KHUTBAH ‘EIDULADHA 1430H DIKORBANKAN KUFUR ATAU BERKORBAN DEMI ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
الله أكبر 3 x الله أكبر 3 x الله أكبر 3 x
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ هُوَ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ جَعَلَ الْيَوْمَ عِيْدًا لِلْمُسْلِمِيْنَ، وَحَرَّمَ عَلَيْهِمْ فِيْهِ الصِّيَامَ، وَنَزَّلَ الْقُرْآنَ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ، وَهُوَ خَيْرَ النِّعَمِ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ لاَنَبِيَّ بَعْدَهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مَنِ اصْطَفَى، مُحَمَّدٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ، وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ وَالاَهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَياَ عِبَادَ اللهِ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ 


Ma’asyiral muslimin rahimakumullah,

 

Segala puji hanya milik Allah, Zat Yang Maha Agung, Maha Tinggi dan Maha Mulia. KepadaNya segenap makhluk bergantung dan hanya kepadaNya segala sesuatu akan kembali. Dialah al-Khaliq al-Mudabbir, Zat yang telah menciptakan dan mengatur alam semesta ini dengan seluruh aturanNya yang utuh dan sempurna. Dialah al-Musyarri’, Zat yang Maha Pembuat hukum, yang mana hukum-hukumNya membawa rahmat bagi semesta alam. Dialah satu-satunya Zat yang akan meminta pertanggungjawaban manusia pada yaumul hisab, terhadap segala perbuatan manusia di dunia. Dialah yang akan menimpakan azab yang pedih, neraka dengan api yang menyala-nyala, membakar sesiapa sahaja yang melanggar perintah dan laranganNya. Dia pula yang akan memberikan balasan berupa kenikmatan jannah (syurga) yang luasnya seluas langit dan bumi untuk sesiapa sahaja yang telah beramal sesuai dengan syari’atNya dan kepada orang-orang yang ikhlas memperjuangkan kemuliaan Islam dan umatnya.

 

Selawat dan salam semoga sentiasa dilimpahkan kepada junjungan dan suri teladan kita, Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya serta para pengikutnya yang tetap istiqamah berjuang untuk menegakkan dan menjalankan hukum-hukum Allah SWT, serta menyebarkan risalah-Nya ke seluruh penjuru dunia hingga ke akhir masa.

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Sidang muslimin yang dirahmati oleh Allah SWT,

 

Hari ini kita bertakbir, bertahlil dan bertahmid bersempena ketibaan ‘EidulAdha dan sebagai amalan mulia menzahirkan nama-nama Allah SWT, mengatasi segala nama. Kepada Dialah kita memuji dan memuja, Dialah yang mengutuskan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s serta menciptakan peristiwa besar yang diraikan sehingga hari ini yakni korban. Allah menuntut pengorbanan dari seorang ayah yang amat menyayangi serta mencintai anak tunggalnya, begitu juga Allah menuntut pengorbanan daripada seorang anak yang soleh kepada ibubapanya. Pengorbanan itu adalah semata-mata untuk menguji ketaatan mereka kepada Allah ‘azza wa jalla, bukan kerana yang lain. Itulah bentuk pengorbanan yang sejati. Itulah pengorbanan yang mendapat rahmat dan kedudukan tertinggi di sisiNya. Allah tidak menuntut pengorbanan daripada orang-orang yang kafir kepadaNya, Allah juga tidak menuntut pengorbanan daripada orang-orang yang menzalimi hukum-hukumNya, tetapi Allah hanya menuntut daripada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya sebagai ujian sejauh mana ketaatan kita kepadaNya.

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Ma’asyiral muslimin rahimakumullah,

 

Marilah kita renungi hakikat ini, apakah sebenarnya kita sedang atau telah berkorban kerana Allah, atau sebaliknya? Atau sebenarnya kita sedang menjadi korban bagi orang-orang kafir sebagai balasan daripada kelalaian kita terhadap Allah SWT!?

 

Renungilah dengan pandangan yang jernih dan hati yang terbuka. Di manakah kekayaan umat Islam tatkala ini sehinggakan kadar kebuluran, kemelaratan hidup, kesengsaraan saudara-saudara kita di bumi gersang seperti di Somalia, Sudan, Indonesia, Pakistan, Palestin, Iraq dan seumpamanya terus meningkat?! Masalah apakah yang mereka hadapi sehinggakan nasib mereka sedemikian? Sudah pasti jawapannya adalah para pemerintah boneka barat yang menerapkan suatu dasar dan sistem ekonomi yang diperintahkan oleh kaum kapitalis kufur barat ke atas kaum muslimin. Hilang sudah kekayaan kaum muslimin, lebih 50 % simpanan minyak dunia mereka bolot, begitu juga gas asli, emas, keluli dan segala bentuk kekayaan sumber alam, semuanya diusung pulang oleh kufur barat yang rakus lagi kejam. Hidup mereka bermewah-mewahan. Apa yang tinggal di sisi kaum muslimin adalah sisa baki kekayaan yang mereka tidak ingini lagi, umpama habis madu sepah dibuang. Hidup kaum muslimin terus dicengkam kesempitan, berkerja memerah keringat mencari sesuap nasi, hina dan daif. Maruah dan jiwa kaum muslimin terus digadai menjadi korban kepada kaum kufur barat. Kita sebenarnya telah dan sedang menjadi mangsa korban kaum kapitalis kufur barat.

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Sidang muslimin yang dirahmati oleh Allah SWT,

 

Marilah pula kita renungi bidang politik yang berlaku dalam dunia Islam. Apakah yang terjadi kepada nasib kita ketika ini? Di Pakistan, suatu perjanjian yang disebut dengan ‘Kerry-Lugar Bill’, merupakan tawaran bantuan berjumlah 7.5 billion dollar oleh Amerika Syarikat kepada negara umat Islam kedua terbesar itu dengan syarat, setiap aspek yang memberi pulangan keuntungan kepada Amerika Syarikat perlu mendapat perhatian dan kerjasama sepenuhnya dari pihak kerajaan Pakistan termasuk dalam hal ehwal ketenteraan, teknologi dan industri nuklear, dan kerjasama erat menentang keganasan yang membidik umat Islam di Waziristan, Lembah Swat dan sempadan Afghanistan. Inilah syarat-syarat tawaran bantuan oleh negara kufur AS! Kesemuanya menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa AS sedang menjadikan kita mangsa korban keganasan mereka untuk kesekian kalinya. Betapa liciknya mereka berpolitik dan melakukan muslihat korban ke atas umat Islam melalui kebodohan para pemimpin boneka umat Islam itu.

 

Begitu juga nasib saudara-saudara kita di Mesir yang menerima bantuan kewangan berjumlah lebih 2.4 billion bagi membiayai pendidikan dan latihan peperangan dari AS dan sumber luar. Ia bukan suatu bantuan yang kosong tetapi mereka berniat untuk menjadikan tentera Mesir sebagai alat untuk mereka kekalkan pengaruh di sekitar Syria, Palestin, Lubnan, Sudan dan Iran. Di Afghanistan pula, pihak kerajaan Kanada berjaya menjadikan Hamid Karzai sebagai proksi kepada kepentingan mereka di sana. Lihatlah betapa nasib kita diperjudikan oleh para pemimpin politik hari ini? Apapun tindakan mereka, kita terus dikorbankan demi kepentingan mereka. Aneh sungguh korban yang telah berlaku ke atas kita sekarang! Adakah ini jenis korban yang dituntut oleh Allah Ta’ala?!

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Ma’asyiral muslimin rahimakumullah,

 

Selain dari belahan dunia Islam yang bergolak dengan peperangan dan politik yang  berkepentingan, kita renungi pula nasib umat Islam di kawasan yang dikatakan ‘aman’. Kita masih mampu mengesan kehidupan umat Islam yang terhimpit dengan masalah sosial dan taraf pendidikan. Kehidupan sosial hari ini mengundang maksiat secara bermaharajalela, gejala seks bebas, zina, pergaulan bebas, arak, zuriat luar nikah, kekerasan rumahtangga, kecurangan dan bermacam-macam lagi yang terus mencengkam jiwa umat Islam. Kufur barat terus mempromosi idea-idea hiburan yang sesat lagi menyesatkan, propaganda-propaganda, perancangan dan strategi agar hidup kita terus pincang, hancur luluh seperti kehidupan sosial mereka. Mereka pasti senang hati apabila sosial umat Islam sama-sama hancur sepertimana kehancuran yang mereka alami. Melalui serangan sosial ini juga, ternyata umat Islam masih menjadi mangsa korban oleh kufur barat.

 

Begitu pula taraf pendidikan atau intelektual, umat Islam masih ketinggalan jauh berbanding perkembangan pesat negara-negara maju kufur. Para cendikiawan kita terus berusaha mencari-cari ruang dan peluang untuk menguasai bidang tersebut namun masih juga gagal kerana kufur barat sama sekali telah merancang untuk terus menjadikan kita mangsa mereka. Lihat saja strategi mereka melalui Intelectual Property Organization (IPO), World Trade Organization (WTO) serta pelbagai badan pemelihara rekabentuk dan rekacipta yang menghalang daya inovasi dan kreativiti termasuk intelektual kita. Masing-masing diwujudkan semata-mata untuk mengawal taraf intelektual dan kemajuan umat Islam. Sedangkan mereka terus bermewah-mewahan dengan kebebasan intelektual tanpa had. Ini bermakna dalam aspek ini juga kita masih menjadi mangsa korban kufur barat! Kita tidak berkorban kerana Allah Ta’ala, tetapi sebaliknya yang berlaku. Pengorbanan yang kita alami selama ini adalah sia-sia! Sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan untuk alam akhirat, bahkan di dunia juga kita sengsara!! Masihkah kita ingin terus begini??

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Sidang muslimin yang dirahmati oleh Allah SWT,

 

Inilah sekilas potret kesengsaraan, penderitaan, kemunduran dan kehinaan kaum muslimin pada masa ini yang menjadi korban sang durjana kufur barat. Di sebalik tekanan yang dahsyat yang mereka kenakan ke atas kita, mereka sebenarnya menerapkan ideologi mereka yang menjadikan kita terus diam membatu daripada mengubah nasib kita. Kita masing-masing dibelenggu dengan ideologi individualisme, nasionalisme, patriotisme, sektarianisme dan pelbagai isme-isme yang menyesatkan. Dengan ideologi-ideologi itulah kita memasung diri dengan berpeluk tubuh. Sebenarnya, kita sendiri yang memilih untuk menjadi mangsa korban kufur barat. Benarlah firman Allah SWT,

 

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِڪۡرِى فَإِنَّ لَهُ ۥ مَعِيشَةً۬ ضَنكً۬ا وَنَحۡشُرُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ أَعۡمَىٰ

Dan barangsiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta[TMQ Taha (20): 124]

 

Allah SWT mencipta manusia dengan penuh keadilan, lantas diturunkan pula Al-Quran yakni Az-Zikr kepada kita sebagai panduan, petunjuk, penjelas (bayan) bagi setiap sesuatu. Namun sebaliknya kita berpaling daripadanya, maka kini terimalah akibatnya! Kita terhimpit, kita terseksa, kita sengsara.. kita terus menjadi korban sang durjana.

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Sidang muslimin yang dirahmati oleh Allah SWT,

 

Kita telah ketahui masalah-masalah yang menyelimuti nasib malang kita, sejarah hitam ini perlu dihentikan segera! Kita wajib keluar daripada kehidupan sebegini. Kita wajib kembali kepada kehidupan yang mulia. Tidak ada jalan lain melainkan dengan kembali kepada kehidupan syariah dengan menjadikan Al-Quran sebagai dustur (perlembagaan) hidup kita, samada dalam membentuk syakhsiyyah diri, masyarakat mahupun negara. Kita wajib tinggal dan tanggalkan segala ideologi-ideologi kufur yang menutup pemikiran kita kepada Islam dan syariah. Kita perlu menghayati semula setiap ayat-ayat Allah dan sabda-sabda Baginda SAW dengan penuh khusyuk dan iman, agar Islam kembali menjadi darah daging yang mengalir deras dalam tubuh kita. Sesudah itu, wajib pula kita membangunkan semula kaum muslimin dengan pemikiran Islam agar terbentuk semula tuntutan kepada kehidupan Islam sepertimana para sahabat r.a dahulu. Mereka mendapat redha Allah yang penuh rahmat lagi berkat. Kita tidak ada pilihan lain untuk berubah kecuali memartabatkan semula kehidupan Islam di bawah naungan sistem Khilafah.

 

Allahu Akbar (3x), wa lillahil hamd,

Ma’asyiral muslimin rahimakumullah,

 

Yakinlah wahai kaum muslimin! Bertaqwalah wahai kaum muslimin! Firman Allah adalah benar,

 
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang yang beramal soleh, bahawa sesungguhnya Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan khalifah-khalifah sebelum mereka berkuasa, dan Dia akan meneguhkan bagi mereka  dengan Deen yang telah Dia redhai, dan Dia juga akan mengubah keadaan mereka setelah mereka mengalami ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu apapun. Dan barangsiapa yang kufur sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [TMQ An-Nur (24):55]

 

Marilah juga sama-sama kita realisasikan sabda Rasulullah SAW ini dengan penuh keinsafan dan sungguh-sungguh, agar keimanan kita terus mantap, sekaligus kita meraih ganjaran yang terbesar sepertimana para awalul muslimin suatu ketika dahulu,

 

ثُمَّ تَكُوْنُ خِلاَفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّة

“Seterusnya akan muncul Khilafah di atas jalan kenabian..”[HR Ahmad dan Baihaqi]

 

Yakinlah! Dengan Khilafah, kehidupan Islam pasti terlaksana, kehidupan kufur pasti sirna. Dengannya kita benar-benar dapat terlepas daripada terkorban oleh segala bentuk kekufuran di samping membuka peluang untuk kita berkorban untuk Allah semata-mata. Itulah tujuan kita diciptakan, itulah juga perkara yang kita impikan. Semoga dengannya kita memperoleh kedudukan mulia seperti para anbia, siddiqin, syuhada dan solehin.

 

أَللّهُمَّ اغْفِرْلَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا، أَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَ الْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اَْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ

وَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ  تَحْرِيْرَ بِلاَدِ فَلِصْطِيْنِ وَاْلأَقْصَى، وَالْعِرَاقِ، وَ الشَّيْشَانَ، وَ اَفْغَانِسْتَانَ، وَ سَائِرِ بِلاَدِ الْمُسْلِمِيْنَ مِنْ نُفُوْذِ الْكُفَّارِ الْغَاصِبِيْنَ وَ الْمُسْتَعْمِرِيْنَ.
 

اَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْهُدَى وَ التُّقَى وَ الْعَفَافَ وَ الْغِنَى نَاتِجَةً مِنْ صِيَامِنَا وَ اجْعَلْهُ شَافِعًا لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِإِذْنِكَ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
 

أَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ دَوْلَةَ الْخِلاَفَةِ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ تُعِزُّ بِهَا اْلإِسْلاَمَ وَاَهْلَهُ وَتُذِلُّ بِهَا الْكُفْرَ وَاَهْلَهُ، وَ اجْعَلْناَ مِنَ الْعَامِلِيْنَ الْمُخْلِصِيْنَ بِإِقَامَتِهَا
 

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِنْ لَمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّا مِنَ الْخَاسِرِيْنَ، أََللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا دُعَائَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَرُكُوْعَنَا وَسُجُوْدَنَا، أَللّهُمَّ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
 

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا اِنْ نَّسِيْنَآ اَوْ اَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَآ اِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَالاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْلَنَا وَارْحَمْنَا اَنْتَ مَوْلاَنَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَاِفِرِيْنَ
 

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَسُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، كُلُ عَامٍ وَ أَنْتُمْ بِخَيْر