Kes Dr. Aafia Siddiqui: Umat Sangat Memerlukan Khilafah

Sepuluh tahun yang lalu, Dr. Aafia bersama-sama tiga orang anaknya telah diculik semasa mereka dalam perjalanan ke rumah ibunya di Karachi pada Mac 2003. Sejak daripada insiden tersebut sehingga kini, beliau berada dalam tahanan penjara setelah dijatuhi hukuman penjara selama 86 tahun pada tahun 2008 atas tuduhan cuba menyerang askar AS dan sekumpulan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)  di Karachi. Walaupun ramai yang menyuarakan kesangsian tuduhan yang dikenakan ke atasnya, namun mahkamah tetap dengan keputusan yang dijatuhkan. Beginilah nasib malang yang menimpa seorang wanita Muslim yang tidak berdaya. Bukan setakat dihukum penjara, bahkan pelbagai media telah memaparkan pelbagai penyeksaan yang dikenakan ke atasnya ketika berada dalam tahanan, daripada penjara di Afghanistan sehinggalah ke Amerika Syarikat. Walaupun salah seorang peguam belanya, Elizabeth Fink pernah menyuarakan bahawa anak guamnya telah didera dan dicederakan semasa dalam tahanan, namun mahkamah langsung tidak mengendahkan perkara tersebut. Walhal, pihak berkuasa Amerika tahu bahawa beliau pernah ditembak dalam siri penderaan tersebut.

Terbaru, Amerika Syarikat bersetuju mengekstradisi Dr. Aafia Siddiqui di bawah  perjanjian pertukaran banduan dengan Islamabad. Namun, AS mahu Islamabad mengekalkan tuduhan salah terhadapnya yang membabitkan jenayah keganasan. Jurucakap Washington berkata kepada Press TV, Dr. Aafia perlu menghabiskan tempoh tahanan di Pakistan selaras dengan perjanjian yang ditandatangani.

Tragedi buruk yang menimpa Dr. Aafia ini sangat memilukan dan respon yang diberikan oleh para penguasa Muslim, terutamanya Pakistan sangat memalukan.  Terlalu banyak persoalan yang tidak dapat dijawab oleh mereka. Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap penculikannya? Mengapakah dia ditahan dalam waktu yang sangat lama di Bagram tanpa sebarang pertuduhan, perbicaraan dan tanpa peguam? Mengapa dia dipindahkan ke AS tanpa sebarang prosedur yang betul? Di manakah perginya ketiga-tiga orang anaknya? Persoalan-persoalan ini masih lagi tidak dapat dijawab dan ia terus diselindungi oleh Amerika dan Pakistan.

Keterlibatan pemerintah Pakistan dan ketidakpedulian mereka terhadap tindakan keji yang menimpa saudara perempuan seaqidah ini adalah satu tindakan jenayah berat di sisi Islam. Sungguh mengaibkan dan menghinakan apabila pemerintah Pakistan boleh dengan sewenang-wenangnya menyerahkan kedaulatan dan jiwa warganegaranya sendiri kepada musuh Islam iaitu Amerika. Mereka telah menukar kehormatan saudara kita demi sehelai kertas dolar yang hina dan telah menjual puteri umat ini kepada golongan yang telah menebar kebencian terhadap Islam di seluruh dunia.

Kes Dr. Aafia Siddiqui ini menunjukkan betapa pentingnya umat ini  mengembalikan semula  institusi negara Khilafah. Para wanita Muslimah sudah pasti lama merindui akan kembalinya keberadaan kepemimpinan Islam yang akan melindungi kehormatan mereka, mengembalikan hak-hak mereka, menghilangkan perasaan takut mereka serta menegakkan keamanan dan keadilan di tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka menginginkan negara yang akan menghapuskan kesengsaraan, penderitaan dan air mata, serta berubah daripada penghinaan menuju ke era baru yang penuh dengan harapan, kekuatan dan kemuliaan bagi umat ini.

Umat ini sedang menunggu untuk membai’at seorang Khalifah yang benar-benar akan melindungi mereka dalam apa jua keadaan. Khalifah yang akan mengirim bala tentera anak-anak muda yang gagah daripada kalangan umat ini untuk membebaskan wanita daripada segala bentuk penindasan. Umat mendambakan pemimpin anak muda seperti Muhammed ibnu Qasim di abad ke-8, yang diutus oleh Khalifah untuk memimpin 6 ribu pasukan berkuda bagi membebaskan wanita Muslimah yang dipenjara oleh Raja Delhi di India. Kesatria Islam ini mampu menundukkan musuh walaupun jumlah musuh ketika itu berlipat kali ganda berbanding mereka.

Oleh kerana itu, wahai para hamba Allah, marilah kita sama-sama berganding bahu bekerja siang dan malam dengan bersungguh-sungguh dalam menyebarluaskan lagi seruan kita dan mencurahkan segala daya usaha bagi mengembalikan semula institusi Khilafah yang akan menaungi saudara-saudara perempuan kita menuju harapan dan cahaya. Ingatlah dan yakinlah kepada janji Allah SWT:
 

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan yang beramal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka para Khalifah yang berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka para Khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, dan Dia akan menggantikan (keadaan) mereka sesudah ketakutan mereka menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu. Dan barangsiapa yang kafir sesudah (janji) itu, mereka itulah orang-orang yang fasik.”
[TMQ an-Nur (24): 55].

Sumber: sinarharian.com.my 22/07/13