Makna Sebenar Kejayaan bagi Umat Islam

(Terjemahan)

Dalam dunia hari ini, kejayaan sering diukur melalui pertumbuhan ekonomi, pengaruh politik, kemajuan teknologi dan pematuhan kepada prinsip demokrasi moden. Banyak negara mentafsirkan kemajuan melalui konsep seperti kebebasan liberal, kesamarataan gender dan pengiktirafan antarabangsa. Namun begitu, sebagai umat Islam, sudut pandang kita terhadap kejayaan tidak seharusnya ditentukan oleh penanda aras luaran ini. Sebaliknya, kita mesti menyelaraskan pemahaman kita tentang kejayaan sebagaimana Allah (swt) mendefinisikannya dalam al-Quran dan Sunnah.

Kejayaan sejati dalam Islam tidak diukur melalui kekayaan material, kuasa, atau kesetiaan kepada ideologi Barat. Sebaliknya, ia terletak pada kepatuhan kepada perintah Allah, pelaksanaan hukum-Nya, serta pegangan kepada prinsip akhlak dan etika Islam. Umat Islam seharusnya berusaha membina sebuah masyarakat yang dipandu oleh keadilan, ketakwaan dan pematuhan kepada undang-undang Ilahi – bukan mencari pengiktirafan daripada institusi sekular atau perjanjian antarabangsa yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Umat yang benar-benar berjaya adalah umat yang menegakkan Tauhid (keEsaan Allah) dan melaksanakan Syariah dalam semua aspek kehidupan. Sama ada dalam pemerintahan, ekonomi, mahupun tindak-tanduk sosial. Rasulullah (saw) dan para sahabat baginda telah mendirikan sebuah model masyarakat yang berasaskan prinsip-prinsip ini, meletakkan iman, keadilan dan ketaatan kepada Allah melebihi segala pencapaian duniawi. Inilah model yang sepatutnya menjadi panduan aspirasi kita, bukan piawaian kejayaan duniawi yang bersifat sementara.

Tambahan pula, al-Quran berulang kali menekankan bahawa kejayaan tidak ditentukan oleh harta atau kekuasaan, tetapi oleh ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah. Seperti firman Allah (swt) dalam al-Quran:

﴿وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَخْشَ ٱللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ﴾

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” (TMQ An-Nuur [24]:52)

Maka, sebagai satu ummah, matlamat utama kita sepatutnya adalah untuk menghidupkan semula cara hidup Islam, memastikan sistem politik, ekonomi dan sosial kita berteraskan petunjuk daripada Allah (swt). Dengan cara ini, kita mencapai kejayaan yang sebenar. Baik di dunia mahupun di akhirat. Daripada mengukur diri kita dengan piawaian sekular, kita mestilah berusaha memenuhi amanah Ilahi dengan menegakkan Islam secara menyeluruh serta berjuang untuk menegakkan semula sebuah negara Islam yang mencerminkan prinsip-prinsip ini.

Kesimpulannya, kejayaan bagi umat Islam tidak sepatutnya ditafsirkan mengikut fahaman Barat tentang kemajuan dan peradaban. Sebaliknya, ia mesti difahami melalui lensa Islam, yakni dengan mematuhi hukum-hukum Ilahi dan berusaha untuk melaksanakannya dalam setiap aspek kehidupan. Inilah satu-satunya jalan menuju kejayaan sejati, seperti yang ditetapkan oleh Allah (swt), yang membawa kepada kesejahteraan di dunia dan ganjaran abadi di akhirat.

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh

Sumayya binti Khayyat