Masalah Pendidikan: Bukti Kepincangan Sistem Sekular

pelajar-merusuhPelajar merusuh kadar yuran naik

PM Britain kecam tindakan lemah polis, Ibu Pejabat Konservatif jadi sasaran

LONDON: Perdana menteri Britain, David Cameron semalam mengecam tindakan ribuan pelajar yang menceroboh Ibu Pejabat Parti Konservatif kelmarin sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan untuk menaikkan yuran pengajian.   Cameron juga mengecam tindak balas polis yang ‘tidak memadai’ dalam menangani rusuhan itu di mana hanya sekumpulan kecil pasukan keselamatan dikerah untuk melindungi bangunan parti yang dipimpin beliau.   Seramai 14 orang cedera dan 35 lain ditahan selepas ribuan penunjuk perasaan bertindak merusuh bangunan pejabat 1960-an itu yang terletak berhampiran bangunan Parlimen.

Penunjuk perasaan bertindak memecahkan kaca dan merosakkan perabot di lobi pejabat parti Konservatif yang memerintah dalam kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat itu. Polis mengakui tidak bersedia menghadapi rusuhan itu kerana pihaknya hanya menjangka tunjuk perasaan secara aman. Insiden kelmarin adalah rusuhan ganas pertama dihadapi kerajaan Konservatif-Liberal Demokrat sejak mengambil alih kuasa pada Mei lalu. Kerajaan baru-baru ini mencadangkan kenaikan tiga kali ganda yuran pengajian bagi sebagai sebahagian usahanya mengurangkan perbelanjaan.

Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS) yang berkata sehingga 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu, turut mengecam tindakan segelintir daripada mereka yang merusuh pejabat parti Konservatif itu.

Bercakap di Seoul, Korea Selatan ketika menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 (G-20), Cameron berkata, mereka yang bertanggung jawab terhadap rusuhan terbabit perlu dikenakan tindakan.

“Sudah semestinya mereka berhak mengadakan tunjuk perasaan secara aman tetapi saya melihat ada di kalangan mereka yang menggunakan keganasan dan merosakkan harta. Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Dalam rusuhan terbabit, beberapa penunjuk perasaan dilihat menaiki bumbung bangunan enam tingkat yang menghadap sungai itu dan membaling pemadam api ke arah polis di bawah ketika beratus pelajar lain bersesak memasuki pekarangan bangunan terbabit sambil membakar unggun api sepanduk. Seorang pegawai polis wanita dilihat dibawa keluar dengan darah memenuhi mukanya. Selepas beberapa jam polis rusuhan akhirnya berjaya mengawal semula bangunan dan memaksa pelajar berundur. Selepas penunjuk perasaan itu diusir, lobi bangunan terbabit dilihat dipenuhi kaca yang pecah, serpihan dan kayu sepanduk dengan meja berselerak, saluran udara siling diruntuhkan dan contengan lukisan menghina disembur pada dinding marmar. – AFP

Sumber: Berita Harian 12/11/10

Selagi Kapitalis diterapkan, Selagi itu umat akan terus menanggung kesengsaraan.

Rata-rata di dunia, kegagalan sistem Kapitalis terus terserlah. Kepincangan ekonomi dunia khususnya Eropah pada ketika ini semakin parah dan Britain semakin merasa bahangnya. Buktinya, Britain terpaksa menaikkan yuran pengajian pelajar untuk menampung kesan dan akibat daripada kemerosotan ekonomi Kapitalis.

Bukan sahaja di Britain, dunia termasuklah Malaysia pada hari ini  terus menderita di bawah kongkongan Kapitalis dunia yang diketuai oleh Amerika. Terlampau banyak fakta yang boleh kita paparkan untuk membuktikan betapa rosaknya kehidupan manusia di dalam sistem kehidupan Kapitalisme saat ini dan bukan hanya di dalam pendidikan. Ini berbeza dengan Islam sebagai suatu ideologi yang pernah diterapkan dan memayungi dunia selama lebih 1300 tahun lamanya.

Di dalam Islam, sistem pendidikan menjadi salah satu keutamaan kerana ia akan menghasilkan potensi insan yang bersahsiah Islam dan ini amat penting untuk menjamin kelestarian Daulah. Kerana itulah ia harus memastikan bidang tersebut dijamin dari segi kualiti dan kewangannya. Pelajar seboleh-bolehnya tidak akan dibebankan kerana mereka harus terus menumpukan usaha mereka di dalam menuntut ilmu dan kemudian akan keluar untuk berkhidmat kepada umat. Sebarang kekurangan akan ditampung oleh Daulah dan sekiranya masih tidak mencukupi maka sejumlah dana harus dikumpulkan dari mereka yang berharta di kalangan umat.

Namun, di dalam sistem Kapitalis hari ini, Negara tidak menganggap sistem pendidikan sebagai satu tanggungjawab yang mutlak. Ini adalah kerana, apabila ada keperluan mendesak, Negara terus menekan para pelajar sedangkan mereka yang kaya terus dibiar mengaut kekayaan semaksima yang mungkin tanpa mengendahkan keperluan umat kerana bagi sesebuah negara kapitalis, individu-individu kaya inilah yang akan menjamin kekuasaan mereka. Jadi, sampai bilakah umat akan terus dikikis dan dihakis sedangkan golongan konglomerat dan individu kapitalis dibiar terus mengikis dan menghakis darah dan keringat mereka? Ayuh, sahutlah perjuangan menegakkan khilafah agar umat dapat keluar daripada kesengsaraan ini.

Lihat: SN108 – PEMBIAYAAN PENDIDIKAN : TANGGUNGJAWAB SIAPA?