Mahathir kata semua saluran sudah tertutup, benarkah?

Gambar BL 210416 (2)Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara bersama akhbar Australia baru-baru ini berkata, hanya tinggal sedikit harapan Najib akan berundur tanpa tekanan luar. Mahathir dipetik oleh The Weekend Australia sebagai berkata, “Kebiasaannya saya tidak suka campur tangan asing dalam urusan Malaysia tetapi saluran untuk kami membetulkan keadaan telah ditutup sepenuhnya. Jadi sekarang kita kena beri laluan kepada campur tangan asing dalam urusan domestik kita. Jika ia sah, ya. Jika mereka ada maklumat, mereka mesti memberikan maklumat dan jika ada penggubahan wang haram, jika kerana membabitkan Najib, itu tidak bermakna mereka mesti menangguhkan undang-undang itu,”

Mahathir bagaimanapun menafikan yang beliau cuba menjatuhkan Najib dengan meminta campur tangan asing. “Saya tidak meminta kerajaan asing campur tangan. Apa yang saya kata ialah kesemua saluran untuk memperbaiki keadaan di negara ini telah ditutup oleh Najib. Jadi, saya akan memberitahu hal ini kepada wartawan asing”, ujar bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

Walaupun negara ini dalam keadaan buruk, sesungguhnya campur tangan asing (negara kafir) dalam negara, dalam urusan apa sekalipun, bukanlah suatu yang baik, malah akan memburukkan lagi keadaan. Tindakan meminta campur tangan asing (kafir) dalam urusan negara boleh menyebabkan orang-orang kafir menguasai negara sama ada secara langsung mahupun tidak, satu keadaan dilarang oleh Islam. Firman Allah SWT,

“Dan Allah sesekali tidak akan memberi jalan orang kafir untuk menguasai orang Mukmin” [TMQ An-Nisa (4): 141].

Sekali imbas, kenyataan Dr Mahathir bahawa semua saluran sudah tertutup seakan mengandungi kebenaran, melihatkan kepada ruang siasatan ke atas Najib dalam skandal yang dihadapinya, telah ditutup sepenuhnya. Najib bagaimanapun pernah berkata bahawa siapa pun yang ingin menjatuhkannya perlu tunggu pilihan raya sebagai satu-satunya saluran yang sah untuk berbuat demikian.

Apakah Mahathir tidak mengetahui bahawa Najib boleh dijatuhkan melalui pilihan raya? Adakah Mahathir lupa bahawa Malaysia adalah negara demokrasi? Adakah Mahathir lupa bahawa pilihan raya umum ke-14 bakal diadakan selewatnya pada 2018 nanti? Atau sebenarnya Mahathir sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan raya, yang sesungguhnya hanya merupakan satu sistem yang penuh penipuan dan kebusukan dalam menutupi segala keburukan pemerintah?

Kepada Dr Mahathir yang mungkin sudah kecewa dan putus asa, ingatlah bahawa Islam sentiasa memberi jalan keluar kepada setiap permasalahan, baik kecil mahupun besar. Namun, jika berpaling dari Islam, sudah pasti kehidupan terasa amat sempit dan buntu, sebagaimana firman Allah SWT,

“Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20):124].

Jadi, satu-satunya jalan keluar kepada setiap masalah ialah kembali kepada Islam, kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Begitulah juga jalan untuk menghilangkan kezaliman atau menjatuhkan Najib, satu-satunya cara yang benar ialah cara Islam, bukannya dengan cara deklarasi, demonstrasi, demokrasi, penggulingan kuasa (kudeta) dan seumpamanya. Sebagaimana Mahathir yang pernah melakukan kezaliman di zamannya dan mesti diadili, Najib juga hanya akan mendapat pengadilannya apabila Islam diterapkan.

Selagi Mahathir dan siapa sahaja mengembalikan permasalahan kepada asing (orang-orang kafir) atau kepada demokrasi atau kepada Perlembagaan ciptaan orang kafir atau kembali kepada apa sahaja selain daripada Allah dan Rasul, maka kehidupan dunia akan terus menjadi sempit baginya dan lebih buruk, di akhirat nanti akan menerima azab yang pedih dari Allah Azza wa Jalla. Na’uzubillah min zalik.