Lebih 100 Penuhi Khilafah Centre

 
muna-01Bandar Baru Bangi 14 Nov – Sekali lagi Khilafah Centre dipenuhi umat Islam yang prihatin  tentang isu-isu yang menyentuh Islam dan kaum Muslimin. Munaqashah (Diskusi) November yang diadakan kali ini mengangkat tajuk “Dialog Antara Agama: Perangkap Kuffar Ke Atas Islam”. Sebanyak 120 kerusi yang disediakan dipenuhi oleh muslimin dan muslimat.

Munaqashah kali ini sekali lagi menghadirkan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman selaku Presiden Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan juga Ustaz Abu Hafiz Ismail, Naqib HTM Kawasan Bangi.

Abu Hafiz membentangkan sejarah dan realiti dialog antara agama yang berlaku di dunia serta menjelaskan bagaimana ia sebenarnya merupakan perangkap Barat ke atas umat Islam. Hal ini bukan sahaja terbukti dari perancangan tersusun yang mereka buat, malah ia terlihat jelas dari deklarasi atau kata sepakat yang dicapai di akhir setiap dialog.

Abdul Hakim selaku ahli panel kedua membawa nas-nas dari Al-Quran dan Hadis yang menerangkan tentang sifat permusuhan, kedengkian dan kejahatan puak kuffar khususnya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ke atas Islam dan kaum Muslimin. Berdasarkan nas yang dipaparkan, terbukti bahawa segala ‘kebaikan’ yang cuba ditunjukkan oleh puak kuffar ini hanyalah semata-mata penipuan yang nyata dan merupakan perangkap mereka ke atas umat Islam agar umat ini terus berada di bawah telunjuk mereka.

Kedua-dua ahli panel telah mengingatkan para hadirin agar berhati-hati dengan dialog antara agama yang cuba mencari persamaan atau titik temu di antara agama Islam dan agama-agama lainnya. Apa yang perlu dilakukan dengan puak kuffar adalah berdebat dengan menjelaskan kebenaran (Islam) dan kebatilan/kesesatan agama selain Islam, bukannya berdialog untuk mencari titik persamaan, tegas kedua-dua ahli panel.

Majlis kemudiannya disusuli dengan soal-jawab yang menyaksikan ramai hadirin yang mengambil bahagian untuk meluahkan pendapat masing-masing serta melontarkan beberapa persoalan. Majlis ditutup dengan bacaan doa sekitar jam 1.10 petang.

HTM dan Khilafah Centre dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dan hadir di dalam Munaqashah kali ini. Semoga Allah mencatatnya sebagai sebuah amal soleh untuk bekal kita di akhirat nanti. Amin ya Rabbal Alamin.

muna-01

muna-02

muna-03

Munaqashah “Dialog Antara Agama: Perangkap Kuffar Ke Atas Islam”