dan parti politik yang ada.

Malangnya, golongan yang mengerakkan kempen undi rosak hanya melihat inilah antara penyelesaian yang terbaik untuk tujuan memberi peringatan dan pengajaran kepada kedua-dua pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang. Mereka tidak sedar bahawa terdapat penyelesaian yang lebih baik yang bukannya datang daripada akal manusia. Semestinya penyelesaian tersebut datangnya daripada Islam, agama yang serba lengkap dan sempurna merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan politik. Sesungguhnya politik dalam Islam jauh daripada pertelagahan sesama manusia, kepentingan individu dan kepartian serta bukan didasarkan kepada manfaat semata-mata. Sistem politik ini diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah saw, yang wajib dilaksanakan oleh negara untuk mengurusi dan memelihara urusan rakyat di dalam dan luar negeri. Bagi masyarakat pula termasuklah parti politik yang ada bertanggungjawab untuk memerhatikan dan memuhasabah negara jika terdapat kelalaian dalam menjalankan kewajipannya. Paling utama, politik Islam ini akan membangkitkan kembali umat dan memberi kesegaran semula kepada pemuda Islam untuk bangkit berjuang selepas sebelumnya mereka telah dibelenggu oleh sikap keputusasaan. Kepada golongan muda, adakah kita ingin terus berada dalam situasi sekarang ini atau kita punya pilihan untuk berubah terus ke arah yang lebih baik dengan Islam? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Wallahualam

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia