Majlis Iftar Ramadhan syabab HTM di STAM, Sg. Ramal Dalam, Kajang

Pada 19 Ramadhan 1429H  bersamaan  dengan 19 September 2008, syabab Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan majlis iftar Ramadhan di School of Tahfiz and Arabic Malaysia (STAM) di Sg. Ramal Dalam, Kajang. Program bermula seawal 5.45 petang dengan tayangan video  “ Ila Mata “ yang disaksikan oleh para pelajar, guru-guru dan juga ibubapa dengan penuh khusyuk selama 45 minit. Setelah itu para hadirin disajikan pula dengan pameran Khilafah. Pameran Khilafah tersebut mengisahkan tentang Zaman Pembentukan Daulah Khilafah, Zaman Kebangkitan Daulah Khilafah, Zaman Kejatuhan Daulah Khilafah, Zaman Kesengsaraan Dunia Tanpa Khilafah dan Zaman Kebangkitan Semula Daulah Khilafah di seluruh dunia yang menyeru dengan satu seruan agar Khilafah yang kedua kalinya didirikan semula. Selain itu,  pemeran buku- buku tsaqafah  Islam juga turut diadakan.

Apabila azan Maghrib berkumandang ke udara tanda masuknya waktu berbuka puasa, para syabab dan para hadirin disajikan pula dengan jamuan iftar Ramadhan yang ringan dan berat secara serentak. Selesai sahaja sholat Maghrib secara berjamaah, para jamaah diperdengarkan pula dengan  tazkirah ringkas daripada Presiden HTM iaitu Al Fadhil Ustaz Abdul Hakim Othman yang bertajuk “Al Quran Sebagai Panduan Hidup”. Dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan tentang peri penting dan wajibnya bagi umat Islam mengembalikan hukum- hukum yang terkandung di dalam Al- Quran agar diterapkan di dalam kehidupan sehari-harian dan bukan sekadar untuk dibaca sahaja. Dengan kata lain menjaga pelaksanaan hukum-hukum Al-Quran secara total dan tidak hanya menjaga “fizikal” Al-Quran semata-mata. Tambah beliau lagi, umat Islam perlu meletakkan Al Quran di tempat yang sepatutnya iaitu sebagai qiyadah fikriyah, sesuai dengan sifat Al Quran tersebut sebagai petunjuk, penjelas dan pembeza bagi yang hak dan batil.

Selesai sahaja tazkirah, sholat Isyak pun didirikan dan setelah itu diikuti pula dengan sholat tarawikh yang dipimpin oleh guru STAM. Pameran Khilafah disambung semula selepas sholat tarawikh dengan sambutan dan respon daripada para hadirin yang amat menggalakkan. Di akhir pameran sedikit cendera mata daripada HTM telah disampaikan oleh Presiden HTM kepada pihak  STAM. Majlis berakhir sekitar pukul 10.30 malam dan jamuan moreh disediakan untuk semua yang hadir. Di kesempatan ini, HTM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengetua STAM dan Pengerusi PIBG STAM kerana memberi keizinan dan kerjasama kepada syabab HTM mengadakan pameran Khilafah dan tazkirah. Tidak dilupakan juga jutaan terima kasih daripada HTM kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharap kerjasama sebegini dapat terus disemai, agar ukhuwah Islam semakin erat dan kesedaran Islam di kalangan umat  semakin tersebar luas.