Laporan : Kolokium Bersama HT – Komunis ditentang, Kapitalis ditatang

5 Julai 2009, Ahad – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan kolokium bertajuk “Kolokium bersama HT – Komunis ditentang, Kapitalis ditatang” bertempat di Khilafah Centre, Seksyen 7, Bangi, Selangor DE. Kolokium bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 tengah hari. Alhamdulillah, sambutan orang ramai amat menggalakkan.

Kolokium yang julung kalinya diadakan ini membentangkan empat tajuk. Tajuk pertama,“Chin Peng dan Komunis” disampaikan oleh En Sulaiman, Penganalisis Politik Hizbut Tahrir Malaysia. Tajuk kedua pula “Apa itu Kapitalisme?” disampaikan oleh saudara Abu Hamzah pensyarah di sebuah IPTA, manakala tajuk yang ketiga adalah “Kepincangan Komunis dan Kapitalis” disampaikan oleh Prof Madya Dr Muhammad, dan pembentangan terakhir disampaikan oleh Ust. Isa Abdullah dengan tajuk “Membangun Sistem Ekonomi Islam”. Keempat-empat pembentang merupakan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia.

Dalam pembentangan yang pertama, penceramah menjelaskan serba sedikit tentang latar belakang idea serta doktrin ideologi komunis. Di samping itu, penceramah juga menjelaskan tentang kronologi kemasukan Komunis di tanah Melayu dan keterlibatan Chin Peng sebagai ‘play maker’ ideologi komunis di tanah Melayu.

Penceramah juga membincangkan pergolakan politik tanah Melayu yang berkait rapat dengan ideologi komunis. Beberapa tokoh yang beraliran komunis yang pernah aktif dalam kancah politik Malaysia juga turut diungkap oleh penceramah sebagai bukti bahawa ideologi komunis ini pernah menjadi satu fahaman yang diterima pakai oleh segelintir orang di tanah Melayu. Serta bagaimana British pernah bersekutu dengan komunis ini, dan isu komunis adalah isu yang dipropagandakan oleh penjajah kapitalis ini supaya masyarakat Tanah Melayu pada masa itu tetap setia di bawah British.

Jika penceramah pertama mengupas tuntas berkenaan ideologi komunisme, penceramah kedua pula membincangkan tentang ideologi Kapitalis dengan terperinci. Pada mukadimah awal, penceramah menjelaskan tentang doktrin ideologi Kapitalis dari perspektif seorang tokoh ahli falsafah iaitu Ayn Rand. Beberapa kepincangan dan pertentangan yang terjadi dengan idea dasar kapitalis turut dibongkar oleh penceramah. Misalnya tentang idea kebebasan dan kedaulatan seseorang individu, yang sebenarnya tidak pernah terlaksana dalam sistem Kapitalis hingga saat ini. Dengan kepincangan dan ketidaksempurnaan idea ini, menyebabkan para pemikir idea Kapitalis ini cuba untuk mengatas namakan pemerintah (kerajaan) sebagai alat untuk menjaga hak dan kebebasan setiap individu ini, yang sebenarnya tidak pernah terjadi sama sekali. Apa yang ada adalah sebaliknya, iaitu monopoli golongan pemodal dalam sistem ekonomi sesebuah negara Kapitalis. Walhasil, pemerintah yang dianggap sebagai alat untuk menyejahterakan rakyat adalah falsafah kosong yang tidak pernah terwujud.

Penceramah juga menyebutkan bahawa ideologi kapitalis adalah ideologi yang tiada pengasasnya secara tepat. Bahkan Adam Smith sendiri pun, bukanlah pengasasnya. Ideologi Kapitalis juga senantiasa berevolusi (berubah-ubah) bergantung pada realiti yang berlaku di sesuatu tempat yang diterapkannya ideologi ini. Misalnya negara Kapitalis seperti Malaysia dan Britain adalah berbeza. Walaupun kedua-duanya merupakan negara yang menerapkan ideologi yang sama. Ini merupakan salah satu bentuk kepincangan ideologi kapitalis secara dasar, bahkan dalam aspek-aspek lain yang sememangnya tidak boleh diguna pakai dalam sistem kehidupan manusia  disebabkan kepincangan asasnya itu sendiri.

Penceramah ketiga pula mengkritik kedua-dua ideologi (Komunis dan Kapitalis) dari aspek definisi dan doktrin Ideologi itu sendiri. Jika komunis itu dikatakan buruk dan jahat, maka Kapitalis juga tidak kurang hebat kejahatan dan keburukannya dari aspek penerapan sistemnya.

Penceramah menjelaskan tentang bagaimana cara (standard) untuk menentukan bahawa Ideologi yang diambil oleh setiap manusia itu dikatakan sahih. Pertama, haruslah berdasarkan oleh akal yang diproses oleh pemikiran. Dengan kata lain, manusia haruslah menggunakan akalnya untuk mencari kebenaran, dan tidak boleh bertaklid. Kedua, Ideologi itu juga haruslah memuaskan akal, bersesuaian dengan fitrah manusia dan menenangkan jiwa. Jadi, ideologi Komunis dan Kapitalis secara jelas menunjukkan bahawa ia langsung tidak pernah memuaskan akal dan bersesuaian dengan fitrah manusia, bahkan tidak pernah menenangkan jiwa manusia yang ada di dalamnya.

Kolokium diteruskan dengan sesi pembentangan keempat yang dibentangkan oleh Ust. Isa Abdullah berkenaan Sistem Ekonomi Islam. Beliau menjelaskan berkenaan kehebatan sistem ekonomi Islam yang tidak ada pada mana-mana Ideologi selain Islam. Penceramah juga mengkritik hebat para pengamal idea Kapitalis yang identitinya adalah beragama Islam, tetapi sistem muamalatnya sama sekali bertentangan dengan hukum syara’ itu sendiri.

Penceramah menjelaskan bahawasanya rezeki yang ada di bumi ini tidak pernah ‘tidak cukup’ untuk manusia. Ini kerana Allah SWT telah melimpahkan nikmat rezekinya di dunia secara melimpah ruah. Apa yang diperlukan adalah sistem pengagihan (distribusi) yang harus dijalankan mengikut ketentuan syara’ dan bukan yang lainnya. Jika ini tidak berlaku, maka akan berlakulah berbagai-bagai kerosakan seperti dominasi dan penompokan harta, seperti yang terjadi di dalam sistem Kapitalis pada saat ini. Ini kerana, falsafah ekonomi idea kapitalis menginginkan agar mereka senantiasa menciptakan suatu barangan (supply) yang banyak dalam rangka untuk memenuhi keinginan pengguna.

Pada keempat-empat pembentangan, peserta diberi peluang untuk mengajukan sebarang permasalahan dan alhamdulillah beberapa peserta telah mengajukan soalan. Persoalan-persoalan yang diajukan telah dapat dijawab oleh penceramah dan peserta dapat menerima dan memahaminya dengan baik. Peserta juga secara umumnya mengharapkan agar Khilafah segera tertubuh supaya syariah dapat dilaksanakan dan umat manusia dapat hidup dalam kesejahteraan. Umat Islam juga akan hidup dalam keredhaan Allah dengan penuh kemuliaan. Jika Komunis ditentang, seharusnya Kapitalis juga ditentang bahkan ditendang. Yang ditatang dan diharapkan hanyalah Khilafah Islamiyah. Majlis akhirnya ditutup dengan bacaan doa oleh Ust Sulaiman.