Kemunculan Berjasa Cetus Persoalan

Di kala parti-parti utama seperti  Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat serta pelbagai pihak sedang sibuk menguruskan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya ke-13, tiba-tiba muncul pula Parti Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) yang mengumumkan akan masuk bertanding di dalam pilihan raya yang akan datang pada sidang akhbar baru-baru ini. Tanpa rasa canggung dan dengan yakinnya Parti Berjasa yang ditubuhkan sejak tahun 1978 dan mempunyai keahlian seramai 5,000 orang itu mengatakan bahawa mereka akan memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi yang ditandingi. Ini merupakan suatu jumlah yang cukup besar sebagai sebuah parti politik yang baru ‘diaktifkan’ semula.

Umum mengetahui bahawa untuk masuk bertanding di dalam sesuatu pilihan raya, seseorang calon itu memerlukan dana yang bukan sedikit. Walaupun Berjasa mungkin sudah bersedia dari segi calon yang akan diketengahkan pada kali ini, persoalan yang muncul adalah dari mana mereka mendapat dana dan logistik yang lain? Apakah mereka mampu untuk menyaingi tokoh-tokoh kepimpinan masyarakat daripada parti yang lain semasa berkempen nanti? Mereka bukan sahaja akan berhadapan dengan populariti calon-calon itu, mereka juga terpaksa menyaingi kehebatan dan keampuhan jentera parti-parti lawan yang bertanding yang jauh lebih bersedia dari segi tenaga kerja, dana, dan strategi propaganda sejak hampir setahun lalu. Keyakinan tanpa pertimbangan realistik mungkin boleh menyebabkan mereka kehilangan wang pertaruhan dan lebih parah lagi, mungkin mereka akan kembali ke ‘pertapaan mereka’ untuk lima tahun akan datang tanpa sebarang hasil yang jelas. 

Walaupun Datuk Hashim Karim selaku pengarah Eksekutif Markas Pilihan Raya untuk Berjasa mengatakan mereka akan menjadikan tema berkaitan ‘Islam Sebagai Satu Cara Hidup’ sebagai asas kempen kali ini dan dilihat seolah-olah  berhasrat untuk menjadi ‘kuasa ketiga’ di dalam pilihan raya di dalam masa terdekat ini, kemenangan belum tentu menjadi milik mereka kerana mereka harus menyaingi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dilihat mempunyai jentera yang lengkap dari segi tenaga kerja dan pengalaman.

Di samping itu; apakah matlamat sebenar Berjasa jika hanya mensasarkan golongan atas pagar dan bukan kepada umat Islam seluruhnya kerana ini juga dilihat lebih berkemungkinan besar akan mengurangkan undi kepada PAS. Di dalam kes ini, jika itu berlaku, ia sudah tentu akan menguntungkan UMNO kerana jika golongan atas pagar yang cenderung kepada perjuangan Islam memilih Berjasa maka PAS akan kehilangan undi daripada kelompok tersebut sedangkan undi UMNO tidak berkurang. Jadi, adakah itu sahaja matlamat Berjasa masuk pilihan raya?

Berjasa perlu memahami hala tuju dan matlamat kewujudan sebuah parti politik Islam. Matlamat dan objektif perjuangan sesebuah parti politik Islam itu adalah untuk melaksanakan tugas dan tuntutan dari firman Allah SWT :

”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. 
[TMQ al-‘Imran (3) : 104].

Inilah tujuan asas perjuangan sesebuah parti politik Islam di dalam hendak mencapai keredhaan Allah SWT. Berdasarkan ayat diatas, parti politik Islam itu mestilah sebuah ”kutlah” yang terorganisasi, iaitu ”kutlah” yang berdiri di atas dasar aqidah Islam bukannya berdiri di atas fahaman dan mabda yang selain dari Islam seperti Kapitalisme, Sosialisme, Patriotisme, Nationalisme, Sekularisme dan yang seumpamanya. Kutlah itu juga mestilah dipimpin oleh seorang amir dan ahli-ahlinya mestilah  diikat dengan ikatan mabda Islam. Berkenaan aktivitinya pula, berdasarkan ayat di atas ia menunjukkan dengan jelas bahawa parti politik Islam itu wajib memikul dan menyeru dakwah kepada al-khayr (Islam) dan wajib melakukan aktiviti politik (amar makruf dan nahi mungkar). Persoalan yang mungkin turut berlegar di dalam pemikiran sebahagian umat dan pemerhati politik hari ini ialah, apakah Berjasa sudah diperangkap oleh UMNO yang kini begitu terdesak untuk mempertahankan kuasanya?

Sumber : Utusan  21/3/2012, Malay Mail:  21/3/2012