Lebanon semakin tegang

Beirut 14 Feb. – Beribu-ribu penduduk Lebanon dari dua kumpulan yang bermusuhan menghadiri perarakan peringatan utama ketika memuncaknya ketegangan.

Disatu pihak memperingati ulang tahun ketiga pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq al-Hariri dan satu lagi kumpulan lain berkumpul untuk upacara pengebumian seorang komander Hizbullah, Imad Mughniyeh tidak jauh dari situ.

Operasi keselamatan secara besar-besaran juga dijalankan di ibu negara berikutan kebimbangan berlakunya pertempuran antara penyokong pro-Syria dan anti-Syria ketika negara ini sudah bergolak tanpa Presiden dan Parlimen yang berfungsi.

Sementara itu, Israel meletakkan kedutaan dan juga pewakilannya di seluruh dunia dalam keadaan berjaga-jaya peringkat tertinggi selain meningkatkan kehadiran tentera di sempadan Lebanon sebagai reaksi kepada kematian Imad.

Dalam perkembangan yang lain, .Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush mengarahkan sekatan kewangan diperluaskan terhadap para pegawai kanan Syria dan sekutu mereka dalam usaha terbaru beliau meningkatkan tekanan ke atas Damsyik.

Langkah itu bertujuan membekukan aset milik para pegawai yang dipercayai bertanggungjawab “cuba menggugat kestabilan Iraq atau terlibat dengan rasuah di Syria,” menurut White House semalam.

Bush juga mengulangi dakwaan AS bahawa Syria mencampuri urusan Lebanon dan menimbulkan masalah bagi kerajaan pro-Barat di Beirut.

Damsyik berkali-kali menafikan dakwaan oleh Washington yang lama cuba memencilkan Syria dari segi diplomatik.

Tentera Syria berundur dari Lebanon akibat tekanan antarabangsa berikutan pembunuhan Rafiq al-Hariri pada 2005, tetapi AS menuduh Syria terus mencampuri urusan Syria.

AS mengenakan sekatan ekonomi ke atas Syria pada 2004 disebabkan sokongannya terhadap pergerakan Hizbullah di Lebanon dan kumpulan pejuang Hamas di Palestin.

– Agensi

Sumber: Utusan Malaysia 15/02/08

Ulasan:

Nampaknya umat Islam terus bertelagah sesama sendiri dan puak kuffar pula terus mengambil kesempatan atas apa yang berlaku untuk menguatkan lagi tekanan mereka ke atas umat ini. Kefanatikan terhadap pemimpin telah sekian lama menyebabkan umat Islam berpecah hingga ke tahap mereka sanggup berperang kerananya. Keadaan ini diperparah dengan adanya nation states (negara bangsa) yang mana masing-masing pihak cuba untuk berkuasa di negara masing-masing. Bukan setakat ini, mereka malah membenci dan sanggup berperang dengan saudara mereka yang berada di negara yang lain, walaupun kedua-duanya mengucapkan kalimah tauhid yang sama.

Beginilah keadaan umat Islam apabila tidak adanya seorang Khalifah yang mengurus mereka. Mereka (umat Islam) tidak lagi diatur dengan hukum Allah, tetapi telah diatur dengan sistem kufur oleh pemerintah/ketua masing-masing. Maka muncullah pelbagai kejahatan di dalam tubuh umat ini apabila yang mengawal mereka adalah hukum kufur, bukannya hukum yang datang dari langit.

Semoga Khilafah akan segera berdiri dan menyatukan semula kaum Muslimin di seluruh pelosok dunia di bawah satu kepimpinan yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunah RasulNya.