Khutbah Eidulfitri 1431H
KEMBALI PADA SYARI’AH & KHILAFAH:
KUNCI KEMENANGAN UMAT ISLAM
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
(3X) الله أكبر الله أكبرالله أكبر
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ هُوَ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ جَعَلَ الْيَوْمَ عِيْدًا لِلْمُسْلِمِيْنَ، وَحَرَّمَ عَلَيْهِمْ فِيْهِ الصِّيَامَ، وَنَزَّلَ الْقُرْآنَ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ، وَهُوَ خَيْرَ النِّعَمِ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ لاَنَبِيَّ بَعْدَهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مَنِ اصْطَفَى، مُحَمَّدٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ، وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ وَالاَهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَياَ عِبَادَ اللهِ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
وقال الله تعلى
Sidang jamaah rahimakumullah,
Dalam ayat 110 daripada surah Ali-Imran yang saya bacakan tadi membawa maksud, kita (umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang Allah ta’ala utuskan di kalangan umat manusia disebabkan kita melaksanakan tiga perkara; yang pertama, kita menegakkan kema’rufan. Yang kedua, kita mencegah kemungkaran. Dan yang ketiga, kita tetap dalam keimanan yang kukuh terhadap Allah SWT. Namun pada hari ini, tanggal 1 Syawal 1431H, mimbar ingin bertanyakan kepada sidang jamaah sekalian, adakah kita semua berada di kedudukan yang sebenar sepertimana yang Allah sebutkan di dalam ayat ini? Atau adakah kita telah terkeluar daripada tuntutan yang terdapat padanya? Marilah sama-sama kita renungkan dan memuhasabah diri masing-masing.
Sidang jamaah dikasihi sekalian,
Sama ada kita sedar ataupun tidak, mutakhir ini, Islam dan umatnya masih terus menerus dihina oleh musuh-musuh Islam. Bahkan unsur penghinaan juga muncul dari kalangan umat Islam sendiri, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Kita dapat melihat apa yang berlaku di New York baru-baru ini, sekumpulan manusia yang anti-Islam telah melaungkan slogan-slogan kufur yang menghina Islam dan umat ini. Begitu juga di Bradfrod, England. Yang terbaru, kita mendapat penghinaan yang keji daripada pengguna laman sosial Facebook dan yang seumpama dengannya. Apakah punca sebenar kepada permasalahan ini? Adakah kita redha dengan hanya berdiam diri dan menyembunyikannya di dalam hati? Inilah keadaan realiti umat Islam pada hari ini, kita dihina oleh musuh-musuh kita, tetapi kita tidak mampu untuk bergerak menghadapi mereka.
Di Palestin, senjata-senjata Israel tidak pernah sunyi daripada meletus dan mengorbankan saudara-saudara kita di sana. Rundingan demi rundingan yang diketuai oleh para pemimpin pengkhianat terus mendapat liputan media massa di seluruh dunia. Namun, itu semua tidak pernah menghentikan pembunuhan di sana sini. Tangan-tangan kita terus menghulurkan bantuan makanan dan perubatan, tetapi adakah itu semua dapat ataupun telah menghentikan kebiadaban makhluk terkeji rejim Israel laknatullah itu? Sama juga halnya di Iraq, adakah telah selesai pertumpahan darah suci kaum Muslimin daripada serangan kejam tentera kuffar Amerika Syarikat? Sedangkan kita masih lagi dapat mengikuti berita-berita duka di kaca TV dan di dada-dada akhbar mengenai kematian umat Islam di sana akibat penjajahan negara pengganas nombor satu di dunia itu sejak perang Teluk pada tahun 1989. Turut mewarnai berita-berita duka kaum Muslimin; di Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Mindanao, Selatan Thai termasuk di Pakistan yang masih tenat dengan musibah banjir! Tentera-tentera musuh terus mara membedil dan menyembelih kaum Muslimin tanpa simpati. Tetapi kehinaan ini masih belum dapat ditebus dan dibalas!
Sidang jamaah yang dirahmati Allah,
Dari aspek ekonomi, pada hari ini kita dapat melihat, tidak ada satu pun belahan dunia Islam yang menampilkan cara hidup yang makmur melainkan masing-masing masih lagi dijajah dengan ekonomi kufur melalui sistem kapitalisme, di mana hak manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup dinafikan. Yang miskin terus ditindas, diperkotak-katikkan, dieksploitasi dan dianiaya oleh golongan yang kaya. Kita dapat melihat kesengsaraan saudara-saudara kita di Afrika yang berdepan dengan masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan. Kita melihat di Indonesia yang menghadapi kemelaratan yang melampau terutamanya selepas berlakunya renjatan ekonomi akibat krisis matawang dunia baru-baru ini. Kita juga dapat melihat betapa kos sara hidup hari ini semakin meningkat sedangkan jumlah pendapatan seisi rumah masih berada di tahap lama. Institusi perbankan riba semakin mengukuh dan berleluasa. Jumlah hutang baik di sisi individu mahupun negara terus naik mencanak. Kejatuhan nilai matawang akibat serangan para spekulator dalam pasaran matawang terus membimbangkan dan banyak lagi fakta-fakta runsing dan gawat tentang ekonomi yang menunjukkan bahawa semua ini tidak akan menemui jalan penyelesaian. Ternyata kita umat Islam masih lagi terkebelakang, bukan terkehadapan! Kita masih belum mencapai umat yang terbaik seperti yang dinyatakan dalam hal ini.
Bagaimana pula dengan aspek sosial? Gejala buang bayi, zina, hamil luar nikah, peningkatan jumlah perceraian, sumbang mahram, rogol dan sebagainya masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pengurangan melainkan peningkatan! Statistik yang membimbangkan ini terus menghantui kita kerana biar apapun strategi dan langkah yang diambil, ia tetap berlaku dan terus bertambah dari sehari ke sehari. Kita tetap belum dapat menyelesaikannya. Kita tidak mungkin menduduki posisi umat yang terbaik berbanding yang lain dalam aspek ini.
Sidang jamaah yang dikasihi,
Segala permasalahan yang disebutkan tadi terus berlaku dan memuncak akibat daripada 3 sebab;
Yang pertama, ia adalah akibat daripada kelalaian kita sendiri sebagai umat Islam terhadap peraturan hidup. Kita telah dibius dengan cara hidup sekular, melalui cara hidup barat yang memisahkan agama daripada kehidupan. Kehidupan jenis ini sangat rosak lagi merosakkan kerana ia tidak diatur oleh wahyu yang diturunkan kepada umat manusia melalui Al-Quran dan Sunnah RasulNya. Kita tidak mengambil syariah itu secara sepenuhnya, tetapi sebaliknya kita memisah-misahkannya lalu menjadikannya berjuzuk-juzuk. Disebabkan sekularisme, dakwah yang berlaku di kalangan kita pada waktu ini bukan lagi merupakan dakwah yang menyeluruh, tetapi hanya tertumpu dalam hal-hal tertentu sahaja iaitu aqidah, ibadat (seperti thaharah, solat, puasa, sedekah, zakat, haji) dan juga akhlak. Sedangkan soal politik, sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem sosial, jihad dan sebagainya tidak lagi dilihat sebagai suatu kewajiban yang wajib untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian kerana itu semua telah dipisahkan oleh sekularisme melalui ejen-ejennya. Kesannya, kita mengamalkan Islam secara sebahagian dan mengambil peraturan hidup kufur untuk menampung sebahagian kehidupan kita yang lain.
Yang kedua, adalah akibat daripada munculnya para pemimpin khianat yang sentiasa mengkhianati kita umat Islam. Dalam segenap perkara kita dapat menyaksikan sendiri pengkhianatan mereka dengan mata kepala kita, sepertimana yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir dan wilayah-wilayah Islam yang lain yang sedang diserang dan diperangi oleh musuh-musuh Islam, para pemimpin pengkhianat ini masih merantai dan memenjara kekuatan tentera umat Islam daripada berjihad dalam menentang kekuatan kuffar di luar sana! Begitu juga dengan penerapan ekonomi kapitalisme, para pemimpin pengkhianat ini sentiasa mencari-cari peluang untuk meningkatkan kekayaan dan kemakmuran ekonomi di kalangan kroni-kroni mereka sahaja, sedangkan rakyat terus menerus dibiarkan menderita dan dihimpit dengan tekanan hidup yang bersangatan. Harta kekayaan umat terus dirompak dengan cara yang profesional serta mereka mencabuli hak hidup jamaah kaum Muslimin. Itulah jiwa mereka, menindas dan mengkhianati rakyat! Selain itu, mereka juga terus membiarkan gejala sosial meningkat kerana itulah peluang untuk mereka membentuk projek-projek pembaikan yang memakan kos yang tinggi! Demi Allah, merekalah pengkhianat yang mengkhianati umat Islam. Mereka redha dengan kuffar barat tetapi mereka memusuhi Islam dan umatnya, biarpun wajah dan nama mereka sama seperti kita! Kepimpinan mereka perlu segera ditolak agar pengkhianatan mereka ini dapat dihentikan dengan serta-merta.
Yang ketiga, adalah akibat daripada kehilangan pelindung dan perisai, yakni negara Islam, Khilafah. Sepertimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya, bahawa “Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai, di mana daripada belakangnya umat berperang, dan dengannya umat berlindung (riwayat Ahmad). Sejak daripada tahun pertama Hijriyah, Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. telah bersama-sama berjuang dan membina sebuah negara Islam di Madinah. Pemerintahan negara Islam ini diteruskan oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin, dan kemudian disambung dan diteruskan pula oleh para Khalifah sesudah mereka melalui Bani Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah, sehinggalah akhirnya diruntuhkan pada tanggal 28 Rejab 1342H di Turki. Dahulu, negara Islam Khilafah memayungi kehidupan umat Islam dan seluruh manusia dengan penuh keadilan dan kemakmuran. Tetapi setelah runtuhnya Khilafah Uthmaniyah yang terakhir di Turki, maka bermulalah detik hitam yang mengundang segala kesengsaraan hidup bagi seluruh umat manusia, khususnya umat Islam, sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Umat Islam telah hilang pelindung dan perisainya, syariah Islam sudah tidak lagi menjadi sistem dan peraturan hidup yang mampu membahagiakan kita semua.
Sidang jamaah rahimakumullah,
Satu-satunya jalan keluar daripada seluruh permasalahan besar umat ini adalah dengan kita kembali menempatkan semula syariah dan Khilafah dalam kehidupan kita. Inilah satu-satunya sistem yang yang sempurna yang telah dikurniakan oleh Allah melalui RasulNya kepada kita. Usahlah kita berlengah lagi daripada berusaha untuk mengembalikannya. Yakinlah saudara-saudara, bahawa dengan cara ini sahajalah kehidupan kita kembali menjadi mulia dan diredhai oleh Allah SWT. Ini juga merupakan janji daripada Allah dan RasulNya. Kita wajib untuk kembali menghayati tsaqafah Islam melalui kelas-kelas pembinaan serta menyebarluaskannya kepada umat agar ia kembali menjadi peraturan hidup kita. Kita juga wajib untuk membai’at seorang Khalifah daripada kalangan kita umat Islam, di mana dengan keberadaannya, ia akan menerapkan seluruh hukum-hukum Allah serta membuang segala peraturan kufur daripada kehidupan kita. Demi Allah, usaha ini bukan suatu pilihan dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Ia merupakan suatu kewajipan yang utama di samping kewajipan fardiyah yang lain.
Wahai kaum Muslimin! Bertaqwalah kepada Allah, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang sejati. Janganlah kalian mengabaikan ketaqwaan kepadaNya walau sesaat kerana ketaqwaanlah yang menjadi perisai diri daripada terjerumus kepada kemaksiatan dan dosa. Kerjakanlah segala perintah Allah. Jauhilah kalian daripada kemungkaran dan kemaksiatan kepadaNya. Takutlah kalian kepada balasan di Hari Akhirat kelak, hari di mana tidak berguna lagi harta, takhta dan warisan. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu kita kecuali segala amalan perbuatan kita semasa di dunia. Adakah bekalan kita semua telah cukup dalam ingin berhadapan dengan Allah azza wa jalla di padang mahsyar kelak?
Sesungguhnya kalian adalah umat Islam, kalian wajib hidup sebagai umat yang satu. Diharamkan bagi kalian untuk berpecah-belah. Sekiranya kalian sudah mulai sedar, maka berusahalah untuk menyatukan kembali umat yang berpecah ini menjadi satu. Tegakkan kembali kemaarufan dengan syariah Islam. Dan cegahlah setiap kemungkaran dengan kekuatan dan kekuasaan. Semua ini tidak mungkin berlaku selagi kalian tidak bangkit. Semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan selagi kalian hidup dalam perpecahan. Maka usahakanlah penyatuan umat ini dengan aqidah dan syariah. Sedarlah kalian wahai kaum Muslimin, bahawa sesungguhnya kemuliaan itu hanya wujud bersama Islam. Dan Islam tidak akan berdiri tanpa syariah. Kekuatan dan kekuasaan syariah hanya ada pada sebuah negara, iaitulah Daulah Khilafah Islamiyyah Ar-Rasyidah. Kalian tidak ada jalan lain untuk kembali mulia selain daripada bersama Islam dengan mendirikan semula Daulah Islam yang telah diruntuhkan dahulu. Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya dan janganlah kalian bersengketa sesama sendiri. Mohonlah keampunan dan kemudahan daripada Allah azza wa aalla. Semoga kalian memperoleh keredhanNya, di dunia mahupun di akhirat.
Janganlah kalian lupa, penuhkanlah setiap langkah kalian di muka bumi ini dengan kalimah suci. Berzikirlah kepadaNya serta berselawatlah ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan hidup kita semua diberkati Allah dan beroleh kemenangan. Wallahua’lam.