Khutbah Jumaat: Mencari Lailatul Qadar, Malam Seribu Bulan Yang Barakah

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِي فَتَحَ أَبْوَابَ الْجَنَّةِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ الَّذِيْ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ.

أَشْهَدُ أَنْ لَااِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ شَهَادَةً تُنْجِي قَائِلَهَا مِنَ النِّيْرَانِ.

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.

أمَّا بَعْدُ. فَيَا أيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .

وَقَالَ تَعاَلَى: إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ . وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ . لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ .تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر

Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah,

Khatib menyeru kepada kalian, bertakwalah kepada Allah. Bertakwalah dengan sebenar-benar takwa, dengan mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua memperoleh keredaan Allah seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah,

Diam tidak diam, sedar tidak sedar, kita sedang memasuki fasa asyrul awakhir, yakni 10 hari terakhir di bulan Ramadan. Tidak terasa begitu cepatnya masa berlalu. Tambahan pula, kemeriahan Ramadan tahun-tahun lalu yang tertunda akibat pandemik, kini kita dapat rasai dengan lebih nikmat pada tahun ini. Malam-malam terakhir Ramadan adalah sesuatu yang mesti dimanfaatkan sebaiknya. Para ulama telah menukilkan bahawa pada 10 malam terakhir inilah yang akan berlakunya malam al-Qadar. Lailatul Qadar telah disebutkan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah:

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ(٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَهْرٍ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذۡنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ (٤)  سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan tahukah kamu apakah itu malam al-Qadar? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan(3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.(5)”

   (Surah al-Qadar ayat 1 hingga 3)

Imam as-Suyuti di dalam kitabnya Asbabun Nuzul menukilkan bahawa Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Mujahid dan ia mengatakan: “”Dahulu dalam bani Israel, ada seorang lelaki yang qiyamullail, solat malam sehingga waktu Subuh. Kemudian, dia juga berjihad memerangi musuh pada waktu siang hingga malam menjelang. Dia melakukan hal itu selama seribu bulan. Maka Allah Subhanahu Wa Taala menurunkan ayat; ‘Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan’, iaitu lebih baik daripada yang dikerjakan oleh lelaki dari bani Israel tersebut.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Siapa sahaja di sini yang telah beramal baik dan beribadah terus-menerus selama seribu bulan? Atau yang sedang dalam proses untuk menggenapkan amal jariahnya sehingga seribu bulan? Di sela-sela masa kita sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, bekerja, berinteraksi antara satu sama lain, usahkan seribu bulan, bahkan untuk beramal sehari semalam pun dirundung kepayahan dan kelelahan. Namun Allah (swt) dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita, Umat Muhammad (saw), telah menganugerahkan satu malam yang boleh menyerupai seribu bulan jika kita beramal di dalamnya. Apakah istimewanya malam al-Qadar ini? Setidak-tidaknya keistimewaan malam tersebut boleh dilihat dari tiga sisi sebagaimana dalam surah al-Qadar yang telah dibacakan Khatib sebentar tadi.

Pertamanya, inilah malam yang dijelaskan seperti ayat di atas, malam turunnya al-Quran. Al-Quran menjadi titik perubahan awal zaman jahiliyah dan kehidupan baru manusia. Turunnya al-Quran maka bermulalah dinul Islam yang menjadi anutan umat Rasulullah (saw). Abu Bakar al-Warraq mengatakan: “Malam itu dinamakan Lailatul Qadar kerana pada malam itu diturunkan al-Quran yang mempunyai kedudukan yang tinggi, dibawa malaikat yang berdarjat tinggi, kepada Rasul yang juga memiliki darjat yang tinggi, untuk disampaikan pula kepada umat yang tinggi”.

Kedua, pada malam itu turunnya banyak malaikat disertai Jibril (as). Imam al-Qurtubi menyatakan para malaikat turun ke langit dunia untuk mengaminkan doa para manusia yang beribadah pada malam hari hingga ke waktu fajar tiba.

Ketiga, ad-Dahak seperti yang dinukilkan al-Qurtubi menafsirkan bahawa Allah tidak menetapkan apapun di malam ini kecuali keselamatan sahaja, sedangkan malam-malam lainnya silih berganti antara keselamatan dan musibah. Lalu ditafsirkan lagi bahawa malam tersebut merupakan malam keselamatan kerana syaitan tidak dapat memberi pengaruh buruk kepada orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan. Begitulah, tidak dapat kita bayangkan hakikat kemuliaan malam tersebut.

Sidang Jumaat sekalian,

Meskipun terdapat perbezaan pendapat mengenai bilakah berlakunya Lailatul Qadar, kita sebagai umat Islam yang telah beramal sejak awal seharusnya istiqamah dan menggandakan amalan kita. Bahkan petanda daripada hadis-hadis Nabi (saw) juga menunjukkan peluang besar berlakunya pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam ganjil. Maka, adalah wajar bagi kita menggarap sebaik-baik usaha kita untuk menghidupkan malam-malamnya, sebagaimana yang dicontohkan suri tauladan baginda Rasulullah (saw). Diriwayatkan dari Aisyah (r.anha), katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah ﷺ apabila masuk pada sepuluh terakhir (Ramadan), Baginda ﷺ akan menghidupkan malamnya, mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)”

    (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, pada sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, marilah kita hidupkannya dengan amalan-amalan nafilah sebanyak mungkin, di samping melaksanakan segala amalan yang wajib. Yakni amalan-amalan seperti tahajjud, qiyamullail, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, tidak semua antara kita yang dapat melapangkan setiap waktu pada malam hari di bulan ini. Ada yang sibuk dengan urusan mencari nafkah yang diwajibkan, bertugas dan bekerja dengan memenuhi tuntutan akad, ataupun berkhidmat untuk melayan kebajikan orang tua yang uzur, mahupun yang kelelahan setelah segala tenaganya dihabiskan pada waktu siang hari. Namun Insya Allah, semua amalan ini juga akan diganjarkan oleh Allah dengan berlipat kali ganda. Ingatlah, malam hari al-Qadar itu sudah bermula sejak awal malam. Jika dapat, kita berjemaahlah menunaikan fardu Isyak dan Subuh, sebagaimana disebutkan oleh Imamuna as-Syafie bahawa sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh pada malam Lailatul Qadar akan memperoleh kebaikannya.

Jika tidak mampu untuk berjemaah atas kekangan tertentu, setidak-tidaknya lidah kita tidak seharusnya lekang dengan berzikir dan berdoa dengan doa yang diajarkan Rasulullah (saw) iaitu:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَفَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”

 Mudah-mudahan kita tergolong sebagai orang yang mendapat kelebihan Lailatul Qadar hendaknya.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ فَاسْتَغْفِرُوْهُ وَتُوْبُوا إِلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ.


KHUTBAH KEDUA

 

اَلْحَمْدُ لله عَظِيْمِ الْإِحْسَانِ، وَاسِعِ الْفَضْلِ وَالْجُوْدِ وَالْاِمْتِنَانِ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلًّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

 أما بعد:

عِبَادَ اللهِ، فَأُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَالْاِجْتِهَادِ فِي طَاعَتِهِ وَالسَّعْيِ فِي التَّقَرُّبِ إِلَيْهِ بِمَا يُحِبُّ مِنْ صَالِحِ الْأَعْمَالِ.

Sidang Jumaat yang mulia,

Dalam kita mengejar malam al-Qadar, marilah kita muhasabah diri kita, agar kita tidak melalaikan kewajipan-kewajipan kita. Ayuh, marilah kita menjalani kehidupan kita sesuai dengan perintah Allah (swt), dengan kembali kepada syariat-Nya, baik dalam kehidupan peribadi kita, dalam bermasyarakat mahupun bernegara. Semoga Ramadan kita tidak menjadi sia-sia di sisi-Nya, amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

وَصَلُّوا وَسَلِّمُوا رَحِمَكُمُ اللهُ عَلَى إِمَامِ الصَّائِمِيْنَ وَقُدْوَةِ الْقَائِمِيْنَ وَقَائِدُ الْغُرِّ الْمُحَجَّلِيْنَ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ اللهِ كَمَا أَمَرَكُمُ اللهُ بِذَلِكَ فِي كِتَابِهِ فَقَالَ:

إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلىَ النَّبِى يآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.

اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلِّمْ وَعَلَى آلِ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَنْبِيآئِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلآئِكَةِ اْلمُقَرَّبِيْنَ.

وَارْضَ اللّهُمَّ عَنِ اْلخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ أَبِى بَكْرٍ وَعُمَر وَعُثْمَان وَعَلي وَعَنْ بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْنَ وَتَابِعِي التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَارْضَ عَنَّا مَعَهُمْ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

اَللهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَاْلمُؤْمِنَاتِ وَاْلمُسْلِمِيْنَ وَاْلمُسْلِمَاتِ اَلاَحْيآءُ مِنْهُمْ وَاْلاَمْوَاتِ،

اللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ, اللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدِّيْنِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ،

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا، وَ عَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَ الْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

رَبَّنَا آتِناَ فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَاللهِ ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُنَا بِاْلعَدْلِ وَاْلإِحْسَانِ وَإِيْتآءِ ذِي اْلقُرْبىَ وَيَنْهَى عَنِ اْلفَحْشآءِ وَاْلمُنْكَرِ وَاْلبَغْي يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ وَاذْكُرُوا اللهَ اْلعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلىَ نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرْ، وَاللّٰهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Download PDF