Kurangkan Beban Atau Selesaikan Bebanan Rakyat?
IPOH 21 Ogos – Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) sedang mengenal pasti langkah terbaik bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat akibat kenaikan harga barang.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan kurang RM3,000.
“Apa yang penting, langkah atau inisiatif yang dilaksanakan nanti dapat mencapai matlamat untuk membantu golongan tersebut dalam meringankan beban mereka,” katanya. Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan dan sumbangan raya, Teman 1Azam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini. Seramai 636 penduduk di Parlimen Tambun menerima sumbangan raya dan bantuan peralatan untuk usahawan yang kesemuanya bernilai RM680,000. Ahmad Husni berkata, kerajaan memandang serius perkara itu kerana mendapati golongan yang berpendapatan kurang RM3,000 menerima kesan secara langsung ekoran kenaikan harga barang.
Sumber : Utusan Online, 22/08/2011
Sistem ekonomi kapitalisme memandang jumlah pendapatan per-kapita sebagai asas ukuran kemakmuran ekonomi. Hakikatnya, pandangan ini sebenarnya tidak mencerminkan kemakmuran umat. Apakah pendapatan sebanyak RM3000 bagi seorang ayah yang menyara keluarga seramai 7 orang sudah mencukupi untuk menampung keperluan harian, pakaian, tempat tinggal, persekolahan, pengangkutan serta kesihatan dan keselamatan ahli jagaan beliau yang hidup di kota Metropolitan Kuala Lumpur?
Dalam Islam, yang menjadi asas perhatian bukanlah jumlah pendapatan, tetapi pemenuhan keperluan asas untuk hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Selain itu, kemudahan asas rakyat seperti air, elektrik, pendidikan dan keselamatan haruslah diberi perhatian oleh pemerintah. Ini bukan bermaksud pemenuhan keperluan asas sekelompok masyarakat tetapi ia SETIAP individu! Ini kerana, setiap jiwa yang ditanggung oleh pemerintah, akan Allah persoalkan di akhirat kelak. Tidakkah para pemimpin berasa kecut perut akan sabda Rasulullah ini?
“Tidaklah beriman kepadaku siapa saja yang tidur kekenyangan, sedangkan tetangganya kelaparan, sementara dia mengetahuinya” [HR al-Bazzar]
Dari segi pelaksanaan pula, adalah jelas bahawa pemerintah ini bukanlah berniat untuk menghapuskan bebanan rakyat, tetapi cuma sekadar “meringankan” beban mereka – itupun kalau ia benar-benar dapat diringankan! Sejak sekian lama, segala polisi yang diamalkan cumalah bersifat penyelesaian sesaat dan bukannya menyelesaikan masalah hingga ke akar umbi. Punca kepada segala masalah ini tiada lain adalah kerana penerapan sistem ekonomi buatan manusia (kapitalis) ke atas umat. Walhal, Islam memiliki penyelesaian bukan sahaja bagi masalah ekonomi, tetapi bagi setiap permasalahan yang timbul dalam kehidupan manusia. Campakkan Kapitalisme, Tegakkan Islam dan Syariat!