Kes tikam dan gilis – Kita juga mungkin tidak terkecuali daripada risiko yang sama

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 13 individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan tikam dan gilis di sebuah stesen di Taman Pelangi, Ahad lalu. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semalam pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di Pulau Pinang, manakala empat lelaki dan tiga wanita lagi ditahan di Singapura dengan bantuan polis Singapura.

“Terkini pada hari ini, seramai empat lelaki ditahan di Johor oleh Pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 13 orang. “Semua suspek ditahan berusia antara lingkungan 16 hingga 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/12/366158/tikam-gilis-13-ditahan-hingga-kini


Ulasan:

Kejadian bunuh di Johor yang berlaku pada minggu lepas bukanlah suatu yang asing di Malaysia. Malah ia semakin mudah untuk disaksikan oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan adanya media telekomunikasi yang semakin canggih serta peranan media sosial yang membantu mentularkan sesuatu kejadian. Meskipun rakyat Malaysia sering dimomokkan dengan status “keamanan” yang sedang dikecapi, namun realiti yang ada begitu kontras dan sukar untuk dihadam kerana jenayah sering berlaku di depan mata, hatta berlaku di tempat-tempat awam seperti dalam kes di stesen minyak ini.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku angkara pergaduhan di antara kongsi gelap, juga pastinya menimbulkan satu lagi persoalan sejauh mana suburnya kegiatan gengsterisme di Malaysia. Apakah kita masih boleh berasa aman dan senang melihat segala kejadian jenayah yang berlaku di depan mata? Apakah kita boleh merasa aman untuk keluar meninggalkan rumah sedangkan jenayah seperti pecah rumah, rompak, bunuh, rogol sering berlaku di laman dan di dalam rumah?

Walaupun pelbagai langkah dan usaha yang berterusan untuk membanterasnya diambil dan dijalankan namun kegusaran masyarakat tetap wujud kerana realiti menunjukkan kes-kes jenayah semakin berleluasa. Pelbagai jenayah yang berlaku pastinya bermula daripada rosaknya institusi dalam masyarakat yang mengakibatkan lahirnya individu-individu yang rosak ini.

Selain itu, hukuman yang dikenakan ke atas pelaku kerosakan ini turut memberi kesan kepada kejadian serupa untuk berulang sekali lagi dan lagi. Begitu juga halnya dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan ketika ini hanyalah berorientasikan materialistik semata-mata yang tidak menjamin pembinaan syakhsiyah yang unggul. Manakala sistem sosial yang diamalkan pula bersifat indivualistik yang telah menjauhkan suasana amar ma’ruf nahi mungkar.

Jadi persoalannya ialah mampukah sistem yang penuh kerosakan yang sedang menyelimuti segenap peringkat masyarakat ini membebaskan kita daripada risiko yang sama?

Yusuf Muhammad
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia